5 Soalan Bersama: 𝗕-𝗛𝗲𝗮𝗿𝘁

oleh Mohd Aqil Aiman
3.1K bacaan

Hairi Azrie Henri atau lebih dikenali sebagai B-Heart baru sahaja merilis single terbarunya yang berjudul Reintro di saluran Youtube beliau pada 13 Mei yang lepas. Video muzik (MV) yang dihasilkan oleh Sailang Visuals ini telah pun mengutip jumlah tontonan sebanyak 130 ribu setakat ini.

B-Heart memulakan kariernya seawal umur 14 Tahun dengan menghasilkan puisi dan ritma dengan caranya tersendiri. Beliau yang membesar di sirkit indie Kuantan juga merupakan anggota Young Malaysian Familia (YMYFAM) dan pernah dilamar menjadi artis naungan Rumpun Record pada tahun 2015 namun beliau lebih senang bergerak solo.

Music Addicts Malaysia (MAMY) berpeluang berbual santai dengan B-Heart baru-baru ini. Baca selanjutnya di bawah.

MAMY : Dalam lagu terbaru B-Heart yang bertajuk Reintro, di awalnya terdapat selingan dedikasi buat Hafizo ataupun Te-Rap Boi. Apakah terdapat penglibatan arwah dalam lagu ini pada awalnya?

B-Heart : Sebelum saya menjawab persoalan ini, Takziah diucapkan kepada keluarga Hafizo. Secara ringkas, Arwah Pipish (nama panggilan) adalah seorang sahabat yang saya pandang sebagai seorang pemuda yang jarang sekali berputus asa, berkeyakinan tinggi, insan yang baik budi pekerti dan sentiasa mencari alternatif untuk menjadi lebih baik dari semalam. Arwah Pipish adalah salah seorang sahabat yang ada di awal penglibatan saya dalam bidang muzik dan scene, tak kira apa jua situasi. Jikalau bukan berkongsi pentas, dia akan ada di barisan hadapan crowd. Jadi, disebabkan itu saya buat keputusan meletakkan tribute untuk dia, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih pada segala baik budi dan memori-memori yang tercipta selama saya mengenal dia. Untuk saya, dialah salah satu contoh JUARA yang sebenar.

MAMY : B-Heart memulakan karier seawal umur 14 tahun. Apakah atau siapakah yang menginspirasi B untuk menceburkan diri dalam scene seterusnya mencipta cop mohor B-Heart sendiri?

B-Heart : Inspirasi paling besar adalah arwah sahabat karib saya bernama LEO (Rest In Peace). Impiannya menjadi “suara” for the people yang voiceless adalah salah satu punca kenapa saya menceburi bidang muzik itu sendiri. Dengan menggunakan nama B-heART yang dicipta oleh Leo, saya cuba meneruskan mimpi, impian dan legasi dia. Ianya seperti satu tribute di mana setiap kali orang menyebut stage name itu, ibarat orang “mengangkat” nama dia dan bukanlah sekadar saya. Tak lupa juga, sekiranya tanpa motif dia yang spark kan energi untuk saya buat muzik ni, saya rasa saya takkan kenal orang-orang yang banyak membantu saya sewaktu saya masih baru seperti Kmy Kmo, Luca Sickta, Freed, Big Moose, Snooze & ramai lagi. I guess it’s a blessing and a curse at the same time. Haha.

MAMY : B-Heart pernah menulis lagu untuk Amy Mastura, Malique Ibrahim, Adeep Nahar dan Gard. Bagaimana B mendapat peluang tersebut dan apakah perasaan ketika itu?

B-Heart : Saya dapat peluang untuk bekerjasama dengan Amy Mastura adalah melalui Luca Sickta & Kmy Kmo. Sewaktu itu mereka mencari seseorang untuk lengkapkan bahagian rap dalam projek tersebut. Secara tak langsung projek itu juga ada penglibatan Malique Ibrahim dan di situlah tercetusnya hubungan saya mengenal Qarma Musiq & Malique. Selepas lagu saya dengan Amy Mastura terhasil, Malique memberi saya peluang berkerjasama untuk beberapa buah karya lagi seperti Ampunkanlah (Ibnu The Jenggot, Adeep Nahar) dan KAMU (Ben Laden).

Lain pula cara saya dapat peluang untuk collab Bersama Gard. Peluang itu tercetus kerana salah seorang sahabat saya, Rauzan Rahman yang merupakan seorang artis berasal dari Singapore. Lawaknya tentang situasi ini kerana saya kenal Rauzan Rahman sejak zaman Myspace. Haha. Tidak saya sangka pada tahun 2018, Dia reached out saya melalui Instagram untuk kolaborasi. Sebagai salah seorang fan boy karya-karya dia, tanpa kata dua saya terus terima. Kami buat sebuah lagu bertajuk Apa lagi yang kau mahu? (ALYTK) dan pada waktu tu, kami rasa ada sesuatu yang tidak cukup. Di situlah hadirnya Gard in the picture. Saya kenal Gard dah lama sejak 2016 melalui Mixtape dia dipanggil “GARD VS KORANG.” Jadi boleh dikatakan Gard menambah perisa secukup rasa untuk lagu ALYTK. Daripada situ saya mengenal Gard secara lebih peribadi. Pendek kata, peluang-peluang yang saya dapat adalah punca saya mengenal orang-orang yang saya sendiri tak jangka akan dapat berkerjasama sekali. Bukan sekadar muzik namun mengenal mereka secara individu dan bukan atas projek-projek sahaja. Expect the unexpected la orang kata kan? Haha.

MAMY : Depresi merupakan perkara yang membelenggu anak muda era ini dan jika tidak dikawal, akan menjerumus penghidapnya ke arah bahaya. Apakah yang membuatkan B dapat mengatasi depresi suatu ketika dahulu dan terus berjuang dalam seni sehingga ke hari ini?

B-Heart : Depresi seringkali dipandang sebagai perkara yang remeh temeh dalam era serba canggih dan moden hari ini. Tidak ramai yang berani ungkap apa yang mereka lalui/ rasa dan ramai juga yang cuba namun tak didengari oleh masyarakat. Malah dikecam dan disalah tafsir niat mereka. Begitu jugalah saya sebagai salah seorang penghidap. Pada permulaanya, takut juga untuk luah demi mencari bantuan. Pelbagai alternatif saya ambil namun seringkali ketemu jalan mati. Hingga satu tahap berputus asa itu nampak seperti solusi. Namun, berbekalkan sedikit iman dan kepercayaan bahawa hidup tak selamanya gelap saya bangun dari posisi keliru dan mencari bantuan dengan cara menjadi lebih open & vulnerable terhadap kondisi saya di media sosial.

Mendapat jawapan bahawa mencari bantuan professional seperti Psychiatrist bukanlah perkara yang buruk seperti yang saya sangka. Alhamdulillah, ianya makin sembuh. Slowly but surely. Namun, saya kena lebih telus di sini bahawa ubat-ubatan yang diterima tidak akan dapat menyembuh secara total malah ia takkan dapat menghilangkan “perasaan” & “penyakit” itu. Ia sekadar stabilkan energi & emosi kalian. Balik-balik, semuanya bergantung kepada mindset.

Sekiranya benar kalian nak keluar daripada kegelapan hidup yang seperti tiada penghujungnya, kalian akan cuba sedaya upaya biarpun ia memenatkan dan menyakitkan. Aku percaya bahawa Tuhan itu tidak kejam. Ujian yang diberi adalah kerana Dia tahu kau boleh tanggung. Lagi berat ujian yang diberi, lagi besar kasihNYA terhadap kau. So don’t give up! Put a lil bit of faith and keep moving forward. Always.

MAMY : Kenapa rapper sekarang (tak semua) macam tak boleh move on dengan stail Malique dan Too Phat sedangkan kat luar negara dah wujud macam-macam stail baru hip hop seperti grime, trap metal, trip hop, jazz rap dan sebagainya. Ada juga yang lebih ekstrim seperti Ghostmane yang buat crossover trap dengan black metal, tapi stail hip hop di Malaysia masih tak banyak berubah daripada awal millenia sehingga kini? Adakah kerana pengkarya-pengkarya Hip Hop di sini kurang mendengar lagu-lagu daripada genre lain atau takut untuk bereksperimen?

B-Heart : Secara pendapat peribadi, Ia lebih kepada majoriti pendengar tidak terdedah kepada satu sound yang baru. Kadangkala, ia disebabkan pendengar belum dapat terima secara total untuk sesebuah sound dan cara yang dicuba bawa pada hari ini. Namun tak juga saya kata ia langsung tak diterima. Boleh dikatakan bahawa sudah ramai yang mula adaptasi perkara yang baru apatah lagi bila kita berbual tentang style of music in Hip-Hop. Lihat saja di underground scene, berapa ramai yang eksperimen sound-sound yang jarang kita dengar dan ianya sedap? Bukan nak menjadi biased namun stail dan sound yang dibawa banyak yang berkualiti dan secara tak langsung di dalam mass market juga dah banyak input-input baru yang menjadikan sesebuah lagu itu kedengaran segar.

Bila kita berbual tentang citarasa, ianya subjektif. Ada orang kekal dengan stigma dan formula Malique Ibrahim/ Too Phat disebabkan minat. Bila dah timbulnya minat, ia akan bawa nilai sentimental untuk seseorang itu dan bagi saya perkara itu tak salah. Lain orang lain citarasanya. Stail dan muzik akan terus berevolusi hari demi hari. Di penghujung, bagi saya yang paling penting adalah Kualiti. Sekiranya ia stigma lama namun sedap di setiap aspek, konklusinya tetap sedap. Sekiranya ia datang dengan stigma dan formula baru, dan sempurna di cuping telinga pendengar, konklusinya ianya jua sedap. QUALITY OVER QUANTITY.

Ikuti B-Heart di:

Facebook

Instagram

Twitter

YouTube

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅