ULASAN: GESCHEURD – WEST BANK (DEMO)

oleh Rahmat Mohd Did
1.4K bacaan

 

Asal: Johor Bahru

Genre: Stoner rock

Koyak rabak! Frasa paling tepat untuk menggambarkan ‘cap mohor’ bunyian stoner rock yang terkenal dengan karakteristik tempo lembab, distorsi/ fuzz yang berat dan ‘basah,’ irama bass yang groovy serta produksi retro dan lo-fi.

Fendy (gitar/ vokal), Afiq (bass) dan Ceqwan (drum) sedar akan tiang fundamental tersebut dan sepakat menamakan kugiran mereka ‘koyak rabak’ secara harfiah, cuma perkataan tersebut dipinjam dari bahasa Belanda dan berbunyi lebih rock, Gescheurd.

Baru sahaja ditubuhkan pada bulan Disember tahun lepas, tiga sekawan dari latar belakang muzik berbeza ini cuba bereksperimentasi dengan bunyian baharu. Afiq suka indie rock, Ceqwan kepala punk rock, Fendy pula hamba rock tepu. Setelah bermuzakarah, mereka akhirnya sepakat menceburkan diri ke daerah baharu iaitu stoner rock.

Bila bercakap tentang stoner rock, siapa lagi dewa idola-nya kalau bukan Black Sabbath. Tidak boleh tidak, untuk mendapatkan sound tepu lemak berkrim sebegini, sang gitaris perlu menjadi penyembah Tony Iommi dan kalau boleh, mahu lebih Iommi daripada Iommi sendiri.

Sleep, Stoned Jesus, Mars Red Sky, Kyuss, Reignwolf, Telekenetic Yeti dan The Black Keys juga turut dipetik sebagai pengaruh muzik mereka. Namun, penulis sedikit kecewa bila nama Pentagram tidak berada dalam senarai di atas. Bukan apa, semangat kendiri Bobby Liebling itu perlu diserap oleh setiap band baru supaya sifat protes, melawan arus dan anti komersial mekar di dalam hati. Lebih banyak elemen misteri, lebih unik-lah entiti tersebut.

Jika kita melihat secara lokal, sebenarnya tidak banyak band yang berani memperjuangkan nuansa stoner/ doom/ sludge/ drone. Mungkin kerana tidak ramai yang menghargai bunyian sebegini.

Sekadar memetik beberapa nama; Speedwitches, Berdosa, Zip Zieller, Woody Woody Roll, The Fatalis dan Keladak, kesemuanya bergelut untuk kekal relevan dalam industri. Tidak dinafikan ada di antaranya yang memang tidak berniat untuk ke arus perdana, namun di dalam scene bawah tanah itu sendiri mereka kurang dikenali dan jarang-jarang mendapat jemputan untuk bermain. Label stoner rock/ doom/ sludge/ drone juga sangat asing bagi generasi muda yang lebih mudah menggelar semua band baru sebagai ‘indie band’ tanpa benar-benar menguliti makna sebenar dan perjuangan setiap genre muzik itu.

Maka, penulis merasakan tinggal satu jalan sahaja yang boleh dilalui pemuzik-pemuzik stoner rock di Malaysia iaitu terus masuk ke lohong underground sedalam-dalamnya tanpa mempedulikan trend semasa. Buatlah apa sahaja tanpa ada limitasi. Bereksperimentasi-lah semahunya. Jangan dikejar populariti dan kemewahan. Ia tidak kekal dan tidak relevan dengan situasi di sini. Wujudkan misteri dalam imej dan muzik. Berkaryalah untuk peminat tegar sahaja walaupun jumlahnya tidak seramai mana, kerana mereka inilah yang akan menyokong kalian habis-habisan hingga ke akhirnya kalian tidak mampu lagi berjuang.

REVIEW SINGLE “WEST BANK”

Lagu

Trek dibuka dengan henjutan riff yang padat dan mampat dari Gibson SG yang menjadi ‘barangan asas’ kepada majoriti gitaris stoner rock. Kepada peminat genre ini, riff adalah segalanya. Gescheurd berjaya mengikat penulis di note pertama dan penulis merasakan mereka benar-benar faham resipi bagaimana-mahu-menghasilkan-lagu-stoner-rock-yang-baik.

Vokal yang disajikan oleh Fendy pula adalah tipikal band-band stoner/ doom seperti Sleep, Electric Wizard dan Telekinetic Yeti lengkap dengan efeknya sekali. Garau dan bertenaga, Fendy mencorak kemas mesej lagu berkisar perang ini dan disudahkan dengan solo epik bermula minit ke 02:26 sehingga tamat.

Afiq dan Ceqwan di posisi bass dan drum tenang mengawal tempo dan menjadi tulang belakang kepada lagu dengan permainan ‘ketat’ mereka. Afiq adalah seorang bassist yang baik dan tidak lokek berkongsi lick dan groove menarik sepanjang lagu lebih-lebih lagi di bahagian solo. Walaupun tiada sebarang solo, Ceqwan umpama Phill Rudd yang menjadi tali pengikat kepada lagu-lagu AC/DC.

Lirik

Lirik lagu ini berkisar tentang pergolakan di Tebing Barat antara Palestin dan Israel yang tidak berkesudahan dan telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Mesej yang baik. Harap dikekalkan tema-tema sebegini dalam rilisan seterusnya.

KRITIKAN

Menginsafi bahawa terdapat limitasi apabila sesebuah karya muzik dipanggil ‘demo,’ bagi penulis “West Bank” dihasilkan dengan baik. Vokal jelas, bunyi gitar garang dan drum kedengaran ‘hidup.’ Cuma mungkin satu sahaja yang boleh diperbaiki selepas ini iaitu adunan bass. Walaupun Gescheurd sebuah band trio, Fendy merakam lagu ini menggunakan dua gitar, menyebabkan bunyi bass agak terkebelakang dan sukar untuk menikmati permainan bass Afiq yang groovy itu.

Dari segi permainan, semuanya sudah mantap dan ketat. “West Bank” adalah pemula yang baik bagi Gescheurd untuk dijadikan penanda aras karya mereka selepas ini. Banyak lagi perkara boleh diperbaiki namun semuanya perlukan modal. Jika ada modal, sudah tentu Fendy akan menggunakan amp Orange dan mencapai Moksha seperti Matt Pike, betul tak?

Harapan penulis, Gescheurd terus membikin karya lebih baik selepas ini dan mungkin suatu hari nanti mampu menghadiahkan sebuah opus 60 minit seperti “Dopesmoker?”

Apa pun, kami menanti material baharu daripada Gescheurd dan kepada ‘stoner-stoner’ di luar sana, trio Gescheurd akan membawa kalian ‘terbang’ dengan riff-riff maut mereka selepas ini.

Perkakas (gears) yang digunakan untuk merakam demo “West Bank”:

Fendy (Guitar)

Guitar – Gibson SG, Fender Strat

Pedal Effect – OCD v1.7, Cry Baby CBM95, TC Flasback 2 Delay, Polytune v3, Earthquacker Spires Fuzz, Wampler Plexidrive

TC Ehx Spark Booster

AMP Head – Boss Katana v2

AMP Sim – Two Notes Torpedo Cab M

Afiq (Bass)

Guitar – Fender Srat Jazz Bass

Pedal Effect – JHS Muffuletta, MXR Bass DI, Zomm Ms70cdr, OCD v2, Boss Tuner, Jamm Pedal Rippy Fall

Ceqwan (Drum)

SJC Snare

Recording Gear

Interface – Focusrite Gen2

Monitor – Presonus Eris 4.5

Mic – Shure SM58, Shure SM57

DAW – Protools

Ikuti Gescheurd di rangkaian media sosial mereka:

Facebook: G E S C H E U R D

Instagram: @gescheurd

Twitter: @gescheurd

Youtube: Gescheurd band

#Thunderstrike

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅