Kumpulan indie rock tempatan, Kyoto Protocol baru sahaja meluncur single bergenre balada terbaharu mereka berjudul Faded Lights. Lagu ini sebenarnya sudah lama dihasilkan tetapi hanya menunggu waktu terbaik untuk diluncurkan, iaitu sekarang, di mana mereka berpendapat kebanyakan orang sedang ‘patah hati’ dan mencari tempat untuk meluahkan perasaan.
Faded Lights merupakan kesinambungan dari lagu Nothing Lasts Forever yang telah keluar pada bulan Jun lalu semasa negara masih bertarung dengan pandemik. Ia kini boleh dinikmati di semua platform muzik digital bermula 25 November 2021 manakala video muzik (MV) untuk lagu yang sama boleh ditonton secara eksklusif di YouTube pada 2 Dis 2021.
Sebagai penyelesaian kerana tidak dapat menghasilkan MV semasa pandemik, kumpulan ini bekerja keras untuk menghasilkan MV animasi untuk lagu ini. Fracas Work, satu syarikat kreatif tempatan telah diberi tanggungjawab untuk menghasilkan MV yang boleh menyampaikan maksud sebenar lagu ini serta menguatkan lagi jalan ceritanya.
Vokalis utama Kyoto Protocol, Fuad berkata, “Penghasilan lagu ini adalah usaha keras setiap orang dari kami bermula dari peringkat penulisan sehingga peluncurannya. Walaupun proses itu sangat rumit kerana Perintah Kawalan Pergerakan, kami semua tetap mencabar diri untuk menjadi lebih kreatif.”
Pemain bass merangkap vokalis kedua, Shakeil, turut menambah, “Saya mempunyai perasaan bahawa lagu ini akan mendapat sambutan baik berdasarkan sambutan lagu Nothing Lasts Forever. Saya bersemangat untuk mengetahui apa yang peminat akan fikirkan di sebalik lirik dan MV animasi yang kami hasilkan.”
Gitaris kumpulan, Hairi Haneefa pula bersetuju, “Ini adalah lagu yang diluncurkan tepat pada waktunya. Emosi lagu ini boleh dirasakan dengan bunyi trek gitar yang kuat dan semula jadi.”
Kyoto Protocol akan muncul di gig Kerja Gila yang akan diadakan pada 27 Nov 2021 di ruang acara Angkasa, Cheras. Ini adalah penampilan pertama mereka selepas pandemik dan mereka amat mengharapkan sokongan peminat tempatan untuk memeriahkan acara tersebut.
Ikuti Kyoto Protocol di: