David Bowie lahir di Brixton, London, England pada 8 Januari 1947. Dia merupakan seorang penyanyi, penulis lagu dan pelakon. Selama 40 tahun kariernya, Bowie menjadi ikon muzik dan merupakan salah seorang artis paling berjaya pada abad ke-20. Sepanjang kariernya, Bowie telah merilis 26 buah album yang terjual sebanyak 140 juta unit termasuk sembilan daripadanya menerima anugerah platinum.
Selain menyanyi, Bowie yang terkenal dengan sifat flamboyannya juga pernah berlakon dan memegang peranan utama dalam filem “The Man Who Fell to Earth” (1976) dan “The Elephant Man” (1980). Dia juga turut membintangi filem terakhir Marlene Dietrich, “Just a Gigolo”(1978).
Bakat seni Bowie dan kecintaannya terhadap kesenian sudah terlihat sejak kecil. Sang ayah sentiasa memainkan lagu-lagu dari Elvis Presley, Frankie Lymon, The Teenagers, The Platters, Fats Domino dan Little Richard sehingga Bowie bercita-cita untuk menjadi seorang seniman.
Selepas menamatkan pengajian sekolah menengah, dia memutuskan untuk menjadi seniman komersial dengan membentuk kumpulan Davy Jones and the Lower Third. Namun, kerana takut nama bandnya mirip dengan Davy Jones of The Monkees, dia pun mula menggunakan nama “Bowie” yang terinspirasi dari jenis pisau yang dikembangkan oleh James Jim Bowie pada abad ke-19.
Tidak lama kemudian, dia memutuskan untuk berkarier solo dengan menandatangani kontrak dengan label Deram Records pada tahun 1967. Hasilnya, dia berjaya melancarkan album perdana pada 1 Jun 1967. Dua tahun kemudian, dia merilis album kedua “Space Oddity” yang menampilkan single Space Oddity, sebuah lagu yang terinspirasi dari filem karya Stanley Kubrick, 2001: A Space Odyssey. Lagu ini terus menjadi hit dan berjaya melonjak ke tempat kelima di carta UK. Lagu tersebut bercerita mengenai seorang angkasawan dikenali sebagai Major Tom. Stesen BBC bahkan menggunakan lagu tersebut sebagai lagu tema peluncuran Apollo 11 ke bulan.
Album Bowie berikutnya, “The Man Who Sold the World” dirilis pada 1970 mengukuhkan kedudukannya sebagai artis. Album ini menawarkan muzik dengan nuansa rock yang lebih kuat berbanding album-album sebelumnya. Selepas itu, album “Hunky Dory” dibuat sebagai tanda penghargaan kepada Andy Warhol, The Velvet Underground dan Bob Dylan.
Bowie sendiri menganggap album menjadi salah satu yang paling penting dalam kariernya. Berbicara pada tahun 1999, dia berkata:
“Hunky Dory memberi saya dorongan yang luar biasa. Saya kira itu memberi saya, untuk pertama kalinya dalam hidup saya, penonton yang sebenarnya. Maksud saya, orang benar-benar datang kepada saya dan mengatakan, “album ini baik, lagu-lagunya juga baik.” Hal ini tidak pernah berlaku pada saya sebelum itu.”
Pada Januari 1972 dalam temubual dengan sebuah majalah, Bowie secara terbuka mengakui dia seorang gay, menukar warna rambutnya menjadi perang dan berpakaian seperti wanita, lalu kemudian memperkenalkan Ziggy Stardust sebagai gambaran bintang rock yang hancur dalam bayangannya. Dia juga membentuk band pengiring bernama The Spiders from Mars. Bagaimanapun sesetengah pihak menganggap kenyataan itu mungkin sekadar mahu menarik perhatian ramai kerana selepas itu jualan albumnya meningkat dengan ketara.
Nama Bowie mula menjadi popular melalui album ”The Rise and Fall of Ziggy Stardust and the Spiders from Mars” yang diterbitkan pada 1972. Melalui album itu peminat muzik dihiburkan oleh bintang rock yang menyerupai ‘makhluk asing’.
Tidak lama bertahan dengan imej Ziggy Stardust, dia pun dengan cepat kembali berubah. Pada tahun 1973, dia membubarkan Spiders, membuang imej Stardust dan mengumumkan bahawa dia tidak berniat lagi melakukan persembahan live. Saat ini, dia merilis “Pin Ups”, satu album yang mengandungi lagu-lagu orang lain yang dirakam oleh sejumlah kumpulan-kumpulan popular seperti Pink Floyd dan Pretty Things.
Dia bagaimanapun kembali mengubah dirinya dan menukar aliran muziknya kepada genre funk pada pertengahan 1970-an. Dalam dua tahun dia merilis “David Live” (1974) dan “Young American” (1975). Setahun kemudian, dia mencatat kejayaan besar pertamanya di US melalui single “Fame” sebelum sekali lagi mencuri tumpuan ramai melalui album “Station to Station”.
Selepas beberapa tahun menikmati kejayaan dalam industri muzik, Bowie seolah-olah melangkah keluar dari muzik pada tahun 2003. Namun selepas 10 tahun, dia kembali dengan album ke-24 “The Next Day”.
Selepas menemukan minat kembali dalam menghasilkan muzik, Bowie melancarkan album ke-25 “Blackstar” yang dikeluarkan beberapa hari sebelum kematiannya. Pada masa itu, album itu mencapai nombor satu dan nombor dua dalam carta album UK dan US.
Selepas bergelut dengan penyakit kanser selama 18 bulan, Bowie akhirnya meninggal dunia pada 10 Januari 2016, hanya dua hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-69.
Saat khabar kematian beliau merebak ke seluruh dunia, penjualan 27 album dan lebih 100 single miliknya melonjak di carta-carta muzik seluruh dunia. Album terakhir Bowie, “Blackstar” menjadi album nombor satu kesepuluhnya di carta UK dengan mencatatkan penjualan sebanyak 181,000 unit dalam masa seminggu melalui perkiraan album fizikal dan digital.
“Look up here, I’m in heaven. I’ve got scars that can’t be seen.”
Inilah sebahagian lirik lagu “Lazarus” nyanyian Bowie yang disifatkan sebagai hadiah perpisahan untuk peminatnya sebelum dia meninggal dunia.
Selamat jalan, Bowie.
#SaturnsPattern
.