NU-METAL

oleh Music Addicts Malaysia
1.7K bacaan

Persembahan pembukaan KoRn untuk Sick Of It All pada tahun 1995 telah membuka lembaran baharu di dalam dunia muzik secara amnya dan dunia metal khususnya. Peminat-peminat hardcore dan punk yang berada di konsert pada ketika itu seperti kebingungan apabila KoRn muncul di atas pentas dengan gaya yang agak asing bagi metal scene pada zaman tersebut, Head dan Fieldy berseluar baggy, Munky dengan jumpsuit dan Jonathan dengan sport suit Adidas yang bakal menjadi trademark era nu-metal. Ditambah dengan stail rambut dreadlock Munky dan Jonathan, ada hadirin mula bertanya “Ini persembahan reggae ke?”

Sebaik sahaja KoRn mempersembahkan lagu pertama mereka, bermulalah era nu-metal. Gabungan muzik berat tetapi dalam masa yang sama kedengaran funky mula menjadi sebutan dan bualan hangat peminat-peminat metal. Sejak dari itu band-band yang membawa elemen nu-metal atau mengambil inspirasi dari nu-metal mula muncul bagai cendawan selepas hujan. Antara yang paling dikenali adalah Limp Bizkit, Slipknot, Deftones, Staind, Papa Roach, Static X, Linkin Park, P.O.D., Disturbed, System of a Down, Alien Ant Farm, Trapt, Evanescence dan banyak lagi.

Nu-metal berjaya menerjah ke arus perdana sekitar tahun 1998 sehingga 2003. Pada saat ini Limp Bizkit menjadi band paling popular mengatasi perintis genre nu-metal itu sendiri iaitu KoRn. Lagu-lagu band nu-metal mendominasi carta-carta muzik pada ketika itu, sehingga di satu tahap muka Fred Durst iaitu frontman Limp Bizkit sentiasa terpampang di pelbagai media massa bagaikan seorang artis pop. Sesuatu yang tidak pernah berlaku bagi sebuah band metal.

Kemunculan Linkin Park menambah kehangatan era ini. Masih mengekalkan irama berat nu-metal tetapi dengan lirik yang bersih menjadikan mereka lebih mesra pendengar dan mudah untuk menerobos ke corong-corong radio. Namun bermula tahun 2004, populariti nu-metal mula mengalami kemerosotan akibat stereotaip genre itu sendiri. Pendengar arus perdana sudah mula bosan dan beralih kepada R&B dan hip-hop, manakala peminat metal scene mula menumpukan arah kepada metalcore yang tampak lebih kena dengan jiwa pendengar muzik metal.

Disebabkan ini, band-band nu-metal mula mengubah bunyi mereka dan cuba untuk keluar dari komuniti nu-metal itu sendiri. Hanya segelintir sahaja band nu-metal yang masih bertahan sehingga ke hari ini bersama dengan kelompok peminat mereka yang sangat setia dan kuat seperti KoRn dan Slipknot. Namun semenjak akhir-akhir ini, seolah-olah menjadi satu trend apabila band-band metalcore mula memasukkan elemen-elemen nu-metal ke dalam lagu-lagu mereka.

Adakah nu-metal akan kembali?

#RiderJambangRJ

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅