Tanggal 5 Mac 2022 telah berlangsung sebuah konsert untuk mempromosi album terbaru kugiran Pop Punk Des Panik di Angkasa Event Space, Cheras. Kuala Lumpur merupakan lokasi ketiga dalam siri Konsert Jelajah Revolusi Atau Kontrak Des Panik dengan kolaborasi kolektif Table Kuning setelah Johor dan Perak pada 22 Januari dan 12 Februari yang lalu.
Konsert Jelajah Revolusi Atau Kontrak di Kuala Lumpur menampilkan 7 kugiran termasuk Des Panik bagi memeriahkan acara. Barisan aksi yang turut memeriahkan majlis adalah Highschool Rockers, Panasejook, Dependent, 1936 Bois, Pasca Sini serta Empty Page.
Pintu dibuka pada jam 5.30 petang dan konsert diadakan secara dua sesi iaitu pada sebelah waktu petang dan malam bagi memberikan laluan waktu solat Maghrib bagi para penonton yang beragama Islam. Majlis pada hari tersebut dimulakan dengan persembahan oleh Highschool Rockers.
Highschool Rockers telah memberikan sebuah persembahan pembuka yang bertenaga serta menetapkan persembahan pada hari tersebut di aras yang tinggi. Mereka turut membawakan lagu saduran Khayalan Masa daripada kugiran pop punk legenda Malaysia, One Buck Short.
Persembahan kedua dihangatkan oleh kugiran Panasejook, sebuah kugiran yang kerap hadir dengan tagline “Pop punk sebenar.” Meski lebih kurang dua tahunnya mereka merehatkan diri angkara wabak Covid-19 yang melanda dunia, mereka membuktikan sebagai pemuzik berehat tidak bermakna kehilangan taring apabila beraksi di atas pentas.
Baton persembahan seterusnya telah diambil alih oleh Dependent sebelum memberikan laluan untuk waktu solat Maghrib. Meski sambutan yang ditunjukkan oleh penonton kurang memberansangkan, namun Dependent membuktikan bahawa mereka mampu memberikan persembahan yang energetik dan memukan para penonton seperti kugiran yang lainnya. Pastinya ramai dari kalangan penonton yang jatuh cinta pandang pertama melihat mereka pada hari itu.
Persembahan sesi malam dimulakan oleh 1936 Bois. Sepertinya 1936 Bois mempunyai masalah yang agak berat dengan vokalis mereka yang kehilangan suara, namun ia dapat diatasi dengan sokongan para penonton yang turut menyanyi bersama-sama mereka sepanjang persembahan.
Kehangatan malam tersebut diteruskan oleh kugiran Pop Punk Damansara, Pasca Sini yang juga baru tamat dengan siri konsert jelajah album terbaru mereka. Pasca Sini menyemarakkan kehangatan dengan membawakan persembahan yang bertenaga dengan lagu-lagu yang dipetik daripada album terbaru mereka, Emo Department. Ketiadaan salah seorang pemain gitar mereka, Thoriq telah diganti oleh vokalis mereka yang walaupun tiada pengalaman bermain gitar secara langsung, sepertinya tidak mencacatkan persembahan secara keseluruhan. Persembahan gitar dengan satu pedal mereka berserta kemunculan Hyke Nasir untuk lagu DMB malah berjaya mengkagumkan penonton.
Kehangatan malam diserikan dengan persembahan akustik oleh Empty Page. Pada malam tersebut mereka hadir hanya dengan dua ahli kumpulan disebabkan oleh komitmen masing-masing. Mereka turut membawa Heidimoru untuk bergandingan mempersembahkan lagu Bagaimana Jika Aku Tiada? Persembahan mereka bagaimanapun disambut mesra oleh para peminat yang turut menyanyi bersama-sama.
Persembahan kemuncak dan penutup pada malam tersebut diambil alih oleh tuan rumah iaitu Des Panik sendiri. Sepertinya kehangatan dan tenaga yang dicurahkan oleh persembahan-persembahan sebelumnya tidak mampu menenggelamkan persembahan Des Panik. Mereka membuktikan bahawa pengalaman mereka selama ini membolehkan mereka tidak kalah dari segi tenaga dan kehangatan persembahan di hadapan barisan kugiran yang hebat-hebat belaka.
Meskipun persembahan pada hari tersebut menghadapi beberapa masalah terutamanya beberapa ahli kumpulan hampir kesemua kugiran tidak dapat menghadirkan diri, namun boleh dikatakan kesemua mereka tetap memberikan persembahan terbaik kepada para penonton. Siri Konsert Jelajah Revolusi Atau Kontrak Des Panik di Kuala Lumpur merupakan sebuah persembahan yang amat bertenaga dan penuh kehangatan yang konsisten dari awal sehingga ke akhir.
Nantikan pengumuman tarikh rasmi siri jelajah Revolusi Atau Kontrak seterusnya di Melaka dan juga Pulau Pinang. Dapatkan salinan album terbaru Des Panik di siri konsert jelajah album mereka atau hubungi Des Panik di saluran media sosial rasmi mereka di Twitter dan Instagram.