Penulis: Ahmad Firman Fahmi
Persembahan luar biasa yang disajikan oleh kumpulan Restraint semasa Festival Muzik Rock the World 2023 sungguh memukau dan memikat perhatian peminat muzik tempatan. Kumpulan ini berhasil mencipta pengalaman yang benar-benar bermakna, menonjolkan keunikan mereka di tengah-tengah kepelbagaian genre muzik yang ditampilkan pada hari tersebut. Walaupun terdapat perbezaan genre dalam kalangan kumpulan-kumpulan lain, keaslian dan tenaga yang terpancar semasa persembahan Restraint sungguh berbeza dan memberikan impak kepada penonton yang hadir pada hari itu.
Rock The World telah menjadi sebuah wadah tradisi yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan peminat muzik tempatan, dan edisi kali ini mengekalkan reputasinya sebagai acara tahunan paling penting di Malaysia. Semangat hardcore yang bergema di pentas KL Base, Kuala Lumpur mencipta suasana yang tidak hanya memberikan impak positif, tetapi juga meningkatkan adrenalin para penonton beraksi dengan tarian 2-step dan juga keriuhan mosh pit.
Acara ini tidak hanya berfungsi sebagai medium kenikmatan muzikal semata-mata, tetapi juga sebagai suatu penjelasan bahawa pengaruh seni persembahan, selain daripada cabang politik dan ekonomi, memainkan peranan penting dalam membentuk satu solidariti yang memberi makna isu kemanusiaan. Ini telah ditunjukkan oleh kumpulan Restraint dengan cara bersolidariti kepada negara Palestin yang sedang dilanda musibah sekarang.
Dipetik daripada laman Facebook Restraint, “Krew pentas sebalik tabir, pasukan produksi, penaja, semua kumpulan muzik yang berkongsi pentas sama dan kepada semua yang hadir, terima kasih dari dasar hati kami. Kami sayang kamu.” Tambah mereka lagi, “Ini adalah untuk suara yang tidak terdengar, kebebasan dan keamanan dunia ini. Di sana sedang berperang, ini adalah senjata.”
Restraint memulakan persembahan dengan berlatarbelakangkan bendera Palestin yang berkibar di pemancar skrin dan juga lagu Al Quds Pemersatu Kita disertakan dengan lagu Jatuh & Bangun memberi semangat kepada peminat dan pengunjung yang hadir untuk memulakan rentak sokongan mereka. Antara lagu lain yang turut dipersembahkan pada acara itu adalah Our Way, This Promise dan Until The End. Lebih menarik, ahli kumpulan Restraint dengan semangat mengibarkan bendera Palestin selain daripada memakai bandana untuk menunjukkan lagi solidariti terhadap negara itu.
Rock the World 2023 sekali lagi membuktikan bahawa muzik mempunyai kuasa untuk menyatukan, memberi inspirasi dan membawa perubahan positif kepada dunia. Sehingga tahun depan dan berikutnya, semangat hardcore akan terus hidup.
P/S: Hantaran di Facebook Restraint telah diserang oleh laskar siber Z10n1s sejak beberapa hari lepas. Setakat artikel ini ditulis, hantaran tersebut telah menerima 4,500 komen dan 2,300 kongsian.