Grunge vs Seattle Sounds – Perspektif Mengikut Generasi

oleh Music Addicts Malaysia
2.6K bacaan

Muzik Grunge seperti yang diketahui umum merupakan sebuah genre yang masih lagi mampu menambat hati peminat irama rock khususnya sejak lewat dekad 80’an lagi. Kini irama Grunge sudah dikomersilkan dan mencapai status yang baik di dalam dunia muzik mainstream.

Namun percaya atau tidak, perspektif muzik Grunge mengikut generasi amatlah berbeza. Setiap generasi yang menyerap muzik ini di era mereka mempunyai definisi yang berlainan.

Sebagai contoh, jika anda seorang peminat muzik Grunge sejak ia mula diperkenalkan pada lewat dekad 80’an dahulu, anda mungkin sudah tahu bahawa terma “Grunge” itu sendiri merupakan sebuah produk yang dicipta oleh media mainstream dan juga label-label besar dan banyak band-band lahir dari komuniti Seattle Sound amat membenci terma tersebut. Sebagai contoh pihak Sub Pop sendiri amat tidak menyukai perkataan Grunge sehinggakan mereka menghasilkan tshirt yang tertulis “Grunge Is Dead” sebagai tanda protes dan juga parodi terhadap terma tersebut.

Generasi awal yang meminati nuansa Grunge ini juga tahu bahawa mereka lebih selesa melabelkan muzik sebegini sebagai Seattle Sounds kerana pada mereka ia lebih intim dan bersesuaian dengan komuniti tersebut. Generasi ini juga tahu bahawa dalam muzik Grunge itu sendiri mempunyai pelbagai bentuk dan rupa, tidak hanya statik kepada satu bentuk gaya sahaja. Sebagai contoh muzik bawaan Pearl Jam, Soundgarden, Alice In Chains dan Nirvana mempunyai perwatakan mereka yang tersendiri serta perbezaan yang ketara dalam corak muzik masing-masing.

Itu baru kita lihat untuk band-band The Big 4 Of Grunge, kita belum lihat dan dengar lagi band-band underrated lain dalam scene Seattle Sound. Band-band legenda seperti Monomen, TAD, Gruntruck, Babes In Toyland, Screaming Trees merupakan wira-wira yang tidak didendang di dalam scene tersebut dari perspektif global namun rata-rata mereka ini mempunyai sound yang unik serta tersendiri.

Generasi awal ini juga turut meminati band-band bukan asal Seattle namun mempunyai citarasa serta feel yang sama seperti Smashing Pumpkins, Sonic Youth, Dinosaur Jr., Stone Temple Pilots serta band-band Post Grunge seperti Collective Souls serta Silverchair. Ini adalah disebabkan band-band ini turut popular di era yang sama.

Manakala generasi baharu yang merangkumi Millenials dan Generasi Z, mereka ini lebih berpaksikan kepada Nirvana dan Butterfingers secara umumnya. Ini tidaklah bermaksud bahawa mereka hanya meminati dua band ini sahaja akan tetapi dua band inilah rujukan mereka tentang definisi Grunge yang lengkap dan tepat kepada mereka.

Butterfingers.

Sebenarnya melalui pemerhatian penulis dan berdasarkan apa yang berlaku di dalam scene muzik independent dalam negara kita, golongan generasi baru lebih ke arah mendukung band-band tempatan dalam aliran Gerakan Grunge Bangkit. Gerakan ini sebenarnya telahpun muncul sekitar pertengahan dekad 2000’an dan menjadi perintis seperti Maddame…, Neverdeles, Green Love, Nepotist, Wildhorse (Kuching), Buxnid (Bintulu), Sludgy (Lahad Datu & KK) dan ramai lagi. Generasi ini sebenarnya lebih memberi sokongan terhadap band-band grunge tempatan yang ternyata unik dan mempunyai kekuatan sendiri.

Satu sisi positif yang dapat dilihat daripada gerakan ini ialah, mereka telah mewujudkan satu proses rebranding terhadap terma Grunge. Dahulunya nama Grunge ini cukup tidak digemari oleh peminat tepu muzik Seattle Sounds generasi awal, namun setelah melalui beberapa sesi peredaran zaman, terma Grunge dirasakan lebih mesra dengan generasi baru. Ini merupakan satu perubahan yang cukup bagus dan memeriahkan lagi scene muzik independent di dalam negara kita khususnya.

Kesimpulannya di sini, tidak kisahlah anda dari generasi yang mana satu, setiap generasi mempunyai pro dan connya tersendiri. Masing-masing mempunyai kekuatan serta kelemahannya tersendiri. Biar apa pun yang mendatang, irama Grunge tetap menjadi kegemaran setiap penggemar muzik tidak mengira peringkat umur mahupun status di dalam masyarakat.

Tulisan asal: Adi Herman Pendekar Mustar

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅