Todak Music kuasakan kembali lagu raya klasik Dayangku Intan, Senandung Hari Raya 2021 menampilkan Shiha Zikir, Fadh Majid, Razak A’ai, Dina Nasz, Muzza dan Gerhana Skacinta.
Kalau ada anugerah lagu raya terbaik 2021, mungkin inilah karya yang paling layak (walaupun sekadar saduran). Apa yang membezakannya dengan yang lain adalah rencam muzik dan ‘warna’ pelbagai artis yang terkandung di dalamnya. Tersangat meriah!
Menurut Todak Music:
“Tahun 2021 ini, Todak Music membawakan kempen #SempurnaBersama bagi menguatkan lagi semangat kebersamaan dalam sambutan hari raya, khususnya dalam suasana pandemik yang mencabar ini. Kempen ini dihangatkan lagi dengan penghasilan sebuah lagu dan video muzik yang baru sahaja dilancarkan.
“Lagu ini merupakan lagu raya lama yang popular dan masih lagi dimainkan setiap kali hari raya menjelang, namun Todak Music mengambil pendekatan dengan merakam semula lagu ini tapi diberikan nafas baru. Susunan muzik lagu ini menggabungkan beberapa elemen dan genre muzik yang berbeza seperti ballad, pop, rock, tradisional dan ska. Ianya sungguh berbeza dari kebiasaan yang didengari, pun begitu originaliti lagu ini masih tetap dikekalkan.”
Tentang Leman si ayam kampung:
“Leman menjadi watak utama dan juga narrator dalam MV ini. Leman sebenarnya merupakan seekor ayam kampung di dalam sebuah kampung yang bernama Kampung Fusion. Di kampung itulah semua orang berkumpul untuk meraikan hari raya bersama. Jadi, Leman lah yang akan memperkenalkan setiap ahli keluarga Fusion yang masing-masing mempunyai ragam dan gaya yang berbeza.”
MV Senandung Hari Raya Untukmu 2021 kini boleh ditonton menerusi saluran
YouTube, Facebook dan IGTV Todak Music. Layan sampai lebam!