Tanjong Bintang Showcase : Magis dan Mistik, HACKTICK! ‘Lahir Semula!’

oleh Boes!
755 bacaan

Kredit: @faridothmn


Tak terlambat untuk penulis ucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua! Semoga semangat muhibah yang diterapkan dalam diri masing-masing berkekalan sampai bila-bila.

Bersempena dengan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September 2023 lepas, penulis berkesempatan untuk menghadiri satu acara pelancaran EP yang diberi nama Tanjong Bintang Showcase oleh kumpulan HACKTICK!. Bertempat di Poolside Bistro, Hotel Ideas Kuala Lumpur, showcase ini dianjurkan oleh Naib Johan Records, disokong oleh Converse, NeoGendang dan Imperostudio.

Apa yang menariknya untuk showcase kali ini, pengunjung boleh melepak santai di tepi pantai kolam renang dan pada masa yang sama boleh menikmati persembahan bukan sahaja daripada band ini sendiri, tetapi bersama-sama SMESTA dan Pasca Sini yang pada penulis bukan biasa-biasa! Band emo baharu dan lama yang berpotensi besar mewarnai kanvas muzik Malaysia ketika ini. Showcase ini juga dimulakan dengan sesi perkongsian dan akustik, diikuti dengan persembahan langsung sehingga 10 malam.

Kali terakhir penulis ingat, HACKTICK! telah melancarkan EP mereka yang pertama sekitar tahun 2018. Boleh dikatakan agak lama juga untuk menunggu buah tangan terbaharu mereka (tolak tepi rilisan single dan beberapa projek khas mereka) dan di acara semalam beberapa persoalan yang terungkai di kepala penulis telah pun terjawab semuanya. Nak tahu lebih? Sambunglah baca!

Sesi perkongsian dan akustik oleh HACKTICK!

Acara dimulakan sekitar 4.40 petang dengan sesi perkongsian dan akustik oleh HACKTICK!. Dihoskan oleh Thoriq dan Dini Azri, sesi ini dimulakan dengan perkongsian informasi dan diselang-selikan dengan persembahan akustik beberapa lagu lama dan baharu oleh Hyke Nasir dan ahli kumpulannya. Penulis beruntung kerana menjadi sebahagian yang dapat mendengar awal rilisan terbaharu mereka ini secara live sebelum dikeluarkan secara rasmi di platform digital seawal minggu hadapan (tak tahu bila, kena sama-sama tunggu pengumuman rasmi daripada mereka sendiri!).

Dalam sesi perkongsian tersebut, moderator bertanyakan soalan berkaitan dengan EP terbaharu mereka, Tanjong Bintang in D Major dan EP ini secara amnya diinspirasikan oleh pengalaman peribadi  vokalis mereka berkhemah sambil menulis lagu di Tanjong Malim bersama Moja (Late Night Frequency) sekitar Februari yang lepas. Kata Hyke lagi, atas pengalaman tersebut (yang dikatakan ada berkaitan dengan alam bunian, interesting) material ini haruslah dikeluarkan dahulu kerana ‘mengacau’ pemikirannya. Nama untuk EP ini juga diambil bersempena dengan peristiwa terbabit yang juga diinspirasikan oleh Moja.

EP Tanjong Bintang in D Major bakal memuatkan empat buah lagu dan kali ini turut mendapat sentuhan Wish sebagai co-producer dan co-songwriter. Berdasarkan perkongsian Hyke, EP ini juga disiapkan di saat akhir sebelum berlangsungnya showcase ini. Antara judul lagu yang dimuatkan dalam EP ini adalah Sungai dan You Crazy yang juga diperdengarkan secara akustik pada sesi tersebut. Penulis dapat merasakan kelainan yang dibawakan oleh kumpulan ini menerusi EP kedua mereka. Sedangkan akustik pun dah buat penulis terpana, malam nanti pula bagaimana?

Dan kepada sesiapa yang tertanya adakah lagu Bencilah Macam Ni! dan Sayang Awak (yang baru sahaja dilancarkan beberapa bulan lepas) akan dimuatkan dalam EP ni, menerusi sesi perkongsian, Hyke mengumumkan bahawa lagu-lagu tersebut tidak dimasukkan ke dalam EP ini kerana EP ini adalah sebuah kelahiran semula mereka. Lagu yang dimuatkan dalam EP tersebut akan menunjukkan sisi baharu dan akan membawa kelainan kepada pendengar. Lagu Bencilah Macam Ni! telah dilancarkan sebagai farewell song kepada Mo dan Zul yang tidak bersama kumpulan ini lagi secara muzikal. Menjawab tentang ekspektasi mereka terhadap EP ini, mereka menjanjikan sesuatu yang pure, raw dan honest dalam kelahiran semula dan buah tangan terbaharu mereka nanti.

Dalam sesi perkongsian itu juga, HACKTICK! turut mengumumkan siri jelajah yang diberi nama ‘Di Simpang Tiga ke Tanjong Bintang’ yang akan menakluk negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan juga negara seberang, Singapura bersama Johny Comes Lately. Destinasi pertama mereka adalah di Insider Satellite Ipoh, Perak yang akan berlangsung pada 24 September ini. Tiket sudah boleh dibeli di sini.

Penulis sempat bertanya beberapa soalan kepada mereka berkenaan dengan EP ini. Antaranya adalah adakah EP ini juga akan mendapat ‘suntikan’ elemen etnik (bunyi kemelayuan) seperti rilisan sebelumnya dan cadangan lagu kepada peminat baharu yang ingin mengenali HACKTICK!. Jawab Hyke, ya, kali ada juga disuntikkan elemen seperti lagu P. Ramlee yang juga diperdengarkan ketika sesi akustik dan untuk cadangan lagu, menyarankan untuk mendengar EP secara keseluruhan kerana setiap lagu berkait rapat antara satu sama lain. Tetapi untuk menunjukkan bagaimana bunyi kelahiran semula mereka adalah menerusi lagu You Crazy dan See You When I See You. Tak sabar penulis untuk menantikan EP mereka dilancarkan secara rasmi tak lama lagi.

Kopi, vokalis SMESTA dengan penghayatan yang tinggi.

Sesi perkongsian berlangsung lebih kurang sejam dan disusuri dengan persembahan pertama oleh SMESTA sekitar 6.30 petang. Band Emo yang ditubuhkan akhir 2021 ini membuka pentas dengan mendendangkan lagu-lagu mereka yang dimuatkan dalam EP Rotten Fantasy iaitu Pesta Depresi. Jujur penulis amat kagum dengan kumpulan ini kerana kualiti persembahan dan lagu-lagunya memang mengagumkan. Tak janggal dan penuh penghayatan. Pengunjung dihiburkan dengan beberapa lagu lain dalam EP tersebut iaitu Introvert dan December’s Curse berserta beberapa lagu yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi. Korang kena check-out SMESTA, diorang tak main-main tau! Makmurlah kamu SMESTA!

The emo boys. Kredit: @nooranwarhadi

The emo boys from Damansara, Pasca Sini menjadi kumpulan kedua yang menggegarkan Poolside Bistro, Hotel Ideas pada jam lapan malam. Dendangan lagu-lagu daripada album Emo Department menjadi laungan dan nyanyian pengunjung yang mula memenuhi ruang tersebut seperti DMB dan Semula. Kemunculan Saniy (Wickweaky) bersama-sama bermain saksofon merancakkan lagi suasana. Mereka juga tidak melepaskan peluang untuk mendendangkan lagu terbaharu mereka yang berjudul Sanktuari dan turut membuat rakaman video muzik untuk lagu yang sama. Malam itu juga kesemua orang yang berada dalam ruang itu menyambut hari kelahiran Thoriq, salah seorang daripada ahli kumpulan Pasca Sini. Mereka mengakhiri slot persembahan dengan lagu cover Intifada yang dimuatkan dalam EP Nasyidcore mereka. Headbanging wei!

HACKTICK! mula beraksi. Kredit: @faridothmn

HACTICK! kemudian mengambil alih pentas sebagai band penutup kepada showcase mereka. Bermula dengan bunyian seruling yang tiba-tiba membuatkan semua orang terkesima sebentar, mereka memulakan persembahan dengan lagu pembuka yang dimuatkan dalam EP Tanjong Bintang in D Major, Sungai dan disusuli dengan lagi You Crazy. Kedua-dua lagu memberikan kesinambungan dan bergantung pada satu sama lain dan penulis mengerti apakah yang dimaksudkan oleh Hyke pada sesi perkongsian petang itu.

Aktiviti wajib setiap kali persembahan HACTICK!. Kredit: @faridothmn

Lagu-lagu dari EP Dog Days Diaries : A Self-Help Book juga didendangkan pada malam itu seperti Mujikalau Kita Kata Ke Depa, Bukan Depa Nak Mau Dengaq, Berhenti Melayu dan Rusok Kiri. Kemudian mereka mendendangkan lagu See You When I See You dan Laut yang menjadi pelengkap kepada EP terbaharu mereka nanti. Dan lagu Jangan Risau berkumandang sebagai lagu penutup kepada persembahan mereka pada malam itu. Persembahan berakhir sekitar 10:10 malam.

Secara keseluruhan, walaupun dikhabarkan persiapan untuk showcase dan EP ini adalah di saat akhir, penulis nak berikan setinggi penghormatan kepada krew dan penganjur yang bertungkus lumus memastikan acara ini berjalan dengan lancar dan selamat. Terima kasih kepada penganjur yang menjemput MAMY untuk memeriahkan lagi suasana! Penulis puas hati!

@faridothmn

Dan setelah meneliti dan mendengar EP Tanjong Bintang in D Major secara live pada malam tersebut, penulis merasakan bahawa buah tangan terbaharu mereka ini bakal mencipta sejarah tersendiri kepada HACKTICK!. Kematangan dan kesucian dapat didengari melalui penyampaian dan penghasilan material tersebut. Penulis berharap agar EP in akan menjadi batu loncatan kepada mereka untuk bergerak lebih maju dan jauh ke hadapan.

Selamat Maju Jaya, teruskan menggegar dunia! All the best for your tour boys!

P/S: Harap dalam album nanti akan ada juga konsep pembuka dan penutup macam EP ni nanti la ya?

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅