“All we seem to know is how to show the feelings that are wrong” adalah bahagian lirik yang paling sedih menusuk sanubari dalam lagu Don’t Go Away oleh Oasis. Ia merupakan sebuah karya muzik dalam album ketiga Oasis, iaitu Be Here Now. Pelbagai pahit manis yang berlaku ketika pembikinan album ini. Antaranya, kisah gitaris utamanya, Noel Gallagher membenci album ini, tetapi disukai oleh vokalisnya, Liam Gallagher.
Menurut Noel, jumlah minit lagu-lagu dalam album ini terlampau panjang berbanding album-album sebelum ini, iaitu Definitely Maybe dan What’s The Story Morning Glory. Noel turut membencinya kerana penjualan Be Here Now tidak setanding dengan album-album sebelum ini.
Dalam satu temu ramah bersama Q Magazine, Noel pernah berkata:
“In the studio it was great, and on the day it came out it was great. It was only when I got on tour that I was thinking, ‘It doesn’t fucking stand up.’”
Bagi penulis, Be Here Now ialah satu karya seni muzik yang hebat tetapi tidak sehebat Definitely Maybe dan What’s The Story Morning Glory. Namun, ramai sebenarnya tidak tahu, dalam album ini terdapat satu lagu yang menceritakan kisah tragis Noel Gallagher. Ia menarik minat penulis untuk membongkarkannya kerana ia seperti satu permata tersembunyi.
Don’t Go Away: Kisah sedih antara Noel dengan ibunya
Lagu Don’t Go Away ditulis oleh Noel Gallagher sebagai satu platform untuk meluahkan satu perasaan sedih dan hiba apabila orang tersayang terpaksa meninggalkan kita buat selama-lamanya.
Don’t Go Away ditulis oleh Noel bagi menyampaikan perasaan sedih terhadap ibunya yang terpaksa dimasukkan ke hospital kerana disyaki menghidap kanser. Kerisauan melampau hadir dalam diri Noel kerana takut akan kehilangan ibunya. Ia ditulis supaya dia dapat meluahkan perasaannya serta cuba mengatasi ketakutan terhadap kematian. Meskipun ibunya sembuh daripada penyakit itu, tetapi tetap memberikan kesan kepada dirinya.
Noel pernah mengatakan album ini terlampau mementingkan tentang kisah dirinya sendiri seperti lagu ini. Namun, ia tidak seperti yang dia sangka, kerana lagu ini bersifat luwes, tidak terikat pada kisah dirinya tetapi pendengar boleh mengaitkan kisah kehilangan seseorang dengan lagu ini.
Lagu ini meninggalkan metafora atau imaginasi yang luas bagi pendengar. Contohnya, bahagian lirik “I can’t find the words to say“, pelbagai maksud yang boleh disampaikan seperti penyanyi tidak tahu bagaimana ingin meluahkan perasaannya selepas mendengar berita yang dia akan kehilangan seseorang. Ia juga boleh membawa maksud penyanyi terkedu tidak boleh berkata apa-apa selepas mendengar berita akan kehilangan orang yang tersayang.
Walaupun tajuk lagunya biasa, jelas dan nyata ingin membawa maksud jangan pergi kepada orang yang dicintai. Namun, ia amat memberikan impak apabila mendengar lagunya.
Sumber:
- NME: Liam Gallagher blames Noel for the bad reputation of ‘Be Here Now’.
- Far Out Magazine: Noel Gallagher on why he “hates” Oasis album ‘Be Here Now’.
- NME: Listen to rare Oasis demo of ‘Don’t Go Away’.
- stopcryingyourheartout: Q Magazine Covers The 10th Anniversary Of Oasis’ Controversial Third Album, Be Here Now.
- NME: Noel Gallagher has a lot of regrets about ‘Be Here Now’.