TIPE-X: LEGENDA HIDUP SKA MALAYSIA-INDONESIA

oleh Music Addicts Malaysia
3.4K bacaan

Oleh: Muhamad Amirul

Aku tidak tahu bagaimana mahu mulakan, tapi setiap kali aku kurang bersemangat untuk melakukan sesuatu kerja atau apa-apa aktiviti, pasti lagu-lagu mereka jadi peneman melayan perasaan.

Biasanya ia bermula dengan lagu “Salam Rindu.” Aku menyusuri dan menghayati setiap senarai trek Tipe X yang aku mainkan dalam aplikasi Spotify di telefon pintar atau tab android di keretaku. Tiba-tiba adrenalin aku mengalir deras. Aku berdiri, melompat dan berpogo mengikut setiap rentak ska yang didendang. Walau berkali-kali sudah aku mainkan, perasan dan semangat yang hadir tidak pernah pudar.

Entah apa “khadam” yang diletak dalam setiap lagu mereka ini. Yang aku tahu, semangat aku akan tiba-tiba hadir apabila mula memainkan setiap lagu mereka. Dengan adunan suara gitar, drum, percussion, trombone dan trompet pasti membuatkan sesiapa yang mendengarnya mahu menari.

Paling menjadi kesukaan aku untuk memainkan lagu mereka adalah sewaktu memandu sendiri untuk ke tempat kerja atau perjalanan jarak jauh seperti pulang ke kampung. Pastinya stereng keretaku menjadi mangsa ketukan tangan mengikut rentak lagu. Sing along setiap lagu yang dimainkan membuatkan aku hilang mengantuk dan tambah bertenaga untuk memulakan kehidupan seharian.

Lagu-lagu dari Tipe X ini kebanyakannya berkisar tentang kehidupan seharian kita seperti bercinta, bersahabat dan sebagainya. Tipulah kalau kau cakap kau langsung tak ada kenangan untuk diingatkan bila terdengar lagu-lagu mereka. Mesti ada, walau samar-samar dalam ingatan kau. Jika hari ini kau mainkan setiap lagu mereka pasti terasa zaman muda kau kembali. Mesti kau teringat sewaktu melompat dan menari apabila kau memainkan lagu ini dalam bilik karaoke atau paling tidak pun mengimbau kembali ingatan sewaktu kau berpogo di lantai gig yang kau pernah hadiri dulu.

Di Malaysia kita ada beberapa nama besar dalam genre Ska mahupun Ska-Punk seperti Skudap Skudip, Gerhana Ska Cinta, Plague of Happiness dan Budak Nakal Hujung Simpang (sekadar menyebut beberapa nama) tetapi bagi aku tidak perlu rasanya untuk kita mengangkat band dari Indonesia ini sebagai lagenda Ska di antara dua negara ini. Bukanlah aku nak claim band Tipe-X ini sebagai legenda di Malaysia semata-mata meskipun mereka sudah banyak beraksi di sini dalam beberapa siri konsert kecil atau besar tapi macam aku katakan tadi, inilah di antara band kesayangan dan bisa menyatukan dua negara Malaysia-Indonesia sebagai satu rumpun makmur.

Cukup banyak itu, tidak perlu diangkat terlalu tinggi (walaupun rasa macam dah terlebih tinggi. Maafkan kalau aku over atau tersilap).

Sepanjang penglibatan mereka dalam industri muzik, Tipe-X berjaya mengeluarkan 7 album. Di antaranya – SKA Phobia (1999), Mereka Tak Pernah Mengerti (2001), Super Surprise (2003), Discography Hitam Putih (2005), A Journey (2007), Festival Perasaan (2009) dan Seven (2012).

Antara band dari seberang yang paling mendapat tempat di Malaysia, Tipe-X dibarisi tujuh orang ahli pada awal penubuhan – Tresno Riadi (vokal), Billy (gitar), Yoss (gitar), Micky (bass), Anto (trombone), Hendro (drum) dan Andi (trompet). Selepas Hendro mengundur diri, tempatnya diisi oleh Adi Pratama dan Adi Pratama juga mengundurkan diri dari Tipe-X selepas album keenam lalu memberi ruang kepada Arie Hardjo untuk menyertai Tipe-X. Andi juga sudah mengundurkan diri dari Tipe-X sejak 2011.

Andai kata pada suatu hari nanti Tipe-X diberi peluang untuk kembali beraksi di Malaysia, lagu apakah yang akan korang request untuk dimainkan waktu itu?

Berdasarkan rekod, jika tidak silap kali terakhir Tipe-X muncul di Malaysia adalah sewaktu di Borneo Gigs Unite di Sandakan, Sabah pada 2019.

Bila agaknya mereka akan kembali? Mungkin selepas segalanya (wabak Covid19) pulih, mungkin kita dapat menyaksikan Tipe-X kembali beraksi di pentas Malaysia.

Lagu pilihan penulis:

Mawar Hitam

Selamat Jalan

Kamu Nggak Sendirian

Anda bagaimana?

Sumber: Internet dan memori penulis

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅