Penulis: Hanis Izzatul
Cuaca yang panas membahang sama sekali tidak menghalang para pencinta muzik tempatan untuk hadir ke hari kedua Hausboom Music 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Acara yang bermula tepat jam 12 tengah tersebut dimulai dengan kugiran Midnight Fusic yang membawakan empat lagu iaitu Caramel Cream, Sandiwara, Modus Operandi dan Strangers. Sementara menunggu setiap kugiran membuat persediaan, acara diselang-selikan dengan set DJ daripada DJ Acap.
Acara kemudian bertukar tangan kepada persembahan yang kedua iaitu 53 Stu kemudian diikuti pula dengan Gard Wuzgut, Luqman Podolski, Iqbal M., Grey Sky Morning, Sekumpulan Orang Gila, Salammusik, dan Toko Kilat.
Slot terakhir pada petang itu diisi oleh kugiran Masdo yang turut menampilkan penyanyi bersuara lunak dari Singapura iaitu Aisyaah Aziz yang menyanyikan karya terbaharu mereka iaitu Pujaanku. Kemudian diikuti pula oleh gabungan rappers hebat iaitu Alyph dan SonaOne. Pentas kemudiannya berehat untuk memberi ruang untuk waktu solat Maghrib.
Slot di sebelah malam dihangatkan lagi dengan persembahan penuh seksi dan lincah daripada kumpulan pop Malaysia, Dolla yang menjadikan para lelaki khususnya, tidak keruan dan meracau-racau seolah-olah para isteri dan kekasih hati tiada di sebelah. Sementara disidai hampir 10 hingga 15 minit untuk persembahan yang seterusnya, pengunjung dihiburkan dengan set DJ daripada DJ Fuzz yang memutarkan lagu-lagu hit dan trending agar penonton dapat sing along dan tidak panas hati kerana terpaksa berdiri lama.
Acara diteruskan lagi dengan persembahan penuh kejutan daripada Joe Flizzow yang menampilkan artis rakaman baru Def Jam Recordings SEA, Ismail Izzani yang menyanyikan lagu Sunyi serta penampilan Adeep Nahar yang menyanyikan lagu Too Phat iaitu Alhamdulillah. Penonton seakan-akan tidak percaya dapat mendengarkan lagu tersebut secara live. Ia seolah-olah menggamit semula memori sewaktu di awal kemunculan Joe dalam industri bersama kumpulan hip hop terkenal tersebut.
Setelah disidai sekali lagi, Dato’ M. Nasir menyambung acara dengan persembahan penuh bertenaga dengan menyanyikan lagu-lagu hit seperti Raikan Cinta,Mentera Semerah Padi, Gerhana, Apokalips danTanya Sama Itu Hud Hud. Ribuan peminat yang hadir turut sama-sama sing along dan ada juga yang membuka bunga silat dengan gaya tersendiri.
Hujan kemudiannya mengambil alih pentas dengan persembahan penuh berbisa daripada Noh Salleh yang turut menampilkan Naim Daniel di penghujung persembahan mereka. Raingers yang hadir tidak sekali-kali melepaskan peluang untuk mosh, headbanging dan crowd surf seperti tiada hari esok.
Sementara menunggu persembahan penutup daripada ratu rock Malaysia iaitu Ella, hujan turun secara tiba-tiba membasahi litar Sepang. Walaupun entah ke berapa kali disidai, namun, penonton masih tetap setia menunggu hingga ke penghujung acara.
Kemunculan Ella di atas pentas menjadikan rasa letih dan sakit kaki sepanjang hari tersebut hilang seketika dek kerana kecomelan dan sifat manja Ella apabila berada di atas pentas. Malam Hausboom Music 2023 diakhiri dengan nyanyian penuh indah daripada Ella yang menyanyikan lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah, Rama-Rama, Nuri, Kesal, Standing In The Eyes Of The World dan Gemilang.
Secara keseluruhan, penulis dapat simpulkan bahawa acara Hausboom Music 2023 merupakan sebuah acara yang berjaya dan akan dikenang serta dibicarakan untuk masa yang panjang. Walau bagaimanapun, masih banyak yang perlu diperbaiki terutamanya dari segi pengurusan masa setiap artis yang membuat persembahan. Memang tidak dinafikan acara atau festival yang menampilkan barisan artis hebat sebegini akan berlakunya kelewatan (delay) atau perkara-perkara lain yang tidak diingini. Namun, jangan normalisasikan dan ambil remeh dan terus perbaiki di masa depan.
Selain itu, penulis juga berharap agar Hausboom Music pada tahun-tahun akan datang akan lebih banyak menyediakan perkhidmatan tong sampah di merata-rata tempat kerana keadaan selepas habis acara sangat-sangat menyedihkan, seolah-olah baru sahaja selesai ‘festival sampah’.
Pujian dan ucapan terima kasih perlu diberikan kepada semua krew-krew belakang dan depan tabir yang telah bertungkus lumus sepanjang dua hari acara ini berlangsung.
Untuk pengetahuan anda, Hausboom Music 2023 juga mencipta sejarah kerana telah menjadi konsert lokal terbesar yang pernah diadakan di Litar Antarabangsa Sepang!