4 Band Rock Terbesar Malaysia

Populariti, angka jualan album, penguasaan instrumen serta jumlah peminat setia memainkan peranan.

oleh Fiq Irama
10K bacaan

Kalau di dunia barat, kita sering mendengar pelbagai jolokan diberikan kepada kelompok band-band tertentu seperti The Unholy Trinity of British Hard Rock and Heavy Metal (Black Sabbath, Deep Purple dan Led Zeppelin), The Big Four of Thrash (Anthrax, Metallica, Slayer dan Megadeth) serta The Big Teutonic 4 (Kreator, Sodom, Destruction dan Tankard). Jadi tak salah rasanya jika kita juga memberi pengiktirafan serupa kepada legenda-legenda rock tanah air kita.

Sebelum penulis mengupas lebih dalam tentang topik ini, harus diberi kredit kepada May kerana sememangnya nama mereka boleh dikatakan gergasi dan layak untuk tersenarai dalam kelompok ini. Tetapi dari kaca mata penulis, XPDC lebih layak untuk berada dalam Big Four of Rock Malaysia.

Penulis juga memandang cakna dari segi instrumentasi. Disebabkan itulah Lefthanded dan XPDC lebih layak berbanding May yang mana mereka lebih kerap menggunakan khidmat sessionist dalam album-album mereka. Opie Bloodshed dan Samad Lefthanded juga pernah terlibat dalam album May.

Dan sekiranya ada majalah rasmi membuat carta gitaris, bassists dan pemain dram terbaik Malaysia, sudah semestinya keempat-empat ahli band Lefthanded akan tersenarai dalam senarai 10 terbaik bagi alat muzik masing-masing. Kuantiti lagu-lagu yang popular daripada mereka juga turut diambil kira.

SEARCH

Nama yang paling ketara dan paling ikonik dalam sejarah rock tanah air. Search merupakan band rock kapak terawal di Malaysia. Album Cinta Buatan Malaysia (1985) merupakan asas penting kepada evolusi rock kemudiannya. Man Keedal dan Yan sebagai pemuzik undangan untuk album pertama kemudiannya digantikan oleh Nasir dan Hillary Ang. Album Langit Dan Bumi (1986) dan Mentari Merah Di Ufuk Timur (1987) menyajikan lagu-lagu siulan pemuda seperti Fantasia Bulan Madu, Gadisku, Rozana, Meniti Titian Usang, Bisa, Pelesit Kota dan Mentari Merah Di Ufuk Timur. Solo dari gitaris berbangsa Cina iaitu Hillary Ang, riff dari raja gitar rhythm Din, Nasir sebagai tunjang dengan bassnya dan Yazit menyatukan muzik mereka melalui hentakan drum yang bertenaga diiringi dengan nyanyian Amy. Album Fenomena melonjakkan nama Search di Indonesia dengan jualan sebanyak 220 ribu unit (Malaysia) dan 600 ribu unit (Indonesia) dengan taruhan lagu Isabella. Album ini juga menyaksikan pengunduran Hillary Ang dan digantikan dengan tremolo king Malaysia Kid Search, iaitu adik kepada Din. Hillary sempat menyumbang kerja gitarnya dalam album ini untuk lagu Pawana dan Fenomena manakala solo berhantu Isabella dihasilkan oleh Kid. Tidak dinafikan, Search adalah lagenda rock tanah air yang memperkenalkan dua gitaris handalan iaitu Hillary Ang dan Kid serta suara ikonik Amy.

WINGS

Seperti Rolling Stones dengan Beatles ataupun Megadeth dan Metallica, Wings adalah rival kepada Search. Bukanlah musuh tetapi rakan seperjuangan dalam industri. Bahkan mereka pernah membentuk sebuah projek yang digelar Double Trouble. Puluhan lagu hebat dari Wings seperti Sejati, Taman Rashidah Utama, Misteri Mimpi Syakilla dan banyak lagi. Wings sama hebatnya dari segi line up dan karya. Awie, Eddie, Joe dan Black adalah barisan terbaik di mana banyak lagu hits dihasilkan. Tidak dilupakan jasa Sham di dalam album Belenggu Irama sebagai pemain gitar utama dan Jojet (pemain dram asal Wings sebelum Black) untuk album Jerangkung dalam Almari selepas Black mengundur diri. Wings masih aktif sehingga kini bahkan sempat meriliskan album baharu, Menakluk Kosmos pada tahun 2014 dengan single Ingatkan Dia. Identiti lagu-lagu Wings mudah dikenali dengan sound bluesy gitar Joe, suara ikonik Awie, pemain dram terbaik Malaysia Black dan petikan bass Eddie selaku ahli paling setia Wings.

LEFTHANDED

Komposer terbaik Malaysia iaitu M. Nasir pernah mengatakan bahawa Lefthanded adalah kumpulan rock paling hebat di Malaysia dari segi muzikaliti manakala Search adalah paling popular. Manakan tidak, kedua-dua gitaris mereka iaitu Man Keedal dan Samad pernah tersenarai antara lima gitaris terbaik di Malaysia. Man Keedal adalah imej pemain gitar Malaysia manakala Samad pernah bekerjasama dengan Paul Gilbert (Mr Big) untuk rakaman salah satu lagu dalam album solonya. Yantoi juga acapkali disebut sebagai pemain bass nombor satu negara yang banyak merekodkan album sebagai sessionist seperti XPDC, Search dan banyak lagi. Pemain dram pula tidak harus dipandang remeh iaitu arwah Man Dayak. Dengar sahaja lagu-lagu keras dari Lefthanded seperti Debunga Wangi, Seruan dan Ringan Berat yang menampilkan hentakan drum hebat daripada beliau. Lagu-lagu seperti Tiada Lagi Kidungmu, Ku Di Halaman Rindu dan Kenangan Bersamamu adalah lagu malar segar sepanjang zaman nyanyian Nash. Pemergian arwah Samad dan Man Dayak adalah kehilangan besar dalam industri muzik tanah air.

XPDC

Raja Funfair Malaysia. Band legenda ini mempunyai peminat yang setia malahan jumlahnya hampir sama dengan tiga legenda di atas malah melebihi band-band lain di negara kita. Walaupun terjadi pergolakan di antara mereka, itu tidak memutuskan pertalian mereka dengan peminat. Siapa yang tidak kenal dengan lagu-lagu seperti Semangat Yang Hilang, Hentian Ini, Titian Perjalanan, Nafisa, C.I.N.T.A, Aku Masih Di Sini dan banyak lagi. XPDC mempunyai trademark tersendiri dengan suara Mael yang unik. Mereka juga mempunyai seorang penulis lagu yang hebat iaitu Izo di mana kebanyakan lagu mereka ditulis oleh beliau selain mendapat khidmat komposer popular yang juga sangat sinonim dengan XPDC; JS Kevin. Ahli lain adalah Zuar sebagai pemain bass dan Amy selaku pemain dram dari album kedua selepas menjadi sessionist untuk album sulung XPDC Darjah Satu. Zuar menubuhkan kumpulan Viper selepas XPDC yang popular dengan lagu Nekad dan dinyanyikan sendiri oleh beliau. Tidak dilupakan jasa Lee Space dan Lola. Album Brutal (1997) telah melakar sejarah sebagai salah satu album paling laris jualannya di Malaysia ketika itu dengan 500 ribu unit sebelum diatasi album Puji Pujian oleh Raihan.


Nota kaki: Harus diberikan penghargaan khas kepada May, Bloodshed, SYJ, Ekamatra, Gersang, Febians, Medicine, Iklim dan BPR kerana mereka juga turut membantu gerakan rock kapak tanah air. Sweet Charity dan Rusty Blade adalah band Singapura tetapi penulis tidak melupakan kedua band ini.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅