Penulis: Wan Ahmad Syakir
Pulau Pinang menjadi destinasi ketiga Fourtwnty Nalar Tour di Semenanjung Malaysia selepas Kuantan dan Johor Bahru. Peluang ini pasti tidak dilepaskan oleh pemiant-peminat mereka di utara Malaysia. Rata-rata yang hadir bukan sahaja dari kalangan penduduk tempatan, bahkan penduduk sekitarnya seperti Perak, Kedah dan Perlis turut sama memeriahkan siri jelajah yangtelah diadakan di Vervea Trade and Exhibition Centre (VTEC) pada 20 Oktober 2023 seawal 8:30 malam.
Seiring dengan signifikan jenama Fourtwnty, mereka seolah-olah menjanjikan sesuatu kepada seluruh peminat yang hadir untuk bersama-sama melayari alam yang mereka cipta. Diisi dengan pelbagai bahan dan rencah, siri jelajah ini boleh disifatkan cukup rasa untuk disuntik kepada ‘pencandu’ tegarnya. Segala elemen digarapkan di dalam satu pementasan di bumi Pulau Pinang pada malam itu.
Mana tidaknya; visual, audio, lirik, vibes dan mesej semuanya sebati dalam adunannya yang tersendiri. Visual yang kreatif mengikut alunan bait-bait yang dilontarkan sesedap sativa jika dinyalakan. Perlahan perlahan ia meresap membuli jiwa peminat untuk menghadamnya. Menangis, tertawa, amarah semuanya dikisarkan bersama di dalam satu bekas. Sesekali, hati peminatnya diketuk dengan rasa rindu kepada orang tua, pasangan, dan yang paling dirindui, diri sendiri yang sudah lama menghilang. Susuk tubuh vokalis utama, Ari Lesmana turut tidak terlepas daripada dihunus rasa sebak ketika menghadiahkan bait Ikhlas dari jiwa kepada isterinya.
Tatkala mas Ari sudah mula menggoncang ‘pundi kacang’ nya, itu menandakan momen berdansa ingin mula dipersembahkan. Ianya seolah-seolah menyeru watak di dalam ceritanya untuk segera keluar dari zona nyaman dan melepaskan apa yang dirasa. Pedulikan apa sahaja jenis dansa yang ingin diaktifkan, peminatnya menikmati rasa kick tersebut sepuas-puasnya pada malam itu. Sesekali, imej visual turut disertai lirik. Bagi mereka yang baru pertama kali mengenali Fourtwnty, itu adalah peluang keemasan untuk mereka bersama sama bernyanyi dan terbang tinggi bersama anak senja yang lain.
Energi yang ditonjolkan oleh seluruh ahli kumpulan Fourtwnty sepanjang pementasan ini berlangsung sungguh luar biasa. Tiada ruang diberikan kepada peminatnya untuk keluar walau sesaat pun dari cerita mereka. Malam itu, Ari Lesmana turut meminta peminatnya merakamkan momen indah tersebut hanya menggunakan sepasang mata, telinga dan jiwa, bukannya telefon bimbit. Begitulah suntikan ‘halal’ yang ingin diberikan. Jelas, ia meresap!
Album Nalar boleh disifatkan sebagai salah satu naskah yang berjaya menempa ruang di hati peminatnya di Malaysia. Persembahan yang mengambil durasi selama dua jam ini berjaya memberikan para peminatnya rasa kepuasan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Wajah peminat rata-rata menggambarkan rasa ingin lagi dan lagi dengan suntikan ‘halal’ daripada album ini. Keindahan malam itu pastinya menjadi momen indah kepada seluruh peminat yang menghadirkan diri.
Selamat maju jaya diucapkan kepada Fourtwnty di masa hadapan. Terima kasih kerana menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua untuk berkarya. Ucapan tahniah juga diucapkan kepada Shiraz Project untuk kesempatan ini kepada peminat di utara tanah air. Sampai berjumpa lagi. Terus sukses!