The Goblokes Teruskan Eksplorasi Rockabilly Dalam ’21 Days’

oleh Mohd Asyraf Firdaus
405 bacaan

 


Rockabilly: Gabungan Unik Rock dan Country

Genre Rockabilly yang mula popular pada dekad 1950an di Amerika Syarikat merupakan salah satu cabang muzik rock n roll terawal yang dipelopori oleh beberapa nama seperti Carl Perkins, Elvis Presley, Jerry Lee Lewis dan banyak lagi . Terma “Rockabilly” itu sendiri terhasil daripada gabungan dua istilah: “rock” dan “hillbilly.” Hillbilly, istilah yang sinonim dengan muzik country, mencerminkan asas muzik ini yang akrab dengan tradisi muzik pedesaan. Perpaduan ini menjadikan Rockabilly sebuah genre yang mudah diterima dan dekat di hati peminat muzik Amerika, seterusnya seluruh dunia.

The Goblokes: Pejuang Rockabilly, Cara Malaysia

The Goblokes, trio Rockabilly dari ibu kota Kuala Lumpur baru sahaja melancarkan single kedua mereka yang berjudul 21 Days secara rasmi pada 21 Januari 2025. Naskhah ini merupakan taruhan terbaharu mereka setelah memperkenalkan diri kepada khalayak Malaysia menerusi single Cara Kami pada 1 September tahun lepas.

Kelibat vokalis/ gitaris utama The Goblokes, Khid Buck tidaklah asing sebenarnya. Beliau telah mula mencurahkan kreativiti muzik bersama abangnya, Faikis dengan duo Gombak Hillbillies sejak tahun 2008 lagi di platform YouTube, kemudian dengan The Bakars dan Merchants of Mercury sebelum bergerak solo.

Penubuhan The Goblokes bersama Boi (double bass) dan Chemenk (dram) pada tahun lepas sebenarnya adalah satu lagi langkah revolusioner untuk membawa nuansa Rockabilly yang dekat dengan budaya ketimuran.

Jika anda merupakan seorang peminat muzik Rockabilly ataupun Country secara langsung mahupun tidak, hanya satu sahaja yang penulis ingin sampaikan. “This is the real country  sound” kerana The Goblokes benar-benar telan kaset untuk menguasainya sebelum menerbitkan lagu 21 Days ini.

 

Ulasan Lagu “21 Days”:

Lagu ini membawa pendengar menyusuri kisah seorang kasanova yang berubah selepas bertemu seorang wanita istimewa. Wanita tersebut bukan sahaja berbeza daripada sesiapa yang pernah dikenalinya sebelum ini, malah telah mengubah perspektifnya terhadap cinta. Namun, hubungan mereka menghadapi rintangan apabila wanita itu perlu meninggalkan negaranya selama 21 hari. Dalam tempoh itu, dia hanya mampu mengira detik menanti pertemuan semula dengan wanita tersebut yang telah mencuri hatinya.

21 Days diibarat Rockabilly moden

Melalui lagu ini, The Goblokes menyajikan sesuatu yang berbeza berbanding single Cara Kami – sebuah lagu dengan elemen tradisional honky-tonk dan suntikan slang gaya Amerika. Gabungan unik ini menjadikan 21 Days sebuah karya rockabilly moden yang tetap kekal dengan jiwa klasiknya. Mengambil inspirasi daripada karya awal Johnny Cash and the Tennessee Two, 21 Days menyajikan bunyi rockabilly yang mentah, klasik, tetapi tetap relevan.

Keunikan susunan muzik

Lagu dimulakan dengan petikan gitar yang mengingatkan pendengar kepada suasana western – bayangkan diri berpakaian koboi sambil menghentak kaki mengikut irama. Alunan vokal lembut dengan aksen gaya Amerika masuk perlahan, memberikan aura vintaj yang memikat. Rentak dram ride dan snares yang konsisten menghidupkan irama, manakala bunyi double-bass yang jarang digunakan pemuzik tempatan menambahkan lagi keunikan lagu ini. Keseluruhannya, 21 Days menampilkan gaya rockabilly versi The Goblokes yang unik dan asli.

Lirik yang ringkas, sarat penceritaan

Lirik lagu ini disusun dengan cara yang ringkas tetapi penuh dengan emosi. Ia menggambarkan perubahan seorang lelaki yang terdorong oleh perasaan cinta terhadap seorang wanita. The Goblokes berjaya membawa tema cinta dengan gaya penceritaan yang mudah difahami, menjadikannya mudah dihayati oleh pendengar.

Kepelbagaian instrumen

Salah satu kekuatan utama lagu ini adalah pemilihan instrumen yang di luar kebiasaan, terutamanya penggunaan double-bass, yang memberikan bunyi khas dan kedalaman dalam irama. Permainan dram pula sengaja disederhanakan, mencipta alunan yang sesuai dengan konsep lagu. Tambahan pula, vokal dengan aksen unik gaya Amerika melengkapkan nuansa klasik yang menjadi tema utama.

 

Temubual ringkas The Goblokes:

Bagaimana dengan sambutan single “Cara Kami” sebelum ini dan adakah korang melihat peningkatan minat pendengar di Malaysia terhadap genre rockabilly?

 So far, reception yang kami dapat are positive, memandangkan genre yang kami bawakan ini bukanlah genre yang biasa didengarkan, tapi bagi sesiapa yang telah mendengar, mereka memberikan respons yang positive. Mungkin masih slow penerimaan, tetapi masih boleh kata going well.

Sebelum ni korang pernah cakap The Goblokes memperjuangkan bunyi Rockabilly tulen dengan identiti Malaysia. Single kedua, “21 Days” kedengaran seperti korang meninggalkan identiti tersebut. Lagu baharu ini kedengaran sangat “American.” Apa yang telah berubah dan apakah hala tuju muzik The Goblokes selepas ini?

Sambil kami cuba selitkan sebanyak mungkin elemen “Malaysian” dalam muzik kami, itu semua kerana kami adalah sebuah kumpulan muzik dari Malaysia – kami berpegang teguh kepada identiti dan asal-usul kami. “Misi” kami sebenarnya sangat mudah – untuk memperkenalkan muzik Rockabilly yang autentik kepada anak-anak muda Malaysia kerana kami percaya, jika mereka tahu genre ini wujud, mereka pasti akan menyukainya seperti mana kami menyukainya. Seperti yang mungkin awak tahu, Rockabilly berasal daripada muzik Country, dan bagi kami, kekal setia pada diri sendiri dan muzik yang kami hasilkan bermakna banyak lagu kami akan membawa elemen country yang kuat.

 

Mengenai hala tuju kami, kami akan terus berpegang pada kejujuran dan kecintaan kami terhadap muzik ini. Setakat ini, kami bersyukur kerana anak-anak muda Malaysia telah menunjukkan penghargaan terhadap keikhlasan seperti ini. Saya percaya, ini kerana komuniti Metalhead dan Punk sangat memahami nilai sebenar konsep “keeping it real.”

Bagaimana korang dapat tawaran untuk bermain di Festival E-San? Apa persediaan dan keistimewaan yang akan dibawa ke sana nanti?

Kami di invite oleh MotoBuruk Garage untuk ke E-San. Pemilihan ini di buat semasa MBG Vespa Lambretta Jamboree di mana kami telah perform dan mereka tertarik dengan kami dan memutuskan untuk memilih kami untuk di bawa ke E-San Music Festival. So far persiapan kami seperti biasa sahaja dan kelainan yang kami bawakan adalah of course lagu kami yang ada dalam bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia dia mana kita boleh showcasekan Malaysian Rockabilly.

Lagu ini kini boleh didengar di semua platform strim utama. Sebarkan kepada rakan dan ahli kelurga. Nikmatilah Rockabilly sebenar!

Youtube

Spotify

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅