
Armpunk Sindicate dari kiri: HK, Elby, Miely dan Zed.
Muda, bertenaga dan rebel – Begitulah aura yang dapat penulis rasakan setelah bertemu empat mata dengan jejaka yang membarisi Armpunk Sindicate pada 5 November lalu.
Terkenal dengan bait-bait positif dalam lirik lagu mereka, kugiran punk dan aktivis belia ini telah memecah rekod dengan menjadi band pertama di Asia Tenggara yang ditampilkan di PunkersTV. Bukan itu sahaja, mereka turut mendapat perhatian Jack dari band The Casualties!
Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Dibarisi oleh Zed, Miely, HK, dan Elby, masing-masing membawa ‘warna’ tersendiri ke dalam band walaupun mempunyai minat dan personaliti yang berbeza.
Setelah lama mendiamkan diri disebabkan pandemik, Armpunk Sindicate bakal menggegar kembali dengan pelancaran EP pertama yang menampilkan enam buah lagu.
EP yang bakal diterbitkan ini memuatkan tiga buah lagu lama – Satu Bendera, Dadah Durjana dan Noisy Punk, serta tiga buah lagu baharu yang segar dan sedikit berbeza iaitu Gula-Gula, Selamat Malam, dan Kamulah Seterumu.
Teruja dengan EP yang bakal dilancarkan
Apabila diminta mengulas serba sedikit mengenai lagu baharu yang bakal dilancarkan, keempat-empat jejaka yang menganggotai kugiran ini sebulat suara memilih lagu Gula-Gula – sebuah lagu dengan lirik yang sedikit protes sebagai favorite mereka.
Tambah mereka lagi, gabungan ska punk dengan bunyian horns dalam Gula-Gula pasti akan membuatkan pendengar terhibur. Mereka juga tidak sabar untuk melihat reaksi crowd ketika mempersembahkan lagu ini di atas pentas nanti.
Kamulah Seterumu pula merupakan sebuah lagu punk rock yang membawa mesej mengenai kesihatan mental.
Menurut HK, beliau sudah lama ingin mengetengahkan isu kesihatan mental kepada umum. Dengan platform yang sedia ada, beliau ingin menormalisasikan isu ini yang kita sedia maklum merupakan sesuatu yang taboo di negara ini.
Semua lagu baharu Armpunk Sindicate bajkal diterbit dan ditulis oleh Shamsul Cairel Abdul Karim yang lebih mesra disapa sebagai Pak Long. Dari segi arrangement pula, Pak Long mengakui beliau perlu bekerjasama dengan band kerana merekalah yang bakal menerapkan attitude ke dalam lagu tersebut.
Bagi Armpunk Sindicate, membawa lagu hasil tulisan orang lain mempunyai cabaran yang tersendiri. Menurut mereka, bukan mudah untuk membawa ‘barang orang’ dan menjadikannya sebagai ‘barang sendiri’.
Walaupun begitu, mereka amat berpuas hati dengan hasil garapan mereka bersama Pak Long. Malah, mereka juga dapat belajar banyak benda baharu melalui kolaborasi ini.
Kecaman merupakan perkara biasa
Menurut Armpunk Sindicate, mereka sudah biasa menerima kecaman.
Tambah Elby pula, mulanya timbul isu mengenai penerimaan orang ramai adalah ketika mereka menyanyikan lagu Satu Bendera.
“Ramai yang anggap lagu ini membawa mesej semangat nasionalis. Namun, lagu ini sebenarnya adalah tentang unity, atau perpaduan. Mengapa kita boleh berpecah-belah sedangkan kita boleh bersatu?
Tidak dinafikan, mulut orang kita tidak boleh tutup. Tapi, disebalik kecaman yang diterima, ramai juga yang memberikan sokongan kepada kami.”
Buat sesiapa yang merindui Armpunk Sindicate, mereka mungkin akan membuat kemunculan semula dalam masa terdekat. Walau bagaimanapun, mereka mereka ingin ‘tunggu dan lihat’ terlebih dahulu memandangkan pandemik masih lagi belum pulih sepenuhnya.
Jadi, buat peminat yang merindui Armpunk Sindicate, jangan lupa untuk dengar EP mereka yang bakal dirilis secara fizikal dan online nanti!
Ikuti Armpunk Sindicate di: