Penyatuan Galau Malaysia dan Indonesia

Southeast Serenade Menyatukan Malaysia dan Indonesia

oleh Aniq Ammar Ekhwan
777 bacaan

Tidak mengecewakan. Itulah kata-kataku ketika menghadiri konsert Southeast Serenade pada 21 Oktober 2023 di Jiospace, Petaling Jaya.

Konsert yang dianjurkan oleh Dunakher ini telah disertai oleh dua artis dari Indonesia iaitu Geisha dan Stevan Pasaribu serta lima artis tempatan iaitu Empty Page., Margosa, Orkes A Hizadin, Muah! Dan Hasha Roslan.

Bermula jam 5:00 petang, konsert dimulai Empty Page. dengan gaya bersahaja namun cukup bermakna buat setiap penonton yang hadir. Sejujurnya aku dah lama tidak menonton mereka beraksi dan aku sangat terhibur dengan gaya terbaru mereka. Selepas itu momentum konsert ini diteruskan dengan Hasha Roslan di mana beliau membawa pemuzik undangan. Aku agak terpegun dengan cara beliau membuat persembahan dan tertanya kenapa beliau masih tidak dikenali ramai.

Selepas waktu maghrib, konsert diteruskan kembali dengan Muah!, sebuah kugiran baru di mana Naim Daniel merupakan vokalis utamanya. Sepanjang set mereka dimainkan, aku agak kagum dengan keserasian mereka sebagai sebuah unit pop rock dan aku lihat Naim Daniel berjaya keluar dari zon selesa beliau sebagai artis solo. Cuma aku kecewa sikit sebab lagu Purnama tidak dimainkan. Mungkin jika Naim membawakan lagu tersebut, malamku akan lebih bermakna.

Konsert mula panas apabila Orkes A. Hizadin mengambil alih pentsas. Seperti biasa, unit indie rock ini tidak pernah gagal memberikan persembahan yang terbaik untuk para peminat. Walaupun ada sedikit masalah teknikal pada gitaris mereka Ully, namun sedikitpun tidak mencacatkan set mereka.

Unit lokal terakhir malam itu, Margosa memang power woi!. Aku dah lama tak tengok sisi lain Raja Nazrin Shah sebab sebelum ni tengok dia melibas gitar kesana ke mari dan pada hari itu, beliau sangat ‘behave’ dan lebih berkarisma sebagai gitaris/vokalis. Selain itu kredit turut diberikan kepada Resya kerana beliau menyanyi sambil bermain bass di awal set. Aku tak tahu kenapa, setiap kali melihat Margosa membuat persembahan, hatiku akan tersentuh dan membuatkan aku terbang di awangan.

Tibalah waktu yang dinantikan apabila Stevan Pasaribu berada di pentas. Walaupun beliau pertama kali membuat persembahan di Malaysia, Stevan tidak gugup dan memberikan persembahan yang cukup bermakna. Cuma aku sedikit janggal apabila Stevan membuat persembahan solo dan bukan diiringi oleh pemuzik kerana aku merasakan beliau sesuai bersama pemuzik iringan.

Southeast Serenade diakhiri dengan persembahan daripada Geisha. Seperti yang ku jangka, mereka memberikan sepenuh tenaga sepanjang set. Aku menyukai cara vokalis mereka, Regina menyampaikan vokal yang sungguh merdu dan membuatkanku terpana. Walaupun hanya sementara, aku cukup bahagia pada malam itu.

Konklusinya, Dunakher telah melaksanakan konsert ini dengan cemerlang. Walaupun kehadiran agak kurang memuaskan kerana pada hari itu terdapat banyak acara lain namun tidak mengapa, cukuplah pengalaman yang bermakna itu hadir dalam setiap penonton. Terima Kasih Southeast Serenade.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅