Estranged dan Alena Murang Lancar ‘Roads To Our Heritage’ – Sebuah Dokumentari Muzik Borneo

oleh Rahmat Mohd Did
4.7K bacaan

Estranged dan Alena Murang telah melancarkan terbitan terbaharu mereka, sebuah dokumentari muzik Borneo, Roads to Our Heritage pada 26 Mei 2022 di Drum Asia Studio, Desa Sri Hartamas. Projek yang mendapat dana daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) ini merangkumi sebuah dokumentari beserta tiga buah album muzik, yang merupakan sebahagian daripada Dana Kandungan Digital (DKD) untuk industri muzik, ditawarkan sebagai sokongan kepada golongan seni semasa pandemik Covid-19.

Estranged dan Alena Murang turut disertai Dr Nadia Widyawati daripada Pusat Pemeliharaan Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai ketua penyelidik untuk projek dokumentasi kisah di sebalik alat muzik tradisional dan pembuatnya, sebagai rujukan pendidikan dan pengarkiban untuk generasi akan datang.

https://youtu.be/vEDlq0mtHIs

Dokumentari enam episod Roads To Our Heritage ini menyaksikan Estranged, Alena Murang dan Dr Nadia merentasi Sabah dan Sarawak mencari pembuat alat muzik tradisional, mempelajari seni pembuatan alat tersebut, memahami keindahan muzik dan memasukkannya ke dalam lagu-lagu mereka. Alat-alat muzik yang ditampilkan termasuk gambus, sompoton dan sundatang di Sabah; dan sape’, jatung utang dan selingut di Sarawak.

Siri ini meliputi perjalanan hampir 1000km, memaparkan temubual mendalam dengan pembuat alat muzik tradisional Sabah dan Sarawak, pengertian tentang budaya dan asal usul masyarakat setempat, serta keindahan alam. Estranged dan Alena mempunyai keinginan yang tinggi untuk memelihara budaya setempat dan projek ini memberikan mereka peluang untuk kisah-kisah ini di dokumen dengan sempurna.

Tiga (3) album muzik yang diterbitkan melalui projek ini ialah album Alena Murang Sky Songs (yang dilancarkan pada 31 Mac 2021), album Estranged Sepenuhnya Vol. 02 dan album Velvet Aduk Reality.

Alena Murang – Sky Songs (2021)

Diinspirasikan daripada cerita-cerita nenek moyangnya yang tinggal di langit dan di bumi, album ini merupakan sebuah perjalanan melewati kosmos; sebuah lagu untuk sang pahlawan yang melihat kabus pada pagi hari pertempuran; sebuah lagu melihat awan dan mengetahui bahawa itulah masa yang terbaik untuk berhijrah; sebuah lagu meratap guruh dan sang bulan.

Penyanyi Sape’ yang memenangi anugerah ini baru sahaja tercalon untuk Budding Artist Award di Feshmusic x Taiwan ASEAN Music Network (TAMA) ke-15. Antara anugerah yang pernah dimenangi termasuklah Best World Music Video di BAMV Film Festival 2021, Best Music Video di Anugerah New York International Film Festival 2021  dan banyak lagi.

Estranged – Sepenuhnya Vol. 2 (2022)

Sewaktu dunia menyaksikan bahawa penerbitan album muzik semakin kurang relevan, Estranged berpendapat sebaliknya. Bagi mereka, sebuah album itu amat penting buat peminat dan juga mampu mewarnai industri muzik tempatan.

Album ‘Sepenuhnya Vol. 02’ merupakan album kelima Estranged selepas album ‘Sepenuhnya Vol. 01’ yang dilancarkan pada tahun 2016. Selepas 6 tahun, band ini membuat comeback dengan 10 lagu pelbagai genre. Genre rock dan pop kekal sebagai elemen utama dalam album ini, namun mereka berjaya menyelitkan elemen muzik tradisional Borneo, yang juga merupakan identiti Estranged sejak mula ditubuhkan.

Velvet Aduk – Reality (2022)

Reality merupakan sebuah album yang dinanti-nanti, juga mengambil masa yang panjang untuk disiapkan. Sebuah album yang menggabungkan penulisan oleh Velvet sendiri melalui pelbagai tona dan genre, ia seolah menceritakan kisah benar kehidupan dan membuatkan pendengar menggali maksud liriknya. Reality adalah ekspresi kesedihan seseorang yang cuba untuk menghentikan segalanya kerana tekanan hidup, namun menyedari bahawa tiada jalan semudah yang disangkakan.

Di dalam album ini, Velvet mendedikasikan lagu MAMA untuk anak-anaknya, dan ianya juga merupakan sebuah ekspresi kesedihan melihat mereka membesar dengan terlalu cepat tetapi pada masa yang sama turut bergembira kerana diberi peluang untuk menyaksikan sendiri momen-momen indah tersebut. Ia menceritakan tentang kasih sayang seorang ibu yang tidak berpenghujung untuk anak-anaknya, tanpa mengira usia.

Antara kolaborator projek Roads To Our Heritage ini termasuklah DrumAsia Studio sebagai Rakan Audio, Bryan Kouju Studio sebagai Rakan Video bersama Triumph Motorcycles Malaysia, Insta360, Sirnasin, Holeshot Motowear, Tempatan Fest dan Rakan Event Kanid Studio.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅