Hari Ahad 30 Julai 2023 menjadi saksi berlangsungnya gig peluncuran Eastern Oi! The Rarities, sebuah album kompilasi yang mengandungi lebih 25 lagu-lagu malar segar sepanjang penubuhan The Godfather of Eastern Oi!, A.C.A.B sejak tahun 1994. Bakal menyambut ulang tahun yang ke-30 pada tahun hadapan, takhta ACAB seakan tidak goyah malah kekal berada di puncak di mana gig full house ini hanya dirancang beberapa minggu sebelumnya jika dilihat di posting Instagram rasmi mereka.
Bertempat di The Paddock Petaling Jaya, pentas dibuka seawal jam 3 petang oleh beberapa band pembuka sebagai pemanas badan dan diselang-selikan dengan putaran lagu-lagu Oi!, rocksteady dan ska oleh DJ Jahvalion. Konsep selingan DJ ini sangat menarik untuk mengisi ruang-ruang kosong sementara band seterusnya membuat persiapan untuk beraksi.
Antara band pembuka yang menarik perhatian adalah The Murphy di mana salah seorang pemain gitar band ini adalah remaja belasan tahun anak kepada penyanyi band tersebut. Malah sang isteri juga dijemput bernyanyi bersama untuk sebuah lagu.
Tidak dilupakan juga persembahan bertenaga dari Steeltoe Solutions, sebuah band yang juga sudah agak lama berkecimpung di sirkit Oi! tempatan. Dendangan lagu anthem mereka, Lawan Kembali mudah sahaja membuat hadirin untuk bernyanyi bersama dan set mereka diakhiri dengan lagu cover dari The Suspect AKA, Kuala Lumpur.
Lebih kurang jam 9 malam, ACAB sudah bersedia untuk menggegar pentas. Set mereka dibuka dengan lagu intro instrumental Perajurit Tanah Air (Inilah Barisan Kita) yang mengimbau kenangan kepada album Live & Loud. Lagu demi lagu dimainkan dari rilisan terawal ACAB termasuk album tribute Rusty Blade, Rintangan Hidup Dunia. Lagu-lagu hits mereka seperti Violence, Unfairground, A.C.A.B dan juga anthem We Are The Skins menjadikan ruang The Paddock seakan-akan bilik karaoke besar. Lebih-lebih lagi bila lagu Racial Hatred dinyanyikan bersama-sama. Meriah!
Selepas 45 minit, set pertama A.C.A.B berehat untuk sesi cabutan bertuah yang ditaja oleh Carl Republic.
Set kedua A.C.A.B diteruskan dengan lagu-lagu seperti Spread the Joy of Eastern Oi!, Racial Hatred 2 dan Where Have All The Bootboys Gone. Selepas hampir satu jam setengah beraksi di pentas, peminat seakan-akan tidak kenal erti penat sehingga A.C.A.B menghadiahkan lagu terakhir We Are The Youth sebagai penutup pentas pada malam itu.
Cabutan bertuah sesi kedua pula diadakan selepas itu yang berupa barangan peribadi anggota A.C.A.B sebagai tanda penghargaan buat peminat mereka.
Tidak berlebihan jika dikatakan A.C.A.B adalah raja segala raja Streets Music di Malaysia. Boleh dijadikan cabaran untuk generasi seterusnya, kerana mereka telah menyatakan akan bersara pada tahun hadapan, genap 30 tahun selepas penubuhannya.
Semoga berjumpa lagi di lain hari.