Lebih kurang seminggu yang lepas, kumpulan rock gergasi tanah air iaitu Search telah mengumumkan projek Rockology Malaysian Tour 2021 dan apa yang mengejutkan peminat ialah Akim Ahmad telah diisytihar sebagai penyanyi utama untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Amy.
Nama Akim bukanlah asing di negara kita di mana beliau merupakan penyanyi powerhouse dekad ini yang cukup terkenal dengan lagu-lagu juara carta dan anugerah sebagai artis solo dan juga bersama kumpulan The Majistret.
Belum pun bermula, pelbagai pendapat telah disuarakan oleh netizen. Ramai yang bersetuju dengan hala tuju baharu Search ini dan tidak kurang ramai juga yang menentang. Tidak hairanlah kerana penyanyi asal kumpulan ini iaitu Amy telah meninggalkan legasi yang cukup ampuh setelah hampir 40 tahun bersama Search.
Persembahan yang ditunggu-tunggu ini dijadualkan berlangsung pada 10 April 2021, jam 9 malam di Waronk Avenue, Melaka namun nasib tidak menyebelahi peminat mahupun kumpulan Search sendiri apabila pihak polis yang hadir melakukan pantauan di lokasi terbabit mendapati ia tidak mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan tempatan.
Pihak penganjur, Playmad Sdn. Bhd. akhirnya terpaksa akur dengan keputusan tersebut dan setelah melalui proses perbincangan yang panjang, satu kata sepakat ditemui di mana persembahan tetap akan dijalankan secara live streaming tanpa penonton dan peminat yang telah membeli tiket dipulangkan semula wang mereka atau boleh menggunakan tiket tersebut untuk ke Rockology Malaysian Tour 2.0 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Julai nanti.
Di sebalik masalah teknikal yang dihadapi, Search masih memberikan persembahan yang bertenaga. Barisan pemuzik yang dibarisi oleh Kid, Din, Pae dan pemain bass jemputan dari Indonesia iaitu Galang membuktikan bahawa Search adalah sebuah institusi yang cukup dihormati dalam kalangan pemuzik dan peminat muzik tanah air. Kelibat Akim sebagai frontman juga harus diberi pujian kerana selain merapatkan jurang antara peminat generasi baharu dan lama, beliau berjaya membawa aura ‘muda’ kepada kugiran nombor satu Malaysia ini.
Bagi penulis, Akim tidak mengecewakan dari segi lantunan suara dan persembahan. Tidak keterlaluan jika situasi ini disamakan dengan kumpulan Queen di mana kecoh suatu ketika dahulu apabila Adam Lambert dipilih menjadi penyanyi untuk siri jelajah mereka. Adam tidak terikut dengan cara Freddie Mercury dan membawa aura yang berbeza, begitu juga dengan Akim.
Lapan buah lagu popular Search sempat dinyanyikan dalam kekangan masa setelah showcase ditunda beberapa jam. Setinggi pujian juga diucapkan kepada pihak penganjur kerana berjaya merealisasikan ‘misi mustahil’ ini dalam tempoh masa yang sangat singkat.
Dari sudut positif, penglibatan Akim bersama Search mencipta satu legasi baharu kepada Search dan secara tidak langsung memberi lebih pendedahan dari kalangan pendengar muda. Penulis berharap Rockology Malaysian Tour – Search X Akim akan diteruskan pada masa akan datang dan Akim dapat mengekalkan momentum beliau. Selamat maju jaya!