Oleh: Wan Ahmad Syakir
Pada 7 Disember lepas, dunia muzik tempatan dihiburkan dengan sebuah persembahan epik yang mencatatkan sejarah tersendiri. MND Sport & Event kembali ke pentas besar dengan kejayaan luar biasa menerusi Konsert Jiwa: Epilog 24 yang berlangsung megah di Stadium Malawati, Shah Alam.
Dengan jumlah penonton mencecah lebih 8,000 orang, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi sebuah perayaan yang menutup tirai siri “galau” yang sudah lama dinantikan oleh peminat muzik tanah air.
Episod terakhir dalam saga “Jiwa” ini pastinya menjadi penutup yang manis bagi mereka yang mengikuti perjalanan konsert-konsert sebelumnya seperti Konsert Jiwa Kacau dan Konsert Jiwa Malaysia. Bagi mereka yang sudah terbiasa dengan gabungan alunan emosi dan melodi yang mendalam, Epilog 24 membawa semua itu ke tahap yang lebih tinggi – penuh dengan kepelbagaian genre, serta penyatuan bintang-bintang muzik dengan nama besar yang memberi warna baharu dalam landskap muzik tempatan.
Pentas berprestij ini tidak hanya dihiasi oleh nama-nama penyanyi Malaysia yang sudah tidak asing lagi, tetapi juga diwarnai dengan kemunculan beberapa bintang antarabangsa. Dari Fabio Asher, penyanyi dari Indonesia yang membawa sentuhan segar dengan bakatnya yang tiada tandingan hinggalah kemunculan Yuna, ikon negara yang lebih dikenali di luar negara dengan prestasi gemilangnya. Masing-masing membawakan persembahan yang memukau. Tidak ketinggalan juga Spider dan 6ixth Sense, dua band yang seringkali dijadikan rujukan oleh peminat muzik Malaysia dengan lagu-lagu yang penuh jiwa dan mendalam, turut mengisi ruang pentas yang sudah sedia panas dengan semangat dan aura mereka.
Dari segi muzik, konsert ini menawarkan satu pengalaman yang sangat menyeluruh – dari melodi yang menyentuh kalbu hingga rentak yang menggoncang jiwa. Setiap penyanyi yang tampil bukan hanya membawa lagu mereka, tetapi turut menyampaikan cerita dalam bentuk muzik yang hidup. Kepelbagaian elemen muzik yang ditampilkan mencipta suasana yang benar-benar menggugah perasaan, membawa penonton menelusuri setiap perasaan galau, cinta, kehilangan, dan harapan yang menjadi tema utama konsert ini.
Pun begitu, kepulangan penyanyi terkenal negara, Yuna, ke tanah air baru-baru ini nyata mencuri tumpuan ramai, bukan sahaja kerana aura bintangnya yang sentiasa memikat, tetapi juga kerana simbol solidariti yang dibawanya. Berbusana dengan pakaian bertulis “Palestine”, Yuna memberikan mesej kuat tentang sokongan terhadap perjuangan kemanusiaan, dan dalam masa yang sama, memancarkan karisma yang menyentuh setiap hati yang hadir pada malam tersebut.
Sebagai seorang artis yang telah membuktikan kehebatannya di pentas antarabangsa, kemunculan Yuna di tanah air membawa kembali kenangan manis ketika dia menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) pada tahun 2012 dengan lagu “Terukir di Bintang”. Tidak hanya lagu tersebut yang memukau, malah, pada malam itu, Yuna turut mempersembahkan beberapa lagu hit lainnya yang telah mencipta sejarah antaranya “Lelaki”, “Dan Sebenarnya”, “Camaraderie”, “Penakut”, dan “Crush”. Setiap lagu yang dibawakan seolah-olah membawa peminat kembali ke zaman kegemilangan awal kariernya, di mana lagu-lagu tersebut masih tersemat dalam ingatan ramai.
Namun, momen yang paling menyentuh hati adalah ketika Yuna dengan penuh emosi menyatakan bahawa kepulangannya ke pentas itu membawa kembali nostalgia, mengingatkan dia pada detik-detik berharga ketika bertanding di AJL. Keikhlasan dan keterbukaan hatinya begitu jelas terpancar, apatah lagi ketika air mata tidak dapat disembunyikan, mengalir penuh kesyukuran. Detik itu menjadi bukti nyata betapa dalamnya penghargaan Yuna terhadap sokongan padu yang diberikan oleh peminat, yang setia menyokongnya sejak awal perjalanan kariernya.
Fabio Asher, penyanyi dari Indonesia yang sudah tidak asing lagi dengan lagu “Rumah Singgah”, turut mencuri perhatian dengan persembahan yang penuh emosi. Dengan lagu-lagu seperti “Bertahan Terluka”, “Mahir Memberi Luka”, dan “Berharap Kau Kembali”, Fabio seakan mengajak penonton untuk menghayati setiap rasa dalam melodi yang disampaikan, membawa nuansa galau yang begitu mendalam dan menyentuh jiwa.
Intinya, Epilog 24 bukan sahaja sekadar sebuah konsert, ia adalah sebuah simbol transformasi muzik tempatan yang menggabungkan bakat-bakat hebat dalam satu pentas yang penuh magis. Seolah-olah inilah penutup sempurna bagi sebuah siri perjalanan muzik yang telah melakar sejarah, menyentuh hati ribuan peminat setia yang hadir. Dan dengan itu, Konsert Jiwa menutup tirainya dengan penuh gaya, memberikan kesan yang mendalam dan meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan. Sebuah epilog yang bukan hanya menutup kisah, tetapi juga membuka lembaran baru dalam industri muzik tanah air yang semakin berkembang dan diterima di peringkat antarabangsa. Sampai kita berjumpa lagi di lain acara.