Tahun ini, penggiat dan peminat muzik seluruh Malaysia menyambut Hari Gig Kebangsaan (HGK) pada tarikh 10 dan 11 April untuk kali pertama. Sejarah telah tercipta di mana hampir 30 gig berlangsung secara serentak di seluruh Malaysia sepanjang dua hari sambutannya. Ini merupakan titik permulaan norma baharu setelah Covid-19 melanda dunia lebih setahun lepas. Ia sedikit sebanyak memberi impak terhadap industri muzik tempatan, lebih-lebih lagi kepada karyawan indipenden. HGK merupakan salah satu usaha kendiri komuniti ini untuk melestarikan kembali skena tercinta.
10 April 2021 – Di Sungai Petani, Kedah, Ruang & Kita mengumpulkan beberapa band baru dan juga lama untuk sama-sama menjayakan program Hari Gig Kebangsaan. Bertempat di Space08000 dengan kerjasama Nextkin Music Studio, gig ini berjaya dilaksanakan dengan SOP ketat dan pemantauan daripada pihak berkuasa. Kesemua 50 tiket (bersesuaian dengan kapasiti Space08000) berjaya dijual dan menariknya, ada juga di antara mereka yang hadir dari Alor Setar, Kulim, Pendang dan lain-lain tempat untuk memberikan sokongan.
Siapa sangka, anak muda tempatan Sungai Petani memiliki semangat, jiwa dan bakat yang luar biasa. Walaupun ada di antara mereka yang masih baru mencebur diri dalam skena, semuanya sangat berdedikasi dalam menyampaikan mesej-mesej yang berguna kepada anak-anak muda. Antara band-band yang terlibat adalah Joyberry, Kratom Noiser, Sad Memoir, Sepatu Sixtynine, dan juga Twoseventeen.
Kratom Noizer membuka tirai Ruang & Kita setelah sekian lama tidak membuat persembahan dan kini mereka kembali dengan semangat dan nafas baharu.
“Adalah mudah untuk menganggap muzik rock sebagai sifat marah dan agresif, tetapi penyelidikan mendapati dengan mendengar hard rock sebenarnya boleh membuatkan kita rasa lebih bahagia dan sihat. Bahkan logam berat, yang kita kaitkan dengan kemarahan dan kekacauan, dapat memberikan kesegaran pada jiwa dan mengubah suasana buruk menjadi positif.” ujar Hafifi, pemain dram Kratom Noiser.
Dengan henjutan noise grind yang laju dan bingit, Kratom Noiser berjaya mendapat sambutan hangat daripada penonton.
Sad Memoir kemudian mengambil alih pentas dengan pada malam tersebut dengan nuansa metal yang menonjolkan sisi teknikaliti mereka selain turut menyampaikan mesej-mesej tersirat dalam lirik. Sebuah band yang perlu diperhatikan dan disokong agar mampu pergi lebih jauh.
Twoseventeen, satu nama yang tidak asing lagi bagi skena bawah tanah di utara memperjuangkan genre alternative rock dan rapcore berjaya menghangatkan suasana menjadi lebih meriah. Sorotan lampu dan susunan lagu yang padu telah menghiburkan kami pada malam itu.
Sepanjang tempoh 2019, Twoseventeen sibuk mengumpul material, dan bermula tahun 2020 kumpulan ini akhirnya ke studio rakaman untuk merakam lagu dengan lebih serius. Setakat ini, Twoseventeen telah berjaya menghasilkan lapan buah lagu seperti Gerhana, Kembalikan, Bersama Selamanya dan lagu baru yang bakal dikeluarkan bertajuk Bila Lagi pada 13 April ini, Mengulit kenangan. Mereka cuba menerapkan pelbagai elemen agar terus kekal relevan dalam industri seperti Linkin Park, Evanescence, Avril Lavigne dan beberapa lagi nama lain. Twoseventeen telah menjadi star of the night dan mendapat tepukan paling gemuruh daripada para penonton yang membbanjiri Space0800. Tahniah guys!
Joyberry, band ketiga malam tersebut baru sahaja meluncur single Disko Kilat pada Februari lepas. Band yang bermula dari zaman sekolah secara suka-suka ini membawa santapan bersifat collective rap, indie pop dan pop rock selain sedikit sentuhan disko. Tidak menetapkan sebarang genre secara spesifik, Joyberry ingin bergerak bebas dengan pelbagai rencah dan bakal menghasilkan album pertama mereka hujung tahun ini.
Sepatu Sixtynine merupakan band terakhir dan paling senior pada hari tersebut. Ditubuhkan sejak 2008 dan mengharungi pelbagai krisis dan episod jatuh bangun, kini mereka kembali dengan lebih bersemangat. Bermula dengan genre J-Rock, kini Sepatu Sixtynine dikenali dengan genre electronic core dan hardcore. Mereka turut membawa lagu cover bertajuk Omen dan sebuah lagu baharu berjudul Virama of Life.
Ekspresi perasaan dan emosi melalui muzik adalah sebahagian daripada Sepatu Sixtynine. Penulis percaya mereka mempunyai nilai tersendiri dan mampu berdiri setanding dengan kumpulan band-band lain.
Setiap band meluahkan rasa teruja apabila dapat melakukan persembahan setelah sekian lama lama tidak muncul di hadapan peminat. Ada yang gementar, namun secara keseluruhan, gig ini berjaya melepaskan ‘gian’ setiap pemuzik dan peminat yang hadir.
Pihak penganjur dan penaja yang menyokong acara ini turut berharap agar karyawan-karyawan independen di utara ini terus mendapat perhatian daripada pihak luar.
“Muzik bersifat universal dan kita tidak terikat dengan genre yang biasa telinga kita mendengar. HGK 2021 sangat gempak dan persembahan mereka pada malam ini adalah saat ditunggu-tunggu. Setelah sekian lama, akhirnya ia dapat juga dilaksanakan,” memetik kata beberapa orang penonton yang hadir pada malam itu.
Akhir sekali, dari sudut pandangan penulis; semua krew, peserta dan juga penonton mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan kami sangat berpuas hati dengan persembahan-persembahan yang menghiburkan. Tahniah diucapkan kepada setiap individu yang menjayakan Ruang & Kita dan semoga skena independen utara tanah air terus mekar dan lestari. Syabas!
Foto-foto sekitar gig:
Ruang & Kita disokong oleh:
Fluke Sneakers Spa
Purba Raretro
Crossover bundle
Resolve Record Store
Kloud Café
Yellowflashclothing
Sloppy Burgwich
Big Mouth Republic
Biggy & The Ahli Kopi
Kolektif Biggy
Borders Tea
Koppicabana
Kami Kafe
Nextkin Society
Kredit Foto: Cikgu Izuan