Sebut sahaja kumpulan Exists, sudah pasti majoriti rakyat Malaysia pernah mendengar lagu-lagu mereka di corong radio. Nama yang tidak asing lagi kerana jika diadakan konsert, mereka terpaksa memilih dengan teliti lagu yang hendak dipersembahkan. Ini kerana dalam katalog mereka, berpuluh lagu hits telah dihasilkan sepanjang perjalanan seni kumpulan yang berasal dari Johor tersebut.
Itu yang terjadi pada 18 November kelmarin di Zepp Kuala Lumpur di mana Exists telah mengadakan konsert yang dipanggil Resolusi. Walaupun tanpa kelibat Ezad dan Shah, ini tidak melunturkan aura persembahan mereka pada malam itu. Selain daripada Mamat (penyanyi), Along (gitaris), Musa (bassist), Ajai ( keyboardist) dan Ujang (drum), Exists turut menjemput dua penyanyi undangan iaitu Eiz dari kumpulan Gerilia dan juga Pasya dari rancangan realiti tv Mentor bagi mengisi kelopongan yang ditinggalkan oleh Ezad.
20 buah lagu popular mereka telah mengubati rindu lebih 1,000 peminat yang hadir pada malam itu dan atas sebab masalah kesihatan Mamat, beberapa lagu Exists telah digalaskan kepada Eiz dan Pasya.

Mamat membawa aura luar biasa sewaktu Konsert Resolusi Exists.
Melihat dari sudut persembahan alat muzik, tidak perlu dipertikaikan lagi kerana Exists dibarisi pemuzik yang tersohor seperti Along, Ajai, Ujang dan Musa. Beberapa lagu heavy daripada dua album pertama mereka seperti Meniti Cita Cita, Kuman HIV dan Anugerah menjadi penanda aras bahawa Along adalah salah satu gitaris terbaik di Malaysia. Ujang juga sempat menguasai pentas pada malam itu dengan solo drum yang menggunakan permainan twin pedal beliau. Petikan bass Musa menjadi tulang belakang untuk memastikan muzik mereka tersusun rapi. Dan walaupun merupakan nama besar dalam industri muzik Malaysia, Ajai tidak menolak peluang untuk bekerjasama sekali lagi dengan Exists sebagai pemain keyboard asal mereka.

Eiz (kiri) dan Pasya (kanan).
Pasya dan Eiz telah menunjukkan keupayaan mereka membawa lagu-lagu Exists dengan baik. Apa yang menarik perhatian penulis adalah lontaran suara Eiz yang hampir mirip seperti Ezad tetapi dengan gaya dan aura tersendiri. Namun sudah pasti Mamat menjadi highlight pada malam itu dengan aura dan persembahan bertenaga beliau.
Formula muzik yang dibawa masih mengekalkan konsep yang sama bagi memudahkan peminat yang hadir untuk turut menyanyi pada konsert itu. Dilaporkan 100 individu tidak dapat hadir walaupun telah membeli tiket di atas sebab pilihan raya keesokan harinya.
Semoga Exists kekal “Exists” dan terus releven dalam industri muzik Malaysia. Music Addicts Malaysia juga berharap agar mereka akan menambah kuantiti lagu berat dan “eksperimental” mereka seperti Konklusi, Roler Koster, Hidup, Revelasikan, Manifesto Luar Biasa untuk konsert mereka yang akan datang.