Neo-Classical Dah Mati? – Malmsteen Keluar Single Baharu!

oleh Rahmat Mohd Did
1.1K bacaan

Yngwie Malmsteen umum album ke-21, Parabellum dan single pertama, Wolves at the Door boleh dilayan di semua platform strim sekarang!

Setelah lebih 40 tahun, tiada tanda-tanda menunjukkan sang viking neo-classical ini mahu bersara atau ‘memperlahankan temponya.’ Pada 7 Mei 2021, dunia dikejutkan dengan sebuah comeback yang tak disangka-sangka dari gitaris prolifik Sweden ini dengan opus enam minit berjudul Wolves at the Door.

Selain menampilkan vokal beliau sendiri, single ini turut mengetengahkan bahagian solo selama dua minit dan homaj kepada Paganini! Setelah kematian mengejut Alexi Laiho sebelum ini, kemegahan gentelan gitar neo-classical bagaikan hilang taring, mujur watak perintis ini kembali memberi kita sesuatu yang boleh dikatakan instant classic, dalam masa sama mengembalikan secebis nostalgia zaman kegemilangan yang tidak mampu diulang lagi.

Dalam siaran medianya:

“Aku sentiasa cuba paksa diri untuk jadi lebih baik di setiap album, dan kadangkala lebih ekstrim berbanding sebelumnya. Sebelum ni aku sibuk dengan siri jelajah, jadi tak ada masa sangat nak menulis lagu. Dek kerana pandemik ni, ia sangat membantu sebab masa aku banyak dihabiskan di studio. Walaupun aku sangat sukakan jelajah, tapi kali ni aku rasa lapang dan tak ada tekanan langsung untuk menulis dan merakam. Oleh sebab tu, aku yakin perkara tersebut sangat membantu menjadikan album ini lebih baik dan lengkap.”

Tambahnya lagi, hanya empat daripada 10 lagu dalam album ini yang menampilkan vokal dan ia bakal menemui peminat pada 24 Julai 2021 dalam format fizikal serta digital. Bercakap tentang pemilihan tajuk album:

“Parabellum dalam bahasa Latin bermaksud ‘bersedia untuk perang.’ Aku pilih dari salah satu trek, ‘(Si Vis Pacem) Parabellum’ yang bermakna ‘Jika kau mahu aman, bersedia untuk perang.’ Ia adalah keputusan saat-saat akhir sebenarnya, tapi aku rasa macam ngam pulak. Kau rasa macam mana?”

Rekaan kulit album kali ini dihasilkan oleh pelukis terkemuka, David Banegas dan lukisan asal akan dijual secara bidaan dengan harapan dapat memberi kesedaran serta mengumpul dana untuk anak-anak yatim yang sangat memerlukan bantuan ketika ini.

“Sebenarnya ni idea bini aku, April. Kitorang duduk dekat je dengan David kat Florida ni. Kitorang ada jumpa dia, tapi bincang projek lain. Lepas tu aku buat photoshoot dengan Mark Weis, David pulak buat lukisan ni berdasarkan salah satu foto tu. Besar weh lukisan ni! Jadi datanglah idea nak gunakan lukisan asal untuk cari dana kepada April Way Children’s Foundation, satu badan yang didedikasikan untuk mengajak artis seluruh dunia supaya memberi harapan kepada kanak-kanak dan remaja yang ditinggalkan keluarga atau menghuni rumah-rumah anak yatim.”

Senarai lagu album Parabellum:

  1. Wolves At The Door
  2. Presto Vivace in C# Minor
  3. Relentless Fury
  4. (Si Vis Pacem) Parabellum
  5. Eternal Bliss
  6. Toccata
  7. God Particle
  8. Magic Bullet
  9. (Fight) The Good Fight
  10. Sea Of Tranquility

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅