Setelah 21 tahun bertapak dalam industri muzik, The Paddock di Petaling Jaya menjadi saksi konsert sebuah kumpulan rock Malaysia pernuh dengan “warna warni” di mata penulis iaitu Pretty Ugly.
Rock, funk, soul, jazz malah infusi polka pernah dipersembahkan oleh Pretty Ugly sepanjang perjalanan seni mereka dan eksperimen ini berjaya apabila ruang persembahan mereka di The Paddock pada 25 Februari kelmarin hampir dipenuhi oleh peminat tegar kumpulan itu. Tidak dilupakan juga apabila kelibat pemuzik prominen tanah air seperti Dato’ M.Nasir, Datin Marlia Musa serta anggota Exists dan Wings turut hadir pada malam tersebut.
Dibarisi oleh tiga anggota asal iaitu Neves selaku nadi dan penyanyi, Jay (gitaris), Juad (bassist) dan dibantu oleh Jun (drummer), Eddy (keyboardist) dan Fizi (gitaris), Pretty Ugly berjaya membangkitkan kembali nostalgia menerusi lebih 20 buah lagu daripada keseluruhan diskografi yang pernah diterbitkan mereka. Beberapa lagu saduran juga menjadi pilihan dan sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh arwah Siti Sarah berjudul Jangan Kau Mimpi merupakan standout track pada malam itu. Ini kerana lagu tersebut merupakan nukilan Neves sendiri untuk Siti Sarah suatu ketika dahulu maka Pretty Ugly bukan sahaja menyanyikannya kembali dalam versi lebih segar, tetapi juga sebagai penghormatan kepada penyanyik ikonik itu.
Eksplorasi genre mereka tidak terhenti dalam album sahaja apabila malam itu lagu En Ronald Moore dipersembahkan dengan cara berlainan kepada pendengar dan merupakan babak paling mengagumkan penulis. Lagu itu dimulakan dengan permainan gitar classical oleh Jay berbanding dengan versi asal yang cenderung ke arah adunan Rock dan Polka.
Montaj karier muzik mereka turut ditayangkan sebelum karya agung mereka iaitu Diari Seorang Lelaki berkumandang lantas menjadi babak manis kepada peminat, lebih-lebih lagi yang hadir dengan pasangan masing-masing pada malam itu.
Konsert yang berlangsung selama lebih tiga jam itu turut mempersembahkan dua band tempatan unik sebagai pembuka pentas iaitu Late Night Frequency dan Banyak Bunyik Republik. Penulis tertarik dengan identiti yang dipersembahkan oleh Late Night Frequency di mana persembahan EDM-rock mereka nampak bertenaga dan menghiburkan. Selain baju berkilauan, kumpulan itu turut dibarisi oleh pemain saksofon berpakaian serigala yang digelar “Mr. Wolf.”
Penyanyi utama Joanna & Co., Joanna Renisa turut tampil bagi melengkapkan lagu Dia Milikmu yang pernah dirakamkan bersama Neves pada tahun 2008.
Secara konklusi, konsert 21 tahun Pretty Ugly ini adalah satu isyarat bahawa mereka masih aktif dalam industri muzik dan penulis berharap agar mereka kekal menghasilkan karya baharu pada masa akan datang.
Untuk mengenali Pretty Ugly dengan lebih lanjut, tonton video temubual kami bersama Neves pada tahun lepas yang membicarakan secara mendalam tentang proses bikin lagu dan kisah-kisah menarik sepanjang karier mereka: