Rasanya kebanyakan orang tidak tahu pun di mana Sangkok, Sikkim tetapi kota kecil dengan kepadatan penduduk paling rendah di India ini telah melahirkan Girish And The Chronicles (GATC), sebuah kugiran hard rock/ heavy metal yang bakal menembus pentas antarabangsa selepas kejayaan Bloodywood sebelum ini.
Dibarisi oleh Girish Pradhan (vokal/ gitar), Suraz Karki (gitar utama), Yogesh Pradhan (bass) dan Nagen Mongranti (drum), GATC melancarkan single “Rock ‘N’ Roll Is Here To Stay” pada 30 Mac 2020. Penulis sudah banyak mendengar band-band lain yang cuba sedaya-upaya untuk mengembalikan kegemilangan hard rock 80-an, namun tiada yang sebaik GATC.
Kualiti vokal Girish Pradhan itu sendiri sudah berada di taraf tersendiri. Mungkin ketika ini, Girish adalah vokalis rock terbaik di India dan telahpun mendapat perhatian dunia melalui komen-komen di YouTube dan pengkritik-pengkritik antarabangsa.
Permainan gitar Suraz Karki juga tidak boleh dipandang rendah kerana tone, skill dan susunan solonya memang hebat dan bertaraf antarabangsa. Begitu juga dengan Yogesh Pradhan dan Nagen Mongranti yang ketat mengawal bahagian irama. Pendek kata, dari segi instrumentasi, GATC memang sudah layak dibawa ke pentas-pentas besar dunia. Nak lagi sedap, mereka boleh digandingkan dengan Ambush, band dari Sweden yang juga memberi nafas baharu kepada heavy metal klasik ala Judas Priest.
GATC tetap mendapat perhatian majalah-majalah digital seperti Classic Rock Magazine (England), ViriAOR (Sepanyol), MetalSucks.net (USA), Sleaze Roxx (Kanada) dan banyak lagi. Lebih menarik, vokalis Hellhammer/ Celtic Frost/ Triptykon, Tom Warrior telah berkongsi muzik video GATC di Facebook-nya dengan kapsyen “This absolutely rules.”
Mereka dalam proses melancarkan album kedua berjudul Rock the Highway yang akan turut menampilkan bekas gitaris DIO, Rowan Robertson! Album ini sepatutnya diterbitkan pada bulan April 2020,namun mungkin terpaksa ditunda atas masalah pandemik yang melanda.
Dengarkan lagu-lagu GATC di YouTube dan nilaikan sendiri kualiti mereka:
Rock ‘N’ Roll Is Here To Stay: https://www.youtube.com/watch?v=lq82yt-Od1U
Rock the Highway: https://www.youtube.com/watch?v=17QD1FC6teU
Ride to Hell: https://www.youtube.com/watch?v=aDEX59prhqk