Magika Sang Lgenda – Nidji 2.3 Pukau 10,000 Penonton di Axiata Arena!

oleh Khaliq G
310 bacaan

Kredit: MND Sport & Event

Malam 2 Februari 2025, Axiata Arena menjadi saksi kehebatan sebuah band gergasi dari negara tetangga, Nidji yang ternyata masih berbisa. Kehadiran 10,000 orang peminat setia Nidji membuktikan bahawa walau datanglah berapa banyak band baharu dan tenaga muda di arena seni nusantara, fans Nidji masih kukuh di belakang mereka.

Seawal November 2024 lalu, ketika Nidji hadir ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan konsert berskala besar mereka di sini, mereka terlebih dahulu memberi ‘upah’ kepada para peminat. Bukit Bintang dipilih untuk menghiburkan kira-kira 1,000 orang peminat yang hadir menyaksikan mereka membuat persembahan busking secara percuma. Nidji ternyata bijak mengumpan para peminat, memberi hint bahawa betapa ruginya mereka jika tidak hadir dan berpesta di Axiata Arena pada malam perdana tersebut.

Dan malam Ahad lalu, ternyata janji mereka di Bukit Bintang bukan janji kosong. Mereka hadir di panggung dengan tenaga dan semangat yang luar biasa. Tirai dimulakan tepat jam 8.35 malam, dengan Ku Takkan Bisa dipilih menjadi lagu pembuka salam. Teriakan dan sorakan kuat peminat bermula saat kelibat Ubay muncul di pentas, membangkitkan lagi suasana malam itu. Bolehlah Ku Berharap meneruskan momentum opening daripada mereka.

Walaupun Ubay mengisi tempat selaku vokalis Nidji cuma 6 tahun selepas pengunduran Giring, beliau ternyata sangat cocok di posisi paling hadapan untuk band tersebut. Ubay tidak kekok berbicara bersama penonton dan memberitahu bahawa mereka cukup bersyukur dan gembira diberikan peluang untuk hadir lagi berpanggung di bumi Malaysia. Apatah lagi, konsert itu disaksikan oleh 10,000 manusia yang setia menyokong mereka.

Konsert diteruskan lagi dengan 3 buah lagu; Kau Dan Aku, Wadoow dan juga Heaven. Mungkin bagi bukan peminat tegar Nidji, mereka pasti terpinga-pinga tidak mengetahui lirik dan melodi lagu tersebut. Tapi persetankan saja, pastinya kita hadir untuk berhibur dan menikmati muzik, bukan? Mungkin saja malam itu menjadi peluang untuk mereka explore lagu-lagu lain dalam deretan katalog bermuzik Nidji.

Penganjur bijak dalam merencana perjalanan dan susunan konsert. Bagi memberikan sokongan moral buat ahli Nidji, dipaparkan klip video surprise daripada keluarga mereka. Masing-masing kelihatan tersenyum bahagia dan tersentuh apabila satu demi satu wajah orang yang terpenting dalam hidup mereka terpapar di skrin menitipkan pesanan dan kebanggan mereka terhadap semua ahli Nidji. What a lovely family they have!

Malam tersebut menjadi lebih hangat apabila Nidji membawa penonton ke segmen lagu OST. Siapa saja yang tidak tahu betapa berhantunya lagu-lagu mereka yang menjadi roh penting dalam memperkuatkan keindahan filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Seluruh stadium gegak gempita apabila Sumpah Dan Cinta Matiku dimainkan. Tiada siapa mampu mempersoalkan kredibiliti Ubay memberi rasa dalam persembahannya. Lagu ini menjadi bukti bahawa sebuah karya yang hebat pasti sentiasa bernyawa tidak kira berapa lama usianya. Platform TikTok meneruskan kesinambungan populariti naskhah hebat ini, walaupun sudah diluncurkan 12 tahun yang lalu. Teroesir (Menunggu Karma) yang juga OST dari filem yang sama turut dipersembahankan.

Slot OST turut diisi dengan lagu Di Atas Awan yang melatari filem 5 cm dan lagu Segitiga Cinta yang menjadi lagu soundtrack bagi filem Antologi Rasa.

 

Bagi memeriahkan lagi malam bersejarah itu, Nidji menjemput band tempatan kegemaran ramai, Kugiran Masdo untuk sama-sama berpencak di atas panggung. Sempat mereka kongsikan bahawa perancangan awal lagu Zayang-Zayang itu direncanakan untuk dirakamkan bersama-sama oleh dua band tersebut, namun atas kekangan masa perkara tersebut tidak menjadi kenyataan. Namun mereka berjanji, pasti akan ada projek lain yang lebih baik bakal mereka lakukan, demi menggembirakan hati peminat-peminat mereka.

Penulis kira kerjasama yang bakal terjalin nanti pasti membawa energi baharu buat mereka, kerana DNA muzik mereka yang berbeza namun kreativiti mereka penulis yakin bakal menghasilkan sebuah lagi karya hebat yang akan pantas mendaki carta lagu radio dan berkemundang di konsert-konsert akan datang. Dari perfomance mereka menerusi lagu Zayang-Zayang, penulis dapat membayangkan attitude lagu bagaimana sebenarnya yang mahu mereka tampilkan nanti.

Nidji sekali lagi pandai mengambil hati peminat tempatan. Ubay tampil solo bermain piano di pentas kecil di belakang stadium, menghadiahkan sebuah persembahan indah menerusi cover Getaran Jiwa, karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Di tangan Ubay, karya indah ini ternyata mendapat keadilan sewajarnya. Dihidangkan dengan petikan piano tanpa mengubah melodi asal lagu klasik ini, namun dinamika suara Ubay menjadikan rendisi baharu ini kedengaran cukup moden. Bilang Ubay, lagu ini dia gunakan untuk video TikToknya selepas berlari, yang menjadikan beliau mulai jatuh cinta kepada naskah hebat tersebut. Mungkin mereka boleh pertimbangkan juga untuk merakamkan lagu ini dalam acuan mereka untuk pasaran Indonesia, seperti yang Dewa 19 lakukan menerusi lagu Madu Tiga.

Malam bersejarah itu menyaksikan Nidji tampil luar biasa apabila 23 buah lagu dipersembahkan buat peminat setia mereka. Antara lagu lain ialah Abadi, Laskar Pelangi, Sudah, Teman Sejati dan Arti Sahabat.

Takkanlah konsert itu ditutup sebegitu sahaja. Mana mungkin Nidji dibenarkan pulang kalau lagu keramat yang satu ini mereka tidak bawakan. Boleh runtuh Axiata Arena kalau Hapus Aku tidak mereka dendangkan. Apa lagi boleh penulis cakap? Energy, attitude, power, luar biasa – itu saja boleh penulis katakan dengan persembahan penutup daripada mereka. Masing-masing di dalam stadium melompat sakan, seakan-akan mereka lupa esok hari mereka harus bekerja dan perlu hadir ke kuliah. Tapi mereka tidak peduli, walaupun jam sudah menunjukkan tepat 11.30 malam, mereka masih punya tenaga untuk sama-sama berpesta menerusi Hapus Aku.

Sekalung penghargaan dan ucapan tahniah tentu saja perlu diberikan kepada MND Sport & Event di atas kecemerlangan mereka menganjurkan konsert yang hebat ini. Penulis memberi markah penuh buat semua aspek teknikal yang dipersembahkan, baik dari grafik yang cantik dan memberi impak dalam persembahan, sound system yang hebat, serta susunan muzik yang sangat sedap daripada semua pemuzik.

Mungkinkah Nidji akan kembali lagi ke Kuala Lumpur nanti? Kita nantikan saja magis apa lagi mahu mereka bawa pada masa akan datang.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅