Sewaktu berlangsungnya Festival Woodstock 1969 yang bertemakan Peace, Love and Music, nama Carlos Santana sangat asing bagi pengunjung-pengunjungnya. Waktu itu, beliau baru berumur 22 tahun dan belum merakamkan album pertamanya lagi. Pengurus mereka, Bill Graham merupakan individu yang bertanggungjawab memasukkan nama beliau dan kumpulannya ke dalam senarai Woodstock.
Santana tiba di festival tersebut pada hari kedua (Sabtu) sekitar jam 11 pagi dan diberitahu akan bermain pada sesi sebelah malam. Di situ beliau bertemu Jerry Garcia (gitaris/ vokalis The Grateful Dead) yang menawarkannya LSD (psychedelic acid) dan beliau menerimanya kerana berfikir masih mempunyai banyak masa lagi sehingga malam. Itu adalah kali pertama beliau mengambil LSD.
Bagaimana pun, sekitar jam 2 petang, salah seorang penerbit konsert memberitahu beliau perlu bermain sekarang akibat perubahan jadual, jika tidak beliau tak akan berpeluang untuk bermain langsung!
Dalam keadaan lalok yang teramat, Santana memberanikan diri naik ke atas pentas dan memberikan persembahan lagenda yang dianggap terbaik di dalam sejarah Woodstock!
Persembahan lagu Soul Sacrifice Oleh Santana di Woodstock 1969
Bayangkan, bermain di hadapan 500 ribu orang dalam keadaan halusinasi yang sangat teruk sehingga dia membayangkan leher gitarnya bertukar menjadi ular yang mahu membelitnya! Dalam ketakutan, Santana merayu kepada tuhan agar memberinya kekuatan untuk meneruskan persembahan dan bersumpah tak akan mengambil LSD lagi selepas itu! Jadi sepanjang persembahan itu sebenarnya beliau sedang bertarung untuk cuba ‘menjinakkan’ gitarnya sendiri!
Sejarah juga tercipta pada persembahan tersebut apabila Mike Shrieve (pemain dram) yang baru berumur 20 tahun ketika itu, melakukan drum solo sewaktu lagu Soul Sacrifice yang dianggap sebagai legenda oleh pengunjung yang hadir dan juga pengkritik muzik.
Sebagai perbandingan, persembahan The Grateful Dead (pada masa itu sudah bertaraf superstar) adalah yang paling teruk akibat pengaruh dadah selain hujan lebat dan masalah sistem bunyi. Ini diakui sendiri oleh Jerry Garcia (yang menawarkan LSD kepada Santana).
Santana hanya menerima bayaran sebanyak $750 (keempat terendah) untuk persembahannya di Woodstock ’69 tetapi tidak mengapa, persembahan tersebut mencatat sejarah tersendiri di mana beliau hadir sebagai kumpulan tidak dikenali tetapi pulang sebagai seorang superstar.
P/S: Ada dua perkara yang penulis suka di Woodstock ’69 ini:
1. Majoriti semua orang masa tu kurus-kurus. Mungkin sebab corak pemakanan waktu itu yang sihat dan makanan diproses pun belum banyak.
2. Walaupun waktu itu adalah zaman Civil Rights Movement di mana golongan kulit hitam di Amerika berjuang untuk menuntut hak mereka dan sering digambarkan secara buruk oleh media, malah Martin Luther King Jr. baru sahaja mati dibunuh pada tahun 1968, namun Woodstock menunjukkan kebenaran yang sebaliknya. Di Woodstock, semua orang tanpa mengira warna kulit bersatu dan sama-sama bantu membantu sepanjang tiga hari berlangsungnya festival tersebut. Walaupun banyak cabaran seperti tiada bekalan makanan, hujan lebat, tandas yang terhad dan sebagainya, tiada sebarang insiden buruk yang berlaku antara mereka. Paling epik, lihatlah kumpulan-kumpulan yang bermain pada waktu itu. Kalian boleh lihat sendiri ahli-ahli kumpulan Santana seperti di bawah. Nak lebih epik lagi, boleh cari gambar kumpulan Sly and the Family Stone. Pendek kata, Woodstock ’69 boleh diibaratkan seperti syurga untuk Hippies!