Penulis: Anome
Pada 28 November yang lalu, Kry A lot melabuhkan tirai kesedihan dengan gig Kry A Lot Finally… di Angkasa Event Space, Kuala Lumpur. Setelah pelbagai masalah yang wujud akibat endemik yang dihadapi, Kry A Lot akhirnya berjaya melaksanakan gig secara berhadapan setelah beberapa percubaan yang terbatal sejak bulan Mac 2020.
Kry A Lot yang cuba tampil dengan nuansa penuh kesedihan boleh dikatakan berjaya dengan tiket habis terjual walaupun bermacam masalah kecil yang timbul pada kali ini. Acara dijalankan dengan mengikut prosedur operasi umum dan semua yang terlibat diwajibkan menjalani saringan COVID-19 dengan kit ujian yang dibawa sendiri atau dibeli di tempat acara.
Membawakan barisan persembahan yang sesuai dengan temanya, Kry A Lot dibahagikan kepada dua slot bagi memberikan ruang untuk solat maghrib. Sesi petang dibarisi oleh Servants, Empty Page dan Transitions manakala sesi malam pula dibarisi oleh Hutch VS The World, Playburst dan diakhiri dengan DJ set oleh Darren Teh daripada kumpulan An Honest Mistake.
Dengan 2021 hampir melabuhkan tirainya lebih kurang sebulan sahaja lagi, penulis merasakan yang Kry A Lot telah berjaya mencapai sasaran mereka meskipun hanya satu acara dalam tahun ini. Dengan barisan persembahan yang bukan calang-calang, penganjur telah membuktikan kredibiliti mereka kepada para peminat. Kry A Lot kini telah pun melabuhkan tirai, apa pula rancangan mereka seterusnya?