SECTO merupakan sebuah nama yang tidak asing lagi di ruangan Hip Hop bawah tanah. Bagi yang tidak tahu, mereka adalah kolektif yang terdiri daripada Emcee, DJ dan B-Boy yang bertapak di Johor Bahru sejak tahun 2020.
Sebelum ini, SECTO pernah merilis satu album diss track berjudul LAUK yang telah mengundang kontroversi pada tahun 2020.
FIN, yang dipersembahkan oleh MEL D bersama MARCELL ANGKONG merupakan lagu terakhir dalam album LAUK yang mendefinisikan bahawa mereka sudahpun menutup buku.
“Secara khususnya, FIN diambil daripada bahasa Perancis yang bermaksud Tamat.“ – Mel D
Pada 6 Jun lepas, SECTO membuka halaman muka surat baharu dengan pengeluaran EP berjudul KUTIP yang terdiri daripada 6 buah trek.
EP ini berkonsepkan ekspresi dan suara anak muda serta sifat ambil tahu mereka terhadap keadaan sekeliling seterusnya menyampaikan perasaan mereka melalui medium Rap/ Hip Hop. Sentuhan magis daripada dua orang produser iaitu Haziq Haze dan WIZZKIDMANE dalam EP KUTIP ini menjadikan lagu-lagu yang terkandung di dalamnya menarik dari segi teknikal.
SECTO berpendapat bahawa medium Rap bukan sahaja dapat dijadikan hiburan dalam parti ataupun gig, tetapi juga merupakan satu medium di mana kotak fikiran Kita dapat dibuka dengan pengalaman dan pembelajaran yang datang secara langsung ataupun tidak langsung.
Trek kedua dalam EP ini, SARAPAN dipersembahkan oleh VTVN, DNA, Danobita dan Mel D. Ia menceritakan tentang kehidupan rakyat marhaen yang berjuang untuk meneruskan hari mereka di saat sesetengah pihak bersenang-lenang dengan kehidupan mereka yang serba ada.
Lima trek lain sengaja aku rahsiakan supaya pembaca dengar dan rasai sendiri naskah daripada pengkarya-pengkarya dari selatan tanah air kita ini. Untuk generasi yang terus berfikir dan berjuang, boleh layan EP penuh di Spotify atau YouTube.
Ikuti SECTO di: