Oleh: Az Zarnuzie Foto: Arieff Zarif
Pada hari Sabtu baru-baru ini telah berlangsung sebuah gig di Ruas Store, Penang dengan menampilkan tiga buah band; dua dari Malaysia dan satu dari Indonesia.
Ini adalah sebuah gig yang dinantikan oleh aku sendiri sebab band Indonesia yang dimaksudkan adalah sebuah band dari Jakarta iaitu Clever Moose dan band yang menjadi pembuka pentas adalah sebuah band dari Penang sendiri iaitu Warna Bumi dan sebuah band dari Alor Setar, Kedah iaitu Hawuck.
Gig bermula pada jam 8.00 malam dan Mizie Jidin dari Wave Of Musick selaku emcee memulakan acara pada malam itu. Band pertama adalah Hawuck, sebuah band yang aku lihat dapat menarik crowds yang masih lepak di bawah untuk naik ke atas. Band ini dianggotai empat anak muda yang membawakan muzik dengan gaya mereka sendiri. Aku dapat melihat dari Instagram band ini mereka sangat aktif dalam dua tiga tahun kebelakangan ini dan InsyaAllah akan melancarkan EP dan beberapa merchs pada tahun ini.
Mereka membawakan lagu pertama yang bertajuk Nikmat. Dalam lagu ini ada sedikit melodi untuk intro yang agak menarik sebelum sang penyanyi melontarkan vokal. Dalam band ini juga aku melihat ada lagu yang dinyanyikan oleh gitaris dan juga bassist. Jadi pada aku ini salah satu benda yang best sebab kita dapat melihat pelbagai jenis lontaran vokal yang bersesuaian dengan lagu. Sebabnya vokal utama mengunakan teknik scream sahaja, bassist pula aku nampak dia menyanyikan lagu dengan lebih bersahaja seperti lagu ketiga mereka Luahan Nara Kaca manakala si gitaris pula membawa lagu dengan nada yang agak tinggi seperti lagu terakhir iaitu Gadis Khayalan.
Pada pendapat aku ini adalah sebuah band anak muda yang perlu diberi peluang untuk diketengahkan dan aku agak teruja dapat melihat mereka sebagai penyambung generasi muzik underground di Malaysia. Kalau dilihat di Instagram mereka, mereka membawakan muzik bergenre Atmospheric Gaze. Untuk booking atau check out update terbaru mereka boleh ke instagram mereka @hawuckkk.
Gig terus berjalan dengan lancar. Sambil menunggu band seterusnya di pentas, aku sempat ke cafe Ruas Store di tingkat bawah. Ini adalah sebuah cafe yang menyajikan makan dan minum seperti kopi soda dan makanan western dan juga nasi. Tapi pada pendapat aku ini salah satu vibe yang menarik sebab dalam kedai kopi ini jugalah terletak record store Ruas. Jadi mudah untuk crowds yang nak minum dan makan tak perlu keluar jauh.
Kembali semula di stage gig. Band seterusnya adalah sebuah band dari Penang sendiri dan juga sebuah band yang pada aku best dan enjoy iaitu Warna Bumi. Pada aku mereka ada potensi untuk ke persada muzik yang lebih mainstream dari segi persembahan yang bersahaja dan boleh nampak market lagu mereka boleh masuk ke dalam corong-corong radio di Malaysia. Untuk kali ini, Warna Bumi membawakan enam buah lagu dalam EP mereka yang baru sahaja dilancarkan sebelum ini. Mereka memulakan lagu pertama bertajuk Manusia. Dari sudut pendengaran aku, Warna Bumi membawa muzik bergenre Folk Rock yang diterapkan dengan lirik berbahasa Melayu. Boleh dikatakan set mereka malam ini memang ngam dan cun. Vokalis melontarkan sebutan dengan begitu jelas dan gabungan muzik yang dibawa memang aku dapat lihat kena dengan jiwa crowds yang hadir pada malam itu.
Kepada mereka yang ingin mengetahui perkembangan band Warna Bumi, anda boleh check out Instagram mereka dan follow Spotify dan boleh dengar sendiri lagu-lagu mereka. Set Warna Bumi membawakan enam buah lagu iaitu Manusia, Kubikal, Getaran, Lari Sendiri, Penunggang dan Yang Dicermin.
Band terakhir pada malam itu adalah Clever Moose. Lagu pertama mereka sahaja dah dapat menarik crowds yang ramai di hadapan pentas. Dengan penampilan yang menarik di semua sudut; pemakaian, performance dan lagu-lagu yang dipersembahkan, ia ternyata membuka mata seluruh crowds yang berada di dalam gig.
Clever Moose membawakan muzik bergenre fusion folk dan rock, tapi yang menarik ialah kita boleh dengar bunyi yang keluar dari gitar seakan dari timur tengah. Ini membuatkan ramai crowds yang berdansa dan bergoyang. Malam itu Clever Moose membawa dalam enam buah lagu dengan permintaan dari crowds untuk ulang semula beberapa buah lagu. Rata-rata lagu yang dibawakan Clever Moose adalah yang terkandung di dalam album terbaru mereka, Mediterranean Fuzz.
Clever Moose ini lebih fokus kepada sound gitar dan juga ledakan bass yang kuat dan padu. Dalam masa sama, drum juga memainkan peranan penting dalam kesemua lagu yang dibawa malam itu. Ini disebabkan beat drum ini membuatkan lagu mereka nampak lebih berenergi dan juga bass dapat mengalunkan groove yang best dan enjoy.
Pada posisi gitar, pada aku sound yang keluar dari pedal memang unik dan hampir kesemua lagu mereka ini hanya instrumental dan ada beberapa buah lagu saja yang ada vokal. Untuk vokal, posisi ini disandang oleh sang Gitaris. Boleh dikatakan semua yang ada dalam crowds begitu enjoy dan aku sendiri sambil berdiri mengamati semua lagu mereka dan aku sangat berterima kasih sebab Clever Moose memilih Ruas Store Penang sebagai salah satu lokasi untuk siri jelajah mereka kali ini. Cuma sayangnya mereka tidak membawa apa-apa merchandise untuk dijual. Kepada mereka yang nak layan lagu band ini boleh check out dalam Spotify dan dapatkan info terkini dalam instagram mereka.
Setakat ini sahaja review aku untuk kali ini. Keseluruhannya, aku sangat berpuas hati dengan band-band yang ditampilkan kali ini. Walaupun hanya tiga buah band tapi semuanya memberikan performance terbaik pada malam itu. Terima kasih juga kepada Ruas Store sebab kekalkan gig yang best dan cafe yang enjoy serta suasana gig yang selesa. Jumpa lagi gigs akan datang!