Sebut tentang Mr Big, pasti terbayang sosok dua ‘Dewa Gitar’ yang merupakan anggota kumpulan tersebut iaitu Paul Gilbert dan Billy Sheehan (bass). Paul Gilbert antara gitaris rock moden terbaik dunia bertaraf profesor muzik sebaris dengan Steve Vai, manakala Billy adalah legenda ulung masyhur dalam arena bass.
Kehadiran Mr Big bagi persembahan penutup jelajah ‘The BIG Finish’ di Zepp KL pada 14 Ogos 2023 mengimbau nostalgia ramai otai rockers yang turun di konsert semalam. Apa tidaknya, Mr Big adalah antara band terbesar dalam era Rock awal 90-an dan lagu-lagu hits mereka menguasai carta muzik antarabangsa.
Dibantu oleh Nick D’Virgilio di bahagian dram menggantikan mendiang Pat Torpey, Mr Big memulakan set tepat 8.30 malam (lejen besar taraf profesor tak ada sidai-sidai oi!) dengan lagu ‘Addicted To That Rush.’ Para penonton terus disajikan dengan lagu-lagu mereka yang pernah menjadi siulan suatu waktu dahulu.
Eric Martin benar-benar menonjolkan ketulenan sebagai seorang vokalis. Masakan tidak, suara beliau kekal tidak berubah selepas lebih tiga dekad, masih Rock & Roll dan bertenaga, malah tiada perbezaan ketara sepertimana dalam Spotify!
Manakala gentelan bass Billy Sheehan dan kelincahan jari-jemari Paul Gilbert menjadi pesona bahawa inilah dua dewa besar muzik beraksi mesra bersama-sama para penonton.
Seramai kira-kira 1,500 peminat turun menyaksikan termasuklah rakan-rakan artis dan populariti tanahair seperti Wings, Exists, Ajai, Mus, Shah Slam, Lola dan lain-lain.
Kemuncak konsert ialah ketika mereka membawakan lagu-lagu epik Rock & Roll dan hits-hits balada mereka iaitu Daddy, Brother, Lover, Little Boy (solo guna drill pemutar skru), Green Tinted Sixties Mind, Just Take My Heart, To Be With You dan Wild World.
Sebanyak 24 lagu dipersembahkan sepanjang dua jam konsert. Mereka mengakhiri konsert dengan lagu saduran The Who, ‘Baba O’ Rielly’ dalam suasana penuh keriangan otai-otai dan nostalgia rock 90-an.
Jelas sekali, Mr Big nampak gembira dapat beraksi di Malaysia dan kehadiran mereka adalah keraian kenangan sebuah band agung dalam arena muzik 90-an tetapi kekal relevan sepanjang masa dan sentiasa dekat di hati peminat-peminat mereka.
Kredit: Shiraz Project
#ChivasAlexandria