Kugiran shoegaze Island kembali menemui para peminat dengan pelancaran sebuah video muzik (MV) single terbaru mereka berjudul 2020 pada tanggal 22 Februari 2022 dengan jangka masa selama 4 minit 06 saat di saluran YouTube rasmi mereka, ISLANDS (MY).
2020 merupakan sebuah single mengenai krisis kewujudan diri dalam mengharungi kehidupan seharian. Ia juga berkaitan dengan masalah dunia yang melanda generasi masakini terutamanya wabak pandemik COVID-19.
Tidak dinafikan pandemik yang melanda dunia membuat kebanyakan daripada kita mengalami kesukaran dalam mengekalkan kesihatan mental akibat terkurung dan terhalang daripada berinteraksi dengan masyarakat. Malah kajian turut membuktikan indeks kesihatan mental masyarakat menurun dan kes bunuh diri juga meningkat.
Islands mengambil langkah bijak dalam mengetengahkan isu kesihatan mental menerusi 2020 dan harus diakui bahawa sesetengah individu sukar untuk mengakui perasaan negatif yang berlarutan di dalam diri. Kadangkala kita perlu mengakui kegelapan yang wujud untuk mengharungi kehidupan seharian yang lebih baik.
Menarik dengan MV 2020, ia mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak dengan nuansa keriangan musim panas. Menurut Islands, kesemua visual dirakam menggunakan efek analog dan sesi penggambaran telah dijalankan di sekitar kawasan kejiranan perumahan mereka sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 sekitar Jun 2021.
Dengarkan 2020 di saluran Youtube dan Spotify rasmi Islands dan ikuti laman media sosial rasmi Islands di Facebook, Twitter, dan Instagram.