Puji-Pujian merupakan album sulung oleh kumpulan nasyid tersohor Malaysia, Raihan. Dilancarkan hari ini pada 2 Januari 1997, 24 tahun lalu. Ya, 24 tahun usia album ini.
Sebuah album yang menggegarkan industri muzik (nasyid khususnya) secara komersial. Sebuah album nasyid terlaris jualannya, dengan jualan melebihi 1.5 juta salinan selepas dilancarkan, dan sudah mencecah 3.5 juta salinan sehingga hari ini, mendapat status Platinum 12 kali dan dua kali di Singapura. Puji-Pujian juga diterima baik di negara jiran Indonesia. Dari sini populariti Raihan meningkat dan mencatat rekod penjualan album tertinggi di Malaysia ketika itu.
Selepas kejayaan Puji-Pujian, Raihan kerap di undang untuk mengadakan persembahan. Selain di Malaysia, Raihan turut dijemput mengadakan persembahan di luar negara, dengan persembahan pertama di Singapore Indoor Stadium (konsert sulung luar negara), Commonwealth Conference di Edinburgh (1997), Royal Albert Hall di London, Manchester, Glasgow, Birmingham dan Bristol (UK), Cape Town, Durban dan Johannesburg (Afrika Selatan) dan banyak lagi negara Eropah yang telah mereka jelajah, selain beberapa negara Asia seperti Indonesia, Thailand, Brunei dan Hong Kong.
Puji-Pujian memenangi anugerah Album Nasyid Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-5 (AIM5) pada tahun 1998. Juga tercalon dalam kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Album, Lagu Terbaik untuk lagu Iman Mutiara dan Puji-Pujian.
Puji-Pujian turut dilancarkan di Turki pada tahun yang sama, dengan perbezaan cetakan hadapan, dengan tajuk Allah’a Övgüler, serta liriknya (cetakan) ditukar kepada Bahasa Turki.
Apa kenangan kalian dengan album ini?
#AzamGilmour #MAMY #MusicAddictsMalaysia #Raihan #PujiPujian #Nasyid #AnniversaryAlbum