Selepas cemerlang dengan album RIWAYAT pada 2019 dan single Molek pada September tahun lepas, Salammusik muncul dengan lagu dan video muzik (MV) terbaru mereka berjudul Galaksi Rindu. Lagu ini berkisarkan kerinduan seseorang yang mendalam terhadap sesuatu yang tidak lagi boleh dimiliki.
Melalui lirik lagu ini pula, Salammusik mahu mengingati pendengar untuk bersama-sama mengimbangi dunia dan akhirat, selain mengingatkan bahawa perpisahan bukan satu perkara mudah kerana sifat dasar seorang manusia adalah untuk memiliki dan bukan melepaskan.
Menurut ketua kumpulan Salammusik, Atjap Salam, “Bulan ramadan adalah masa terbaik bagi kita mengingatkan antara satu sama lain untuk lebih menghargai sesuatu sebelum kehilangan.”
Proses rakaman MV Galaksi Rindu dikatakan tidak mudah kerana semua anggota kumpulan dan krew perlu mematuhi SOP, selain batasan terbesar iaitu Salam yang kini berada di Belanda. Oleh itu, dua sesi pengambaran terpaksa dijalankan dan proses penyuntingan video perlu dilakukan dengan teliti.
Bagi semua ahli kumpulan Salammusik, tidak ada apa yang lebih dirindukan mereka selain mahu membuat persembahan secara live dan dapat menyanyi serta menari kembali bersama peminat. Mereka juga masih terkesan kerana sesi jelajah di Eropah yang dirancang pada tahun lalu terpaksa dibatalkan dua bulan sebelum berlangsung.
Walaupon pandemik Covid-19 telah banyak mengubah kehidupan normal semua, kumpulan Salammusik yakin bahawa muzik menjadi punca penyatuan apa jua perkara. Menurut mereka, mengambil contoh perubahan album fizikal ke digital hari ini, begitulah juga industri muzik di mana ia akan tetap berubah mengikut zaman. Cuma satu perkara yang tetap tidak berubah adalah jiwa mereka sebagai pencinta muzik.
Galaksi Rindu boleh mula di dinikmati di semua pelantar digital dan aplikasi penstriman muzik dan video di saluran YouTube Salammusik.