Unit black thrash metal dari Ipoh, Phantom Lord Ipoh (PLI) menerima undangan dari penganjur Batam, Indonesia sebagai headline untuk festival Undersickness VI: Struggle or Dead. Bukan mudah untuk sebuah band tempatan yang baru ditubuhkan untuk mendapat peluang sebegini, tambahan lagi sebagai headline.
Menurut cerita mereka, segalanya berjalan lancar di permulaan. Persembahan PLI juga mendapat sambutan luar biasa. Dikhabarkan 3,000 orang membanjiri tapak konsert di Cipta Grand City tersebut. Namun, yang indah hanya sementara. Mimpi ngeri menjengah mereka sewaktu lagu ketiga.
Chaos in Batam!
Mosh pit, headbang, stage dive merupakan perkara biasa sewaktu berlangsungnya konsert, lebih-lebih lagi bila melibatkan band-band metal. Namun, apa yang berlaku ketika set PLI di Festival Struggle or Dead agak luar biasa di mana penonton yang hadir seperti kerasukan.
Sewaktu mereka memainkan lagu ketiga, sekumpulan individu telah naik ke atas pentas membuat kekecohan sehingga merampas mikrofon vokalis dan bassist, Wan serta mengganggu line up lain termasuk Syaz Temolo (gitar utama), Roy (gitar kedua) dan Zul (dram) sehingga hilang kawalan sepenuhnya.
Konsert akhirnya dihentikan oleh penganjur untuk memperbetulkan keadaan, tetapi keadaan menjadi lebih teruk apabila krew pula dipukul beramai-ramai sehingga cedera parah. Menurut Syaz,
“Kami ingatkan kami dah cukup gila atas stage, rupanya diorang ni dua kali lagi gila! Tak pernah terfikir jadi sampai macam ni sebab ini kali pertama PLI mengadakan konsert di luar negara.”
Setelah hampir setengah jam, konsert akhirnya diteruskan semula selepas keadaan kembali terkawal. Bagaimanapun, PLI yang sepatutnya membawakan 10 buah lagu sempena promosi album pertama mereka, A Wretched Evil terpaksa dipotong pendek kepada enam lagu sahaja kerana kesuntukan masa.
Dikejar Mimpi Ngeri
Tamat sahaja set mereka, PLI terus dikejar peminat untuk berswafoto di tapak konsert.
“Kami ingatkan setengah jam dah selesai, tapi peminat di sini memang lain macam. Keliling pentas tu sesak. Sampai tiga jam kami kena layan diorang berselfie!”, kata Syaz.
Menurutnya lagi, kereta yang sepatutnya menghantar mereka ke hotel dah sedia nak pick up jam 1 pagi, tapi jam 3.30 pagi baru boleh balik hotel. Parah!
Bila dah sampai di hotel, ada satu lagi pengalaman seram menghantui mereka.
“Ada sekumpulan peminat yang ikut kami sampai ke hotel dan dapat nombor bilik daripada receptionist. Mereka memanggil tak henti-henti di pintu bilik. Kami tak berani buka. Bila tak dilayan, mereka menghentak pintu sekuat hati dan siap kencing lagi di pintu!”
Mujurlah kumpulan peminat itu akhirnya beredar dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku kepada PLI.
Apa yang berlaku kepada PLI ini adalah sebuah pengalaman yang pastinya tidak boleh dilupakan. Jarang sekali band Malaysia dihargai di luar negara, lebih-lebih lagi band yang baru mencipta nama. Walaupun agak ngeri, namun PLI tetap menghargai jemputan daripada penganjur dan sokongan peminat-peminat di Indonesia. Mungkin selepas ini akan ada jemputan lain daripada penganjur di sana dengan pengalaman yang lebih manis.
Kepada yang ingin mendapatkan album pertama mereka, A Wretched Evil, anda boleh beli di Shopee atau hubungi mereka di talian 018-250 4756.
Band ini juga sedang dalam rangka siri jelajah bagi mempromosikan album tersebut. Boleh lihat mereka beraksi di lokasi-lokasi seterusnya selepas ini.