Pitahati dan Ito Blues Gang Reimaginasi ‘Khatulistiwa’ Sempena Hari Malaysia

“Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan, Iban… Bersatu Hati!”

oleh Rahmat Mohd Did
3K bacaan

Pada tahun 2018, Pitahati pernah merakam lagu saduran Khatulistiwa secara langsung di Luncai Emas x Siakap Keli Session. Sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, sekali lagi mereka merakam lagu sama, tetapi kali ini lebih istimewa dan bermakna kerana berpeluang berkolaborasi bersama pelantun suara asal lagu tersebut, Ito Blues Gang.

Perbezaan ketara dalam versi reimaginasi ini adalah dari sudut lirikal di mana mereka mengubah bahagian “Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan, Iban… Bersatu Hati!” dengan visi untuk menyatupadukan masyarakat melalui keindahan muzik. Sudah menjadi antara lagu kegemaran Pitahati dan Ito, sesi jamming dan rakaman kali ini tidak mengambil masa yang lama kerana mereka serasi bekerjasama.

“Waktu kita cover sebelum ni pun kita tak nak hilangkan keaslian rasa tu, dan itulah yang paling penting, lagu cover ni kalau banyak perubahan ia akan membuatkan lagu itu akan hilang rasanya yang tersendiri.” – Ilham Pitahati

“Pitahati dan saya bersetuju untuk mengubah part Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan, Iban, bersatu hati… ia lebih sempurna.” – Ito Blues Gang.

Hari Malaysia dipilih sebagai tarikh untuk mempersembahkan rilisan terbaru hasil kolaborasi dua generasi rock dan blues tanah air ini. Lagu yang pernah menjadi kontroversi pada suatu ketika dahulu kini disusun kembali muzik dan liriknya mengikut peredaran  masa dan zaman.  Bermula dengan mengumpulkan playlist lagu-lagu dari kugiran-kugiran tempatan yang menjadi inspirasi karya-karya Pitahati, mereka terdetik untuk menjadikan lagu Blues Gang ini sebagai sebuah lagu saduran di setiap persembahan mereka. Tidak terjangka lagu ini masih evergreen yang mana selepas itu sering menjadi permintaan dan bualan peminat-peminat Pitahati sehingga mereka mengambil keputusan untuk membuat sebuah video musik (MV) hasil kolaborasi pihak syarikat rakaman Luncai Emas dan Siakap Keli beberapa tahun lalu. Nafas lagu Khatulistiwa ini seperti ada sentuhan magis apabila pada tahun ini sekali lagi  diberi peluang untuk dijadikan sebuah lagu tema reunion pelajar-pelajar Sekolah Tengku Abdul Rahman (STAROBW), Ipoh. 

“Semasa kami sedang memilih lagu ni kita cuba-cuba cari lagu ala-ala “county road” tapi versi Malaysia dan lagu Khatulistiwa ni adalah yang paling tepat.” – Ilyas Jamil STAROBW

“Kami memilih lagu Khatulistiwa ni untuk alumni STAROBA 2021 sebagai tema Road Tour OBW yang akan menggegarkan dan berjalan di 14 negeri Malaysia, tetapi disebabkan kekangan Covid-19 ini ianya akan dititangguhkan buat sementara waktu.’ – Nazmir STAROBW

Pengambaran MV Khatulistiwa, di Ipoh.

Penggambaran berkonsep santai ini terinspirasi daripada tema kehidupan masyarakat yang berbilang bangsa dan kaum dan membawa Pitahati, Ito Blues Gang dan team penggambaran Motion Scientist memilih negeri Ipoh sebagai lokasi utama. Perjalanan yang mengambil masa hampir tiga hari itu membawa mereka ke kawasan-kawasan santai rakyat berbilang kaum seperti Old Town Ipoh, Concubine Lane, Stesen Keretapi, Pasar Loken, Padang Ipoh, Restoran New Hollywood, Super Kinta, Stesen Bas Medan Kid, dan sempat juga singgah ke Sarang Art Hub, Tanjung Malim. Perjalanan ini amat bermakna apabila memperlihatkan dua generasi berbeza (Pitahati & Ito Blues Gang) bekerjasama dengan penuh komitmen. Selain bekerja, Ito juga tidak kering mencurahkan nasihat dan pengalaman kepada semua.

Keseluruhan proses penggambaran berlangsung dengan lancar hasil kerjasama teman-teman seperjuangan Ipoh yang lain iaitu Bittersweet, Lokein Ipoh dan keluarga Sarang Art Hub, Tanjung Malim.

“Saya amat berbesar hati dan berharap lagu versi baru  ini boleh memberi semangat buat kali kedua kepada seluruh rakyat Malaysia.” – Ito Blues Gang

Dari segi muzikal, tidak banyak yang diubah dalam versi baharu ini, tetapi penulis amat terkesan dengan kualiti vokal Ito yang masih ‘berlemak’ seperti dahulu dan langsung tidak dimamah usia. Alangkah indahnya jika Blues Gang dapat menghadiahkan generasi moden kini dengan sebuah album baharu yang mampu memberi inspirasi kepada jutaan rakyat yang hampir melupakan legenda blues rakyat ini.


Selain MV Khatulistiwa, Pitahati juga turut memuatnaik sebuah sesi bual bicara bersama Ito di YouTube mereka berjudul Bicara & Susun Kata serta sesi belakang tabir rakaman dan sesi jamming Khatulistiwa versi baru ini.

Ikuti Pitahati di:

Facebook

Instagram

YouTube

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅