Setelah mengharungi pelbagai cabaran dalam penghasilan, Bihzhu kini tampil dengan video muzik (MV) untuk single terbarunya yang berjudul Chendering. Chendering telah dilancarkan pada 25 Februari 2022 dengan jangka masa selama 4 minit 41 saat di saluran YouTube rasmi Bihzhu.
Chendering juga hadir dengan sebuah dokumentari pendek dengan jangka masa selama 12 minit 17 saat bagi menjelaskan latar belakang lagu tersebut secara lebih mendalam kepada para peminat. Dokumentari ini juga turut memaparkan wawancara bersama isteri dan anak Jimmy Boyle; Linny Boyle dan James Boyle serta pemain bass beliau, Ee Fook Sin.
Bihzhu turut menjelaskan, “Ini sesuatu yang penting bagi kami, kerana kami ingin peminat muzik mengenali siapa lelaki berbakat di sebalik lagu ini. Kami juga ingin mereka ketahui proses ideation di dalam proses pembikinan video ini. Ia seakan satu lingkaran yang sempurna bagi kami kerana dengan mempersembahkan projek ini kepada penonton tempatan dan global, kami berharap agar dapat membuatkan Jimmy Boyle dan keluarganya bangga dengan hasil kerja kami. Dengan rasa rendah hati, kami turut berharap sumbangan kecil kami ini dapat membantu dalam meneruskan legasi muzik dan budaya komposer legenda ini”.
Chendering merupakan sebuah lagu yang telah dicipta oleh salah seorang komposer paling prolifik di Malaysia, Jimmy Boyle. Bihzhu memberikan nafas baharu kepada naskah tersebutyang asalnya telah diilhamkan dan ditulis pada tahun 1943.
Boleh kongsikan apakah cabaran yang dihadapi dalam proses merakamkan MV Chendering?
“Kami terpaksa menunda penggambaran video sehingga setahun dan juga mengubah konsep beberapa kali disebabkan oleh kekangan yang kami lalui akibat pandemik yang berlarutan. Idea asal adalah untuk membuat penggambaran di Pantai Chendering sempena tajuk lagu, tetapi ketika itu, risiko yang perlu ditanggung adalah terlalu tinggi. Oleh itu kami terpaksa membuat perancangan baru untuk memastikan elemen keselamatan dan sekuriti diutamakan. Saya amat berterima kasih kepada Chris Lim dan seluruh krew yang terbabit kerana mereka telah dapat menjayakan projek ini dan menghasilkan video yang amat cantik bersesuaian dengan lagu yang sangat istimewa ini.”
Harus diakui bahawa nama Jimmy Boyle itu sendiri agak kurang dikenali oleh masyarakat tempatan, lebih-lebih lagi generasi muda masa kini. Boleh ceritakan bagaimana Bihzhu mengenali Jimmy Boyle?
“Saya masih ingat dengan jelas peristiwa tersebut. Pihak Penang House of Music telah menjemput saya untuk membuat persembahan bersama James Boyle, yang kebetulan merupakan anak kepada Jimmy Boyle. Malangnya, James tidak sempat untuk menemui bapanya kerana Jimmy Boyle telah meninggal dunia semasa James masih di dalam kandungan ibunya. Saya mendengar lagu Chendering untuk kali pertama ketika itu dan secara jujurnya, saya mengakui bahawa sebelum ini saya memang tidak mengenali Jimmy Boyle, walaupun kami sama-sama berasal dari Pulau Pinang.”
Apakah yang memberikan inspirasi kepada Bihzhu untuk memberikan tribute kepada Jimmy Boyle?
“Saya rasa bagaikan satu tanggungjawab untuk memperkenalkan lagu ini kepada penonton dan peminat muzik secara amnya. Seterusnya, saya telah meminta persetujuan dari James untuk membenarkan kumpulan saya menyusun semula muzik Chendering untuk tujuan rakaman. Kumpulan saya (yang terdiri daripada Jude Macson Bensing, Nish Tham, Shakey Shakey dan Ryan Lee Bhaskaran) telah bekerja keras untuk memastikan agar gubahan yang dihasilkan sedap didengar dan bersesuaian dengan integritinya, dan kami telah menghantar produk akhir kepada James untuk didengari. Dia berpuas hati serta memberi sokongan penuh kepada kami. James juga ada memberitahu kami bahawa dia merasakan ini adalah cara yang betul untuk memperkenalkan gubahan indah bapanya kepada generasi baru.”
Apakah visi yang cuba disampaikan oleh Bihzhu dan pengarah di dalam MV kepada para penonton?
“Kami mahu video ini melengkapkan lagu itu, dengan membawa irama klasik ke dalam dunia kontemporari. Kami telah mengkaji gambar lama Jimmy Boyle dan memberi penghormatan kepada kumpulannya melalui pakaian yang digayakan oleh kumpulan muzik Bihzhu. Dan kerana lagu ini merupakan versi surreal bagi lagu original tersebut, kami telah mencerminkan unsur-unsur surreal melalui kehadiran rama-rama, aspek dandanan dan juga segmen-segmen yang melibatkan air. Chendering mempunyai tempat yang istimewa di hati saya kerana pasukan saya terpaksa melalui pelbagai cabaran untuk melaksanakan projek ini. Walaupun ia bukan mudah, namun ternyata ini merupakan salah satu pengalaman yang tidak dapat saya dilupakan.”
Muzik video serta dokumentari mini Chendering kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Bihzhu. Ikuti juga saluran media sosial rasmi Bihzhu di Facebook, Twitter, dan Instagram untuk kemaskini terkini beliau.