Dengan berlabuhnya tirai konsert A.C.A.B 30th Anniversary Final Concert pada 21 Disember lepas, maka berakhirlah sebuah era gilang gemilang yang tercipta sepanjang 30 tahun perjalanan sebuah band bernama A.C.A.B.
Bagaikan satu simbolik, konsert terakhir itu dicanang sebagai penutup segala-galanya. Tunjang utama A.C.A.B, Megat Hafiz dan pengasas bersama, Edy J. Herwan telah meletakkan titik noktah untuk semua pahit dan manis yang telah mereka lalui sepanjang perjalanan bersama. Juga sebagai penghormatan terakhir, ahli-ahli asal seperti Black (dram), Hardy Sham (bass) dan pemuzik yang pernah bersama seperti Irfan (dram) dan Mono (bass) turut tampil beraksi memeriahkan selain Andy berperan selaku pemain bass undangan.
Konsert dimulakan oleh band pembuka, Haymaker yang diterbangkan khas dari Eropah. Beberapa lagu dialunkan dengan gaya aggro mereka selama lebih kurang 30 minit dan mendapat sorakan gemuruh daripada penonton. Haymaker adalah salah satu band di luar negara yang terkenal dengan lagu saduran A.C.A.B sendiri iaitu Skinhead 4 Life yang dirakam semula dengan olahan muzik dan sedikit perubahan lirik cara mereka tersendiri. Sesuatu yang di luar kebiasaan dapat dilihat di sini kerana kebarangkalian situasi band dari Eropah memainkan lagu dari Malaysia dan kemudian menjadi pembuka acara untuk band Malaysia amatlah langka kejadiannya malah mungkin tak pernah terjadi sebelum ini.
Tiba masa yang dinanti-nantikan. Tepat jam 8:30 malam, siren dibunyikan menandakan tuan punya acara bakal beraksi. A.C.A.B muncul di pentas gah Zepp KL dengan penuh gaya bagaikan perajurit Skinhead lengkap persalinan dari jaket, t-shirt Fred Perry dan berkasut but memulakan persembahan dengan lagu Skintro (olahan daripada lagu Inilah Barisan Kita – Perajurit Tanah Air). Tidak menunggu lama, Megat bersama Edy, Andy dan Zul terus menghadiahkan sebuah lagu anthem We Are The Skins menjadikan dewan Zepp bergema dengan lontaran suara semua penonton bersambung dengan lagu We Are A.C.A.B.
Set pentas kemudian bertukar tangan apabila Black dan Sham mengambil posisi masing-masing di bahagian dram dan bass. Megat sempat menyatakan barisan ahli ini adalah ahli asal yang menubuhkan A.C.A.B bersama Edy di awal kemunculan mereka pada sekitar tahun 1994. Beberapa lagu dipersembahkan secara medley seperti Bookies, Skinhead, City Girl dan beberapa lagu yang lain. Kemuncak set ini pastinya terletak pada lagu Fight For Your Right di mana Megat juga tidak melepaskan peluang melakukan skankin’ dan bodysurf dari kanan hingga ke kiri pentas sepanjang solo guitar dimainkan Edy.
Sekembalinya Zul ke posisi dram, A.C.A.B meneruskan set dengan lagu berhantu Racial Hatred. Ketika ini aktiviti pogo oleh penonton tidak dapat dibendung lagi. Keadaan cemas berlaku apabila Zul tiba-tiba rebah ketika lagu Unite & Fight sedang dimainkan. Paramedik bergegas ke atas pentas menyebabkan acara dihentikan untuk seketika dan Zul dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Kemudiannya khabar baik disampaikan Zul telah sedarkan diri ketika mendapat rawatan di hospital.
Selepas hampir 20 minit tergendala, A.C.A.B meneruskan acara dengan Irfan dan Mono pula mengambil posisi dram dan bass. Kali ini mereka banyak bermain medley untuk lagu-lagu berbahasa Melayu seperti Hasutan Syaitan dan Genggam. ACAB juga sebenarnya sangat berjaya dengan dwibahasa apabila lagu berbahasa Inggeris dan Melayu mereka kebanyakannya menjadi hits dan siulan peminat seantero dunia. Bayangkan saja lagu Skinhead 4 Life yang terselit beberapa rangkap bahasa Melayu dinyanyikan berkumat-kamit oleh mat saleh.
Haymaker sekali lagi kembali ke pentas. Kali ini dijemput untuk mempersembahkan lagu Skinhead 4 Life secara berduet bersama-sama dengan A.C.A.B. Gegak gempita pentas Zepp KL ketika Megat dan Tim Steinfort (vokalis Haymaker) saling bergilir-gilir menyanyikan lagu keramat tersebut.
Usai persembahan bersama Haymaker, Megat menyatakan akan menutup persembahan dengan lagu We Are The Youth. Jujur tidak terhitung lagu yang dimainkan pada malam itu, mungkin ada beberapa lagu tidak dapat dimainkan kerana ketiadaan Zul. Namun penonton pastinya tidak puas dan terus saja melaungkan “We want more!” sehingga A.C.A.B kembali ke pentas memainkan lagu Where Have All The Bootboys Gone sebagai penutup dan menjadi encore konsert terakhir A.C.A.B.
Konsert ini pasti akan menjadi memori terindah kepada setiap yang hadir. Kenangan puluhan tahun, membesar bersama mendengar lagu-lagu A.C.A.B sebagai pengganti diri, peneman dan juga sebagai motivasi menaikkan semangat jati diri sebagai seorang pejuang di haluan masing-masing. Muzik A.C.A.B tidak terikat hanya kepada golongan Skinhead. Penerimaan lagu-lagu A.C.A.B sangat meluas hinggakan sesiapa saja tidak kira penganut fahaman muzik apa sekali pun pasti saja akan kenal dengan entiti A.C.A.B bersama kultus yang dibawanya.
Sekian, tamatlah A.C.A.B – The Godfather, The Cult and The Greatest Of All Time!