‘Sang Lir Sari’ – Gabungan Dubstep dan Kisah Dongeng Tragedi Yang Unik

Bila kisah dongeng tradisional digabungkan dengan emo, dubstep dan EDM!

oleh Mohd Asyraf Firdaus
4.1K bacaan

Shahrmozets dan Eobid.

Dilancarkan di platform Youtube pada 25 September 2021, Sang Lir Sari merupakan buah tangan terbaharu dari gabungan duo anak muda Shahrmozets dan Eobid. Disuntik bersama elemen kemelayuan seperti bunyian seruling dan juga angklung, ia menjadi pengiring bagi bunyian dubstep yang diserapkan dalam lagu. Duo penyanyi/ penulis lirik dan beat maker/ produser ini pernah bekerjasama sebelum ini dengan meriliskan single segar dan unik berjudul Concrete pada bulan Mac tahun lepas.

Secara asasnya, Sang Lir Sari mengisahkan tentang seorang pahlawan muda bernama Si Juara yang merupakan panglima terhebat dan disanjungi dek kehandalannya dalam bertarung. Namun kehadiran seorang gadis yang dikenali sebagai Sang Lir Sari merubah segalanya. Si Juara telah dilarang untuk bercinta, akan tetapi beliau tekad melarikan diri keluar dari kota bersama harta hasil baktinya untuk negara demi bertemu gadis tersebut dan hidup bahagia selamanya. Malangnya, baru sahaja cinta mereka mahu berputik, gadis tersebut menikamnya untuk membolot segala harta. Hancur hati Si Juara, sumpah mati dendamnya. Segala rasa dan penceritaan telah disebatikan dalam lagu ini dengan baik dan digabungkan bersama lontaran vokal beremosi oleh Shahrmozets.

Beralih kepada pandangan penulis, lagu yang menggabungkan beberapa elemen seperti dubstep dan juga nyanyian dalam bahasa Melayu ini merupakan sesuatu yang jarang dilakukan namun pujian wajar diberikan kerana mereka berani tampil dengan karya sebegini rupa. Secara keseluruhannya, lagu ini semamangnya sedap untuk dilayan melalui sistem audio yang memiliki pembesar suara yang berkualiti bagi membolehkan pendengar menikmati alunan vokal dan juga dentuman bass daripada melodi dubstep yang dihasilkan oleh Eobid.

Walaupun penceritaan disampaikan dalam kisah rakyat klasik, namun masih berkait dengan keadaan terkini dan juga masa akan datang. – Shahrmozets

Ironinya, menurut Sharmozets sendiri lagu ini menyampaikan sebuah pengajaran supaya kita semua tidak mudah menggadaikan diri demi sesuatu.

Tahniah diucapkan kepada Shahrmozets dan Eobid atas pelancaran single kedua mereka dan diharapkan naskah selepas ini akan lebih baik dan menggugat. Malaysia perlukan pengkarya-pengkarya sebegini yang berani bereksperimen dengan pelbagai elemen dan bukan hanya mengulang formula sama yang semakin lapuk. Semoga ada sinar buat mereka untuk menembus pasaran arus perdana pada masa akan datang.

Ikuti mereka di:

Shahrmozets

Eobid

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅