Kugiran Power Pop Malaya, Couple telah melancarkan single terbaru mereka Let Me Love You pada 29 Ogos 2022 di semua media strim digital berserta muzik video menampilkan Iedil Dzuhrie sebagai cameo.
Siapa sahaja yang tidak mengenali Couple, sebuah kugiran yang memulakan perjalanan muzik pada tahun 1995 dan mewarnai zaman persekolahan kita dengan lagu-lagu mereka seperti Lagu Cinta Untukmu, Whoaa Ohh Sayang dan Tentang Kita serta menghiasi drama KAMI sekitar 2007 dan 2008. Kini, mereka kembali dengan single baru setelah sekian lama. Buat yang tidak tahu, mereka juga telah melancarkan single Malam Minggu dan Be My Baby pada tahun 2020 membuktikan bahawa Couple masih berdiri sama tinggi dengan kugiran lain dalam Malaysia.
Menerusi Let Me Love You, penulis agak terkejut dengan arah tuju baharu yang cuba dibawakan oleh mereka. Dengan vokal yang mendayu-dayu, pemainan guitar yang catchy, lirik mudah diingati, bunyian synth dan beat yang luar daripada kebiasan, Couple seperti sedang meneroka ke suatu ruangan baharu dalam perjalanan muzikal mereka. Penulis mendapatkan Aidil Rusli iaitu Vokalis dan Gitaris Couple untuk sesi temuramah ringkas.
Asalnya lagu ni dimulakan sebagai 80s style jangle pop song. Masa aku tulis tu aku bayangkan lagu ni ala Matthew Sweet, tapi arrangement mcm The Ocean Blue gitu. Tapi setelah lama peram idea lagu ni, aku macam dikejutkan oleh evolusi muzik Fun bila aku dengar album Some Nights, sebab diorang selamba je masukkan element R&B dengan hip hop, sedangkan album sebelum tu diorang power pop, even band sebelum tu The Format pun power pop gak. So depa la yang buat aku memberanikan diri try buat lagu ni jadi camni sekarang.
Secara keseluruhannya, lagu ini merupakan satu percubaan berani mati oleh Couple namun penulis boleh berkata “Inilah Couple baru” kerana single ini membuatkan mereka menjadi lebih kreatif sejajar dengan peredaran zaman. Bukan itu sahaja, penulis menggemari vokal Aidil yang semakin lama semakin maskulin. Beliau sememangnya mempunyai gaya yang tersendiri setiap kali membuat persembahan di acara.
Tidak terhenti di situ, Couple juga bakal melancarkan album keempat mereka Poptimism pada 23 September 2022. Pada asalnya mereka merancang untuk mengeluarkan album ini pada tahun 2020, namun terpaksa ditangguhkan ketika seluruh dunia berdepan dengan pandemik wabak COVID-19. Namun setelah menempuhi fasa Endemik, gig dan konsert telah dilancarkan dengan giat sehingga seluruh hujung minggu diisi penuh dengan acara. Couple juga tidak terlepas dalam usaha untuk bermula semula dengan karya terbaharu mereka.
Penulis juga sempat berborak dengan Aidil tentang produksi dan harapan mereka dan ini merupakan jawapan Aidil.
Proses produksi memang masuk studio dah dengan niat nak try buat sound camni, in fact the whole album Poptimism ni dibikin dgn semangat ini iaitu ‘jangan fikir barriers genre’, kalau rasa nak try tu bedal je, macam mana nak main live pun nanti later kita figure out. Yang penting kita dapatkan dulu apa yang kita nak tu on record. So memang album ni lebih kepada discovering the songs in the studio dengan kitorang play around guna benda-benda yang kitorang jarang guna macam synths & beats. FYI beats dalam album ni mostly bikin secara manual tekan-tekan on drum pads/midi keyboards je, pastu baru kasi kemas dengan digital editing.
Sejujurnya, aku tak tahu nak expect apa, haha. Semoga para pendengar have fun & layan la lagu ni, just as much as we had fun making it. Tapi kalau perasan la kan, dari dulu lagi dalam each album Couple, aku akan cuba selit 1-2 lagu yang macam lain sikit, kira macam each album tu kita ada percubaan la untuk mengembangkan sound Couple tu. Mcm dalam Pop Tak Masuk Radio ada acoustic guitars dalam Whoa Oh Sayang, ada backwards guitars & vocals masa ending Hey Kawan-Kawan, atau elemen moog/geek rock dalam Maybe dalam Top Of The Pop, dan of course Turning Melancholy To Magic tu ala-ala singer-songwriter Elliot Smith. So ni pun kira mcm satu lagi percubaan la untuk mengembangkan sound Couple, tapi masih dlm landasan melodic pop yang sama, walaupun kosmetik dia berlainan.
Tahniah buat Couple atas pelancaran single ini. Semoga kalian terus utuh berdiri dalam industri muzik Malaysia. Penulis juga tidak sabar untuk menanti kehadiran album mereka yang akan datang. Adios!
Ikuti Couple di: