Festival indie Asia Tenggara, TAPAUfest 2022 yang telah diadakan di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak pada hujung minggu lalu melabuhkan episodnya dengan sebuah kenangan istimewa buat semua.

Pentas TAPAUfest 2022 yang luas dengan latar belakang gunung dan tasik.
Menggunakan tema #SerumpunBerpesta, festival ini dianjurkan dengan konsep unik yang lain dari kebiasaan. Semua pengunjung yang datang membeli tiket bukan sahaja dapat menyaksikan persembahan muzik semata-mata, tetapi juga dapat bersantai sambil menikmati pemandangan indah tasik serta latar belakang gunung-ganang dengan awan luas yang pastinya menjadi momen paling diingati.

Pengasas TAPAUtv, TAPAUasia & TAPAUfest, Ahmad Faris juga dikenali sebagai Fungus.
Menurut pengasas TAPAUfest, Ahmad Faris memaklumkan bahawa pihaknya berbesar hati menganjurkan acara di kawasan luar bandar ini kerana mereka yakin ramai peminat muzik yang mendambakan peluang untuk meneroka suatu tempat menarik di Malaysia.
“Kami amat berterima kasih kepada Majlis Daerah Lenggong, CENDANA, Waka, Ipoh Social Club, Santuy Travellers, Kadiak, Versussika, PBUY, Outsiders Bike, dan Anbot kerana mempercayai kami untuk memartabatkan komuniti dan budaya indie Asia Tenggara di Resort Tasik Raban Lenggong,
Pentas TAPAUfest 2022 dipanaskan dengan persembahan pembukaan oleh band dari seberang, .Feast (ID) yang mempersembahkan lebih daripada sembilan lagu. Band tersebut juga tidak melepaskan peluang mengalunkan lagu berhantu mereka, Tarian Penghancur Raya yang turut dinyanyikan semua peminat.
Selesai sesi pembukaan tersebut, pentas bergema dengan sorakan peminat apabila Daniel Baskara Putra atau lebih dikenali dengan nama Baskara Putra turun dari pentas untuk berada lebih dekat dengan penonton. Semua lagu disampaikan dengan bertenaga bahkan lantunan vokalnya cukup tersendiri. Hampir sejam beraksi, dia tidak sedikit tampak keletihan sebaliknya bersahaja mengalunkan setiap lagu.

Baskara Putra & Natasha Udu.

Margasatwa.
Turut dilihat mencuri tumpuan di sepanjang persembahan muzik adalah kumpulan dari Malaysia sendiri iaitu Margasatwa dan Sweetass. Rata-rata penonton yang hadir kesemuanya menari dan bernyanyi bersama sepanjang dua kumpulan ini beraksi. Ternyata, kumpulan tempatan seperti mereka memang mempunyai magis serta ‘kuasa sakti’ dalam memukau penonton untuk tidak henti-henti menari seakan histeria sambil bersorak dikelilingi alam semulajadi.
Tidak kurang juga hebatnya ‘kuasa wanita’. Aksi kumpulan The DARE (ID) yang seluruh ahli kumpulannya adalah wanita, berjaya mencuri tumpuan ramai pada petang senja hari kedua. Begitu juga dengan vokalis wanita utama kumpulan Sobs (SG) yang berani menyanyikan lagu-lagu baru kumpulan mereka untuk diperdengarkan.

The DARE.
Antara kumpulan lain yang turut serta membuat persembahan pentas pada hari pertama adalah Abang Sapau (SG), The Times (MY) dan The Pinholes (SG). Manakala pada hari ke-2, persembahan pentas muzik diteruskan lagi dengan persembahan Kungfu Heidi (MY), The Filters (MY) dan Hindia (ID) sebagai penutup.
Suasana padang yang luas serta konsep santai BYOC (bring your own chair) yang diterapkan pula menampakkan keunikan. Penonton yang hadir boleh sahaja memilih untuk berdiri di hadapan pentas serta menari bersama pemuzik, duduk relaks di kerusi lipat atau membentang hamparan tikar, berkelah atau baring.

The Times.

The Pinholes.
Persembahan pentas yang bermula jam 5 petang untuk kedua-dua hari memberi peluang kepada penonton untuk menjelajah sekitar bumi unik Lenggong serta memberi masa untuk semua penonton hadir ke tayangan pembikinan filem indie dan mengikuti perkongsian Bengkel & Layar, hasil kerjasama Kakiseni. Turut bersama dari Kuala Lumpur adalah Kedai Serba Serbi.
“TAPAUfest bekerjasama dengan Kedai Serba Serbi untuk membawakan kelainan dengan terdapatnya pelbagai barangan, album fizikal seperti piring hitam, kaset dan cakera padat, selain karya seni daripada artis tempatan.

Kredit: Alif Ridzuan
Selain itu juga, misi penganjuran TAPAUfest tahun ini adalah bagi memartabatkan ekonomi dengan menyajikan makanan dan minuman mengikut cita rasa tempatan di warung jualan dari para peniaga sekitar daerah Lenggong. Tambah Faris lagi,
“Nilai suatu festival bukan terletak dalam persembahan muzik semata-mata. Tetapi ia juga mengenai lokasi yang mencipta memori baharu bersama semua yang hadir. Pengalaman festival muzik sebenar memang sepatutnya bermula dari perjalanan ke lokasi festival dan momen yang dilalui”.

Instalasi seni yang diuruskan oleh ditingkattiga dan dinamakan Ruang Temu.
Pihak TAPAUfest sejak dari awal lagi memang mempunyai misi menawarkan festival tahun ini dengan nilai tiket bersama-sama pengalaman. Pengalaman yang dimaksudkan itu bermula sebaik sahaja semua yang hadir meninggalkan rumah sehinggalah hari akhir festival. Ini termasuklah perjalanan yang indah selama 3 jam dari Kuala Lumpur ke Lenggong.
Jadi, tepatlah lokasi Lenggong ini dipilih. Keindahan sekitarnya, keunikan suasana tasik, gunung dan persembahan muzik hebat memberikan nilai tambah bukan sekadar kepada konsert persembahan, malah turut melibatkan pembabitan Majlis Daerah Lenggong yang banyak bekerjasama dari mula.

Kredit: Alif Ridzuan

Kredit: Alif Ridzuan
Daerah Lenggong mempunyai keistimewaannya tersendiri sebagai tapak warisan UNESCO yang menempatkan salah satu rangka manusia purba paling lengkap di Asia Tenggara, digelar sebagai ‘Perak Man’, kira-kira 11,000 tahun lalu. Keindahan tempat dan keunikan suasana beserta persembahan muzik yang hebat memberikan nilai lebih dari sekadar sebuah konsert, malahan diharap telah dapat mengukir memori yang tidak dapat dilupakan buat semua yang hadir.
Untuk pengetahuan semua, festival TAPAUfest yang dianjurkan oleh TAPAUasia ini mula membuat debut pada tahun 2014 dan terkenal sebagai festival dana terkumpul pertama di Malaysia serta terbesar di Asia Tenggara. Bertujuan untuk membentuk sebuah komuniti indie Asia Tenggara, TAPAUasia percaya bahawa TAPAUfest akan terus boleh menjadi platform menyatukan peminat muzik.
Sebelum ini TAPAUfest 2021 mencipta sejarah kerana buat julung kalinya dianjurkan secara penstriman langsung dengan lebih 1,100 penonton berdasarkan jualan tiket.

Kredit: Alif Ridzuan
Walaupun hanya baru kali ke-5 dianjurkan, TAPAUasia ternyata adalah penganjur yang matang serta mempunyai pasukan di belakang yang cukup berpengalaman. Ini boleh dilihat daripada segi sesi promosi bermula, jualan tiket, susunan aktiviti dan persembahan, pemilihan lokasi, tapak khemah, sponsor, wakil media, vendor serta urusniaga jualan ‘warung’ sepanjang festival berlangsung.
Apa yang pasti, memori dan kenangan di Lenggong yang di bawa pulang adalah disertakan bersama senyuman puas selepas tamat hujung minggu buat semua yang hadir. Sememangnya, salah satu acara muzik istimewa sebelum penutup tahun 2022.

Kredit: Alif Ridzuan
Semoga TAPAUfest dapat diteruskan lagi setiap tahun dengan misi menyatukan lebih ramai pengkarya seni bukan sahaja daripada bidang muzik semata-mata, tetapi persembahan dan pengurusan acara bagi menjadi antara pentas persembahan terbaik di Asia Tenggara dengan identiti mereka sendiri.
Ikuti mereka: