
Kredit: Aina Roslan
Oleh : Khaliq G
Kebanjiran konsert artis-artis terkemuka baik dari tempatan mahupun antrabangsa menjadi polemik bagi sesetengah pihak ketika ini. Mereka bilang, ketika ada saudara kita yang menderita akibat perang, kenapa masih ramai lagha dengan muzik yang melalaikan?
Saya kira langkah Icon Entertainment di bawah kendalian Iman Tang untuk membawa satu nama yang cukup besar bagi genre kerohanian, Opick baru-baru ini untuk mengadakan konsert di ibu kota cukup kena pada masanya. Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi – Opick & Sakti Live in Kuala Lumpur yang diadakan pada Sabtu lalu (11 November 2023) di Zepp Kuala Lumpur bukan sahaja menampilkan Opick, namun turut dibarisi nama-nama besar termasuk UNIC, Zizi Kirana, Amir Masdi, Adi Priyo (6xth Sense), Fazura dan Yabang Khalifah sebagai artis jemputan tempatan bagi konsert yang berlangsung lebih 3 jam. Konsert ini juga menjadi konsert pertama yang berjaya melembutkan hati Sakti – bekas pemain gitar band legenda Sheila On 7 untuk menghiburkan penonton atas niat menyampaikan dakwah.

Kumpulan UNIC. Kredit: Aina Roslan
Konsert bermula pada jam 8.45 malam dengan kumpulan UNIC menjadi pemanas panggung. Bijak berinteraksi bersama penonton, kumpulan yang kini dianggotai 3 jejaka – Fakhrul, Bazli dan Fitri berjaya membawa penonton mengimbau kembali kenangan pada zaman sekolah. 4 lagu didendangkan, dan ada penonton yang ketika itu di sekolah rendah, kini sudah pun berkeluarga. Prihatin dengan nasib warga Palestin yang masih lagi menderita akibat konflik perang, UNIC mengajak penonton untuk sama-sama membacakan doa Qunut Nazilah. Semoga doa-doa kerdil namun ikhlas dari kita semua diangkat ke langit tanpa hijab dan mampu meringankan beban saudara kita di sana.

Zizi Kirana. Kredit: Aina Roslan
Zizi Kirana meneruskan acara dengan membawakan lagu Alhamdulillah dendangan asal Too Phat. Tidak canggung beraksi di pentas walaupun manis berabaya dan sekadar duduk di bangku, kehebatan Zizi dalam mengalunkan lagu hip hop tidak perlu diragukan lagi. Sebelum itu, Zizi sempat berduet bersama UNIC dalam lagu Purnama. Pernah menjadi Qariah ketika zaman sekolah, menjadi kelebihan buat sumandak Sabah seorang ini menyampaikan naskah tersebut. Qasidah yang Zizi alunkan cukup sedap dan mendayu, meruntun jiwa kami semua pastinya.

Amir Masdi. Kredit: Aina Roslan
Amir Masdi kemudian muncul di panggung menyampaikan dua buah lagu – Sayap Ilusi dan Tell Me Why. Paparan video kanak-kanak Palestin menjadi sebahagian visual ketika Amir mengalunkan Tell Me Why. Seluruh dewan terdiam ketika menyaksikan klip-klip tersebut. Benar, dalam bergembira, muzik sebenarnya boleh menjadi senjata dalam menyampaikan dakwah. Bagaimana kita memandang muzik itu sendiri menjadi penentu judgement kita akhirnya. Antara lalai atau sekadar untuk menghiburkan hati, terpulang pada diri masing-masing.

Adi Priyo. Kredit: Aina Roslan
Adi Priyo mengambil alih pentas dengan mendendangkan dua buah lagu. Cintaku Padamu Seluas Angkasa menjadi lagu pertama yang dipetik daripada album kerohanian 6xth Sense diterbitkan pada tahun 2014. Adi meneruskan persembahan dengan lagu Ketika Kaki dan Tangan Berkata, nyanyian asal Chrisye. Lagu yang liriknya diambil insipirasi dari surah Yassin, disampaikan Adi secukup rasa.

Fazura. Kredit: Aina Roslan
Ketika penonton kelihatan sudah mula resah, konsert berlangsung seperti sudah lama namun Opick masih belum muncul di pentas, Fazura hadir di atas panggung. Manis, cukup jelita primadona seorang ini mengenakan busana serba putih. Sepertinya bidadari di balik langit telah terjatuh di muka bumi pada malam itu.
Namun, ternyata kecantikan sahaja tidak boleh menjadi tiket agung untuk nama besar seperti beliau menyinar di semua arena seni. Saya kira, cukuplah Fazura menumpukan fokus pada bidang yang dia tahu di mana letak kekuatan dan kehebatan dirinya – lakonan dan fesyen. Tidak perlu Fazura membuktikan dia serba-serbi boleh dalam semua disiplin seni.
Jika Cinta Allah, karya religis Fazura feat Ahmad Dhani, dipersembahkan di hadapan ramai manusia pada malam itu. Saya terfikir, di mana Fazura kutip keberanian dan keyakinan yang cukup tebal untuk melontarkan suara yang maaf cakap, entah apa-apa pada malam itu. Dari intro ke verse dan ke chorus pertama, dari rasa teruja, saya rasa semakin marah. Konsert ini disaksikan bukan saja oleh penonton tempatan, malah penonton Indonesia. Inikah representasi dari Malaysia yang mahu penganjur mahu penonton luar saksikan?
Dengan adanya teknologi autotune, suara sumbang pun boleh kedengaran merdu dalam penghasilan lagu. Namun, persembahan live tidak pernah menipu. Saya sedikit keliru dalam kira-kira 4 minit Fazura di atas pentas, sebenarnya apa dia lakukan? Bercakap kah? Atau sedang menangis? Atau sedang bersembang? Yang pasti itu bukan seni nyanyian. Ramai penonton di belakang saya juga bercakap-cakap, lebih baik Fazura fokus berlakon saja. Heh.

Yabang. Kredit: Aina Roslan
Baik, cukuplah saya membebel pasal ratu cantik yang seorang itu. Malam yang panjang itu diteruskan dengan dua buah lagu dendangan Yabang Khalifah – Suara Khalifah dan Satu Khalimah. Penonton seakan sedikit lega, kerana berbaloi juga duit tiket yang mereka keluarkan untuk menonton persembahan yang benar-benar persembahan. Tiada rupa yang kacak, tapi Yabang pastinya dikurniakan bakat suara yang besar dan hebat.

Sakti. Kredit: Aina Roslan
Sakti muncul di atas pentas, cukup lain pada malam itu. Cukup sederhana. Sekadar berserban dan berjubah. Atas niat mahu menyampaikan dakwah atas landasan muzik dan juga pesan-pesanan buat peminat, beliau yang juga dikenali dengan nama Salman al-Jugjawy setelah kembali pada Islam, tampil untuk pertama kali di konsert baik di Malaysia mahupun Indonesia.
4 lagu dialunkan Sakti pada malam itu, dengan ditemani petikan gitarnya. Cahaya Terang, Bertasbih, Buat Aku Tersenyum dihadiahkan buat peminat setianya. Kerana nyanyian bukanlah forte beliau, maka kita maafkanlah atas kekurangan suara dalam persembahannya. Fokus konsert dialihkan sebentar, dengan sesi bidaan amal gitar milik Sakti yang ditandatangani oleh beliau dan juga Eross SO7. Bidaan dibuka pada nilai RM3,000 dan akhirnya setelah pertarungan 4 penjuru, gitar tersebut berjaya dijual pada nilai RM11,000. Paling manis, hasil jualan ini 100% akan disalurkan sebagai bantuan buat tabung Palestin.
Menutup persembahan malam itu, Sakti menyampaikan lagu berhantu SO7, Sephia, yang telah diubah-suai liriknya menjadi lagu Dunia. Penonton diajak menyanyi bersama-sama. Walaupun liriknya diubah namun tidak susah untuk penonton cath up dan singalong. Akan tetapi, yang menjadi perkara paling pelik pada malam itu, adalah cara Sakti menyudahkan persembahannya. Dia tiba-tiba ke tepi pentas, meminta bantuan kru untuk mengambil gitar yang tergalas di bahu, lalu berlalu keluar ke belakang panggung sambil terus bernyanyi.
Peminat terpinga-pinga dan menantikan di mana Sakti mahu muncul semula. Mungkin ini adalah gimik, tiba-tiba dia akan muncul di bawah pentas, untuk bersama para peminat. Ternyata tekaan kami salah. Habis saja bernyanyi, Sakti mengucapkan terima kasih dari belakang pentas. Dan dia berlalu terus dari konsert tanpa menunjukkan dirinya. Bukan sahaja penonton terpinga-pinga, pengacara konsert juga secara berseloroh menyatakan beliau rasa terkejut dengan cara Sakti menamatkan persembahan. Saya kira, perbuatan Sakti pada malam itu agak kurang sopan. Di mana rasionalnya beliau berlalu pergi begitu saja? Membuatkan satu dewan tercengang dan tidak faham apa yang berlaku. Cukup tidak profesional persembahan sebegini, dan dipersembahkan oleh figura yang punya pengalaman berpuluh tahun dalam arena muzik?

Opick. Kredit: Aina Roslan
Konsert yang seakan-akan meleret ini akhirnya dihangatkan dengan bintang besar yang cukup ditunggu-tunggu. Opick hadir dengan batalion pemuziknya dari Indonesia. Penuh satu pentas dengan pemuzik yang dibawanya ke setiap konsert dan persembahan. Kemunculannya disambut sorakan hebat penoton.
Selaku bintang besar genre religi nusantara, Opick tidak lekang mengucapkan syukur, memuji Tuhan dan memberi peringatan mesra kepada para penonton. Tentu saja perkara ini menjadi kekuatan Opick dan menjadi asbab dia disayangi oleh pencinta muzik.

Kredit: Aina Roslan
Sebagai penghargaan kepada penonton yang menunggu lama, Opick bermurah hati untuk menyanyikan sepuluh buah lagunya pada malam tersebut. Lagu-lagunya cukup dikenali kerana sering juga menjadi runut bunyi bagi sinetron dan filem, pantas dinyanyikan bersama-sama satu dewan pada malam itu. Assalamualaikum, Rapuh, Dealova dan Alhamdulillah menjadi lagu-lagu favourite hadirin. Kesemua mereka menyanyi bersama-sama, dan masing-masing larut dalam lirik lagu yang memberi peringatan buat para pendengar. Antara lagu lain yang didendangkan termasuklah Sholawat, Ya Maulana, Di Bawah Langit, Bila Waktu Telah Memanggil, Palestine Calling You dan Tombo Ati.
Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi – Opick & Sakti Live in Kuala Lumpur tamat tepat pada jam 12.05 malam. Sebahagian penonton telah mula beransur pulang sejak jam 11 malam sebenarnya, mungkin kerana perjalanan konsert yang terlalu panjang. Buat peminat Opick, pastinya masing-masing pulang dengan rasa bahagia. Manakala pada saya, selain niat baik dan mesej mulia yang dibawakan pada konsert ini, banyak perkara dalam penganjuran konsert ini yang boleh diperbaiki pada masa akan datang.