Nadeem Komited Pacu Skesh Entertainment Jadi Syarikat Hiburan Paling Terkemuka di Dunia

oleh Rahmat Mohd Did
2.1K bacaan

Nama figura ini mungkin kurang dikenali di sini, tetapi bila menyebut tentang Skesh Entertainment, pasti ramai yang terus mengingati jasa mereka membawa nama-nama besar seperti As I Lay Dying, Crown the Empire, Tiny Moving Parts, Neck Deep, Attila, Miss May I, Chunk! No Captain Chunk!, Fever 333 dan banyak lagi ke rantau ini.

Bukan itu sahaja. Skesh Entertainment turut bertanggungjawab mengeksport band-band bawah tanah berbakat negara kita seperti Massacre Conspiracy Official, Sekumpulan Orang Gila (SOG), Trophy Knives, Margosa dan Patriots ke festival-festival besar di Asia malah berkongsi pentas dengan band-band terkenal antrabangsa!

Jika bukan kerana pandemik Covid-19 yang melanda dunia, band-band terkemuka seperti Boys Like Girls dan Jimmy Eat World sudah pasti bertandang ke negara kita dan Singapura pada bulan Mac lepas. Sekumpulan Orang Gila, Trophy Knives dan Patriots juga dijadual beraksi di pentas Heart-Town Festival, Taiwan bersama-sama Crossfaith, SiM dan I See Stars pada awal Mei lepas namun terpaksa akur dengan pembatalan demi keselamatan bersama.

Di sebalik semua ini, kelibat terpenting yang bekerja keras untuk merealisasikan segalanya adalah seorang pemuda berdarah kacukan Bangladesh-Belanda, Nadeem A. Salam.

Dilahirkan di United Kingdom, dibesarkan di Amerika dan kini menetap di Sepanyol, Nadeem mula mengenali dunia rock seawal sekolah menengah dengan bermain untuk sebuah band sebelum mendapat peluang mengurus The Red Jumpsuit Apparatus pada usia muda!

Beliau kemudian menubuhkan Skesh Entertainment di Florida, USA pada tahun 2012 dan tidak menoleh ke belakang lagi. Setakat ini, Skesh Entertainment memayungi lebih 50 band/ artis di serata dunia, mempunyai lima pejabat di 25 buah bandar seluruh Asia, menganjurkan lima festival dan sedang memecut laju untuk menjadi salah sebuah syarikat hiburan terbesar di dunia.

Oleh kerana sering mengiringi band-band antarabangsa melakukan siri jelajah di Asean, Nadeem seringkali disalah tafsir berasal dari Singapura. Namun realitinya, beliau memilih rantau ini kerana melihat potensi besar pasaran di sini yang masih kurang diberi perhatian berbanding Amerika, Eropah dan benua-benua lain.

Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, impak yang dibawanya kian dirasai dan banyak pihak sudah mendapat manfaatnya. Bagi Nadeem sendiri, walaupun sudah menguruskan lebih 1,000 konsert dan festival, beliau merasakan lebih banyak masa diperlukan sebelum hasilnya dapat dinikmat bersama-sama. Beliau juga telah banyak berkorban dari segi wang ringgit, masa dan tenaga untuk menggalakkan apresiasi muzik yang lebih baik di rantau ini.

Nadeem turut dikenali sebagai seorang yang sangat progresif. Selain seorang usahawan dan pengurus artis, beliau juga menguasai lima bahasa, jurulampu profesional, jurugambar/ juruvideo dan pengarah muzik video yang menghasilkan banyak muzik video untuk artis terkenal, chef professional, juruprogram laman web dan kini sedang dalam latihan untuk mendapatkan lesen juruterbang!

Sentuhannya sebagai penerbit untuk rilisan album-album tempatan juga boleh dinilai secara harfiah dari segi kualiti bunyi yang bertaraf antarabangsa seperti Trophy Knives – Glass Ceiling dan Patriots -Separation sekaligus membuka jalan yang sangat luas kepada potensi bakat-bakat kita untuk menjadi eksport negara ke pentas antarabangsa suatu hari nanti. Apa yang diperlukan sekarang hanyalah sokongan daripada penikmat muzik dan pihak berwajib tempatan sahaja untuk menaikkan nama-nama ini ke satu dimensi baharu yang telah lama kita idamkan.

Sengsara terkurung di Malaysia akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini langsung tidak menghalang kreativiti Nadeem yang terkenal inovatif. Baru-baru ini, beliau melancarkan The Platform Live – Volume 1 (The Platform MY), sebuah inisiatif gig dalam talian yang membariskan 40 band/ artis terbaik tempatan bagi satu musim secara eksklusif setiap Ahad bermula 5 Julai ini.

Ia merupakan kali pertama gig norma baharu sebegini ditempatkan di sebuah laman web khas dengan akses eksklusif kepada ahli sahaja. Mengenali Skesh Entertainment, kita tidak perlu risau tentang barisan artis dan kualiti yang akan diterjemahkan kerana menurut Nadeem, beliau telah membelanjakan modal yang sangat besar untuk menjadikan rancangan ini bertaraf dunia. Tambahnya, majoriti jualan tiket juga akan pergi terus kepada artis yang terlibat. Langkah yang sangat bermakna kepada pemuzik-pemuzik tempatan!

Jika kalian berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang The Platform Live, boleh layari laman webnya di https://www.theplatform.my/.

Nadeem memberi inspirasi dan membuka mata kita bahawa dengan pengurusan, hala tuju dan produksi yang betul, bakat-bakat tempatan kita mampu kedengaran seperti artis popular antarabangsa dan bersaing bersama mereka secara sihat di festival-festival besar.

Golongan muda juga perlu lebih bersikap terbuka dan menguasai banyak bidang ilmu. Nadeem mungkin tidak punya sebarang sijil daripada universiti, namun beliau membuktikan, daripada pengalamannya sahaja, beliau kini dijemput berucap di universiti pada usia yang sangat muda.

Harapan kami, dalam masa terdekat akan muncul seorang lagi Nadeem, tetapi 100% berdarah tempatan yang benar-benar komited dan bekerja keras untuk memastikan band-band generasi seterusnya berjaya di peringkat antarabangsa sekaligus meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara disegani dalam peta muzik dunia.

Ikuti perkembangan Nadeem dan Skesh Entertainment melalui pautan-pautan di bawah:

1. Instagram: Nadeem/ Skesh Entertainment

2. Skesh Entertainment 

3. The Platform MY

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅