Post Hardcore bukanlah sebuah genre baharu dalam Malaysia dan kita telah disajikan dengan pelbagai kugiran seperti Tres Empre, Maddthelin, Zerophobia, Sekumpulan Orang Gila dan banyak lagi. Baru-baru ini, sebuah kugiran yang diberi nama Paralunar turut membawa panji yang sama dan telah mengeluarkan single berjudul Amarah/Hilang di semua platform digital termasuk Visualizer di saluran YouTube pada 9 Mei 2023.
Ditubuhkan pada tahun 2022, Paralunar dianggotai oleh tujuh anak muda iaitu Azeem Daniel dan Mal Zamri (vokal), Adib Adnan (gitar), Arief Husni (gitar utama), Fahmi (drum), Aniq Danial (bass), dan Zulaikha (keyboardist). Menjadikan Post Hardcore sebagai genre utama, Paralunar dipengaruhi oleh beberapa kugiran seperti Acres, Harakiri for the Sky, Svalbard dan Deafheaven.
“Paralunar mencipta muzik dengan gabungan melodi, suasana dan harmoni melankolik yang melambung tinggi, lonjakan emosi yang kuat dan lirik di mana kita boleh kaitkan dalam kehidupan menjadikan muzik Paralunar bermakna.” -Adib-
Single ini terbahagi kepada dua bahagian yang dimulakan dengan Amarah, sebuah trek instrumental menggambarkan seseorang itu dalam keadaan gelisah atau erti kata lain adrenaline rush dan memberi amaran sesuatu akan hadir selepas itu iaitu Hilang. Bahagian kedua ini pula menceritakan tentang kritikan sifat manusia yang mengejar keindahan sementara, terutamanya mereka yang berlumba-lumba mengejar kecantikan lahiriah sehingga sanggup mengubah ciptaan Tuhan dan memudaratkan diri. Hal ini dapat kita lihat dengan wujudnya idea beauty standard yang kian menusuk pemikiran masyarakat kita pada hari ini.
Penulisan lagu ini terinspirasi daripada kisah pembunuh bersiri asal Hungary, Elizabeth Báthory dan pemikiran yang dibawa oleh ahli falsafah asal Perancis, Simone de Beauvoir.
Paralunar juga berkongsi dengan penulis tentang pelan jangka panjang mereka di masa hadapan.
Pelan Paralunar sebagai sebuah band adalah untuk menghasilkan karya-karya yang berkesan dan meninggalkan impak positif pada pendengar. Kami berusaha untuk terus berkembang dan mencapai tahap yang lebih tinggi dalam industri muzik.
Kami sedang merancang untuk melancarkan sebuah EP baru yang akan memperluaskan karya kami dan mencapai khalayak yang lebih luas. Selain itu, kami juga sedang menjejaki peluang untuk bermain gig di beberapa tempat untuk memperluaskan pendengar kami.
Penulis mendapati single ini mempunyai identiti yang tersendiri di setiap sudut. Di awal trek, permainan synth/ambience yang ditampilkan memberi nafas yang cukup untuk membina mood pendengar. Susunan lagu juga tidak membosankan dan jarang penulis jumpa produk sebegini. Walaupun di awalnya penulis beranggapan mereka mirip Zerophobia, namun ternyata penulis salah. Paralunar memang cuba untuk mencipta stail tersendiri sebagai sebuah unit sekali gus membuktikan bahawa mereka mampu berdiri sama tinggi dengan kugiran hebat tempatan yang lain.
Cuma cadangan penulis di rilisan seterusnya, Paralunar boleh tambahkan layer untuk ambience dan synthesizer untuk impak yang lebih besar. Sama juga di bahagian vokal yang kedengaran agak tenggelam di beberapa bahagian. Bagaimanapun, penulis yakin mereka akan tampak gah di masa hadapan.
Tahniah buat Paralunar, semoga terus maju dan semoga kita dapat berjumpa di acara akan datang.
Ikuti Paralunar di: