Setelah dirakam 8 tahun lalu, terbitan penuh Joni Mustaf berjudul ‘Qurfusha’ akhirnya keluar kepada umum. Karya dilepaskan di laman-laman digital buat capaian sedunia pada 20 Mei 2024 jam 10:10 pagi waktu Malaysia.
Joni Mustaf adalah alter-ego seniman pelbagai disiplin; Mohd Jayzuan. Joni lebih fokus ke liga eksperimental, avant-garde, seni-bunyi, seni-performans dan sering berlegar-legar di scene seni kontemporari.
Terbitan yang siap sepenuhnya pada November 2016 ini melibatkan Mohd Jayzuan, maestro avant-garde; Kamal Sabran dan model-pelakon; Nia ‘Sleepyllama’ Atasha.
Pada Disember 2019, rakaman ini diterbitkan di Indonesia oleh ruru records (digayakan begini) sebagai satu projek seni dikepalai oleh Indra Ameng; pengurus White Shoes and the Couples Company / kurator kolektif seni kontemporari berpengaruh, ruangrupa (digayakan begini).
Karya dipanggil, ‘Sorry, Poor Connection’ dalam bentuk sebuah split album dan fanzine bersama legenda lo-fi Jakarta; Harlan Boer dicetak hanya sebanyak 100 unit sebagai collector’s item. Ia diikuti dengan tour Joni Mustaf/Harlan Boer ke beberapa buah kota.
Diterbit, dirakam, diadun awal dan digilap akhir oleh Kamal. Lagu-lagu dibikin Jayzuan dan dikerjakan bersama Kamal. Semua lirik oleh Jayzuan, sementara Nia yang pertama kalinya terlibat dengan rakaman muzik menghadiahkan suaranya.
Rakaman dijalankan di Ipoh Experimental Art School, diterbitkan kolektif-artis, Projek Rabak dan segala muatnaik digital diuruskan Taja Archive.
Manipulasi kulit album dibikin aimee ahmad (digayakan begini) dan foto kulit album oleh Kamal Sabran.
Kali terakhir Joni muncul pada 12 Disember 2022 sewaktu diwawancara dan memainkan sebuah susunan muzik untuk program ‘Amazing Railway Adventures with Nick Knowles’ untuk saluran TV UK, Channel 5.
Lain-lain karya Joni sebelumnya seperti ‘Orkestra Lorong’ (2019), ‘Bas Bising’ (2019) dan ‘Drumz Aktion’ (2019) hanya dipersembahkan di festival-festival seni sebagai pertunjukan seni-performans dan muzik eksperimental.
Joni turut menghasilkan penyelidikan ‘Can music heal human emotions during Covid?’ dan karya seni-bunyinya diberi nama, ‘\\nyandor\\’ (2021) yang ditaja dan didanai Mekong Cultural Hub (Taiwan), British Council (UK) dan Helvetas (Switzerland).
Untuk versi fizikal, ‘Qurfusha’ akan dikeluarkan dalam bentuk kaset oleh sebuah label Indonesia, Parttime Rekords (digayakan begini). Manakala CD akan diterbitkan oleh Freak Music, sebuah label dari Tampin. Perkembangan terbitan fizikal akan diumum di masa hadapan.
Mohd Jayzuan mempunyai tiga buah album solo di bawah namanya sendiri–’Love-fi’ (2008), ‘Pop n’ Roll’ (2015) dan ‘Filokalis’ (2021), sebuah album bersama bandnya; Free Love–’Feed Us with Yr Love’ (2008).
Jayzuan pernah juga mengeluarkan E.P serta terlibat dengan beberapa kompilasi dan pelbagai projek muzik sejak lewat 90an bawah nama Mohd Jayzuan, Free Love, Bloodymary, Brush Moistened, The Hoolibuns, Kantoi Social Club dan projek-projek underground.
‘Qurfusha’ adalah rakaman rasmi penuh dan perdana Joni Mustaf yang buat masa ini (sebelum keluarnya fizikal) boleh dinikmati di Spotify, Apple Music, YouTube Music, YouTube, Amazon Music, Tidal, Deezer, Beatport, Pandora dan Vevo.
Untuk sebarang jemputan atau maklumat lain boleh menekan mencapai Izzat Amir di:
+60166611762.