The After Love merupakan sebuah gig anjuran Empty Page bagi meraikan pasca Hari Kekasih yang jatuh pada 14 Februari 2022. Acara ini sepatutnya dijalankan pada 19 Februari 2022 namun disebabkan isu kes jangkitan wabak pandemik COVID-19 yang kian meningkat, pihak penganjur sebulat suara menundanya ke tarikh baharu iaitu 18 Mac 2022.
Gig ini dibarisi nama-nama yang agak besar di dalam scene muzik tempatan termasuk Empty Page, Midnight Fusic, Rudeen, Mohsein Kush dan Echoless.
The After Love yang berlangsung di Angkasa Event Space dan mendapat sambutan hangat berdasarkan 100 keping tiket yang telah habis terjual hanya dalam masa seminggu. Majlis pada malam tersebut dimulakan pada jam 7.45 malam bagi memberikan laluan untuk waktu solat Maghrib bagi penonton yang beragama Islam.
Echoless membuka pentas dengan sambutan menggalakkan daripada para penonton. Meskipun kurang dikenali, persembahan mereka yang santai berjaya menarik perhatian para penonton dengan interaksi untuk turut bernyanyi bersama dan melambai sambil menyalakan lampu suluh di telefon bimbit masing-masing.
Mereka juga meningkatkan corak permainan daripada lagu ke setiap lagu membuatkan persembahan pada malam tersebut semakin hangat. Agak berbeza dengan kebanyakan persembahan lain, lagu terakhir mereka agak santai membuatkan suasana sedikit menenangkan.
Persembahan seterusnya disambut oleh Mohsein Kush yang membawakan nuansa R&B dan secara keseluruhannya agak santai dan romantis.
Meskipun santai, namun para penonton dapat merasakan kehangatan melalui lagu-lagu yang dibawakan. Suasana agak merinding dengan para penonton yang galak menyanyi bersama sepanjang persembahan mereka.
Persembahan ketiga pada malam tersebut diambil alih oleh penyanyi prolifik, Rudeen. Persembahan dibuka dengan Temperature Rising sesuai dengan bahang kehangatan asmara yang kian dirasakan oleh para penonton. Rudeen turut mempersembahkan beberapa lagu daripada EP terbaru beliau yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
Bermula dengan persembahan solo, beliau kemudian membawakan persembahan full band dan diakhiri dengan tetamu jemputan Hullera bagi mempersembahkan lagu Hadir. Para penonton melompat dan ikut menyanyi bersama, boleh terasa gegaran di lantai akan keriuhan para penonton melayani persembahan daripada mereka berdua. Persembahan paling rancak pada malam ini boleh diberikan kepada Rudeen selayaknya.
Baton persembahan pada malam itu kemudian diambil alih oleh tuan rumah, Empty Page. Mereka membawakan lagu popular mereka, Jika sebagai pembuka persembahan.
Seperti persembahan-persembahan mereka yang lainnya, Empty Page mempersembahkan karya-karya mereka dengan penuh emosi. Jika persembahan kugiran-kugiran sebelumnya boleh dikatakan permulaan malam yang romantis, Empty Page membalikkan keadaan dengan lagu-lagu dan persembahan mereka yang mengembalikan memori sedih diri dan perhubungan silam yang bahkan mungkin tidak wujud sama sekali.
Midnight Fusic menggalas tanggungjawab sebagai penutup malam sesuai dengan nama mereka. Persembahan mereka disambut hangat oleh para peminat yang turut menyanyi bersama lagu-lagu yang dibawakan oleh mereka. Midnight Fusic memberikan sebuah persembahan yang amat bertenaga dan penuh kehangatan yang konsisten dari awal sehingga ke akhir.
Meskipun berlaku sedikit masalah teknikal di awal acara seperti terputus bekalan elektrik, namun masalah tersebut tidak berlarutan terlalu lama. Tambahan pula para penonton memainkan peranan dalam menyalakan lampu suluh di telefon pintar milik masing-masing.
Keseluruhan persembahan pada malam The After Love boleh dikatakan menghampiri kesempurnaan. Tahniah juga kepada Empty Page di atas anjuran acara The After Love yang memberikan suatu makna berbeza untuk sambutan Hari Kekasih.