7 Oktober 2023, Pentas Dewan Orkestra Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menjadi saksi berjayanya satu persembahan dekonstruksi irama klasik yang diberi nama Fusion Alun Layar. Sebuah inisiatif syarikat Big Sound Event di bawah kelolaan Ashraff Goodman, malam gemilang tersebut telah berjaya melabuhkan tirainya dengan dihadiri lebih dari 200 pengunjung yang bersama-sama menghayati karya-karya klasik yang dilakurkan menjadi sebuah naskah nafas baharu.
Untuk pengetahuan pembaca, kesemua lagu yang didendangkan pada malam tersebut adalah lagu-lagu yang dimuatkan dalam filem klasik yang ditayangkan sekitar 1950’an yang rata-ratanya diarahkan oleh B.S Rajhans, S Ramanathan, B.N Rao dan K.M Basker. Dan setiap lagu yang didendangkan dilakurkan dengan elemen tradisional dan moden dan diiringi oleh pemuzik iringan FusALa (Dibaca Fushala) yang diketuai oleh pengarah muzik, Prof. Madya Khairil Anwar Dean. Pada pandangan penulis, beliau bijak menyusun atur strategi menjadikan setiap dendangan lagu tersebut itu menjadi.
Lagu-lagu malar segar kemudian didendangkan oleh dua bintang yang bukan calang-calang iaitu Aqasha dan Asmidar serta diselitkan dengan trivia berkenaan lagu yang dinyanyikan. Penonton pada malam itu juga bertuah kerana dapat menimba ilmu dengan sejarah perfileman melayu yang dibahagikan kepada beberapa segmen yang disampaikan oleh Datuk Hajah Fauziah Nawi, primadona tersohor negara.
Persembahan dibuka sekitar 9.00 Malam dengan lagu Penawar Hati dari filem Aloha. Petikan guzheng dan ketukan tabla menjadi pembuka sebelum muzik dimainkan secara penuh dengan sentuhan muzik moden. Asmidar pula membuat kemunculan untuk menyanyikan lagu Sejak Ku Bertemu Denganmu yang dipetik dari filem Empat Isteri, diterapkan elemen jazz dan rumba.
Datuk Hajah Fauziah Nawi membuat kemunculan di atas pentas kemudiannya untuk memulakan segmen pertama yang berkait rapat dengan sejarah permulaan filem melayu dan kedatangan pengarah dari luar untuk memulakan industri perfileman di Malaya. Menerusi beliau juga, penulis mendapat tahu bahawa filem Laila Majnun adalah filem pertama yang diterbitkan di Malaya sekitar 1940-an.
Tidak lama kemudian, Aqasha dijemput ke pentas untuk lagu Nak Dara Rindu, lagu latar filem Bujang Lapuk yang dinyanyikan penuh bersahaja. Penonton juga tidak melepaskan peluang untuk menyanyi bersama. Persembahan diselitkan dengan sesi trivia sebelum Asmidar kemudiannya mengambil tempat di pentas untuk menyanyikan lagu Sang Rajuna Hati dan Cahaya yang disampaikan dengan penuh cemerlang sambil diiringi kumpulan FusALa.
Untuk segmen kedua, Datuk Hajah Fauziah Nawi kembali untuk menceritakan perkembangan sejarah perfileman di mana Shaw Brothers mendominasi industri perfileman lewat 1940-an dan kemunculan insan yang bernama P. Ramlee yang memecahkan dominasi pengarah adik-beradik Shaw. Selepas itu Aqasha mengambil tempat untuk mendendangkan lagu Merak Kayangan (filem Hujan Panas) yang diterapkan dengan elemen broadway dan Kasih Ibu yang disampaikan penuh emosi dan menyentuh hati.
Menghampiri babak terakhir persembahan, bagi sesi perkongsian sejarah, penonton dapat mengetahui permulaan penubuhan Merdeka Filem Production dan kemerosotan kegemilangan filem melayu disebabkan oleh kemajuan teknologi dan pergolakan dalaman. Persembahan kemudian bersambung dengan kumpulan FusALa mendendangkan secara instrumental lagu Sang Ratu yang dipetik dari filem Raden Mas. Dilakurkan dengan elemen Nusantara dan moden, lagu tersebut membuatkan penonton tak senang duduk dan seperti ingin menari sekali!
Fusion Alun Layar akhirnya menutup tirai persembahan dengan slot duet Aqasha dan Asmidar menerusi lagu Sumpah Tanda Setia dan Semarak Hati. Kedua-dua lagu tersebut dinyanyikan dengan baik sekali. Datuk Hajah Fauziah Nawi juga tidak kurang hebatnya, menyumbangkan suara untuk lagu terakhir bersama sama mereka! Persembahan malam itu berakhir sekitar 10.40 malam.
Secara keseluruhannya, idea dan aspirasi penganjur dalam mengadakan persembahan Fusion Alun Layar wajar diberi pujian. Kebanyakan lagu yang dipilih dan didendangkan pada malam tersebut menjadi dan kena pada telinga pendengar. Kudos kepada Aqasha dan Asmidar juga kerana berjaya mendendangkan kebanyakan lagu tersebut dengan adil dan ikhlas.
Walau bagaimanapun, pada pendapat penulis terdapat beberapa kekurangan yang menjadikan persembahan malam tersebut sedikit janggal. Transisi informasi yang disampaikan oleh penyampai dan apa yang dipaparkan kadang kala tidak seragam dan sedikit mengganggu penonton. Penceritaan sejarah yang disampaikan oleh Datuk Hajah Fauziah Nawi juga sedikit kekok dan mendatar.
Tapi walau apa pun, persembahan berakhir dengan jayanya dan semoga usaha dan aspirasi penganjur berkaitan lagu-lagu klasik wajar diteruskan ke siri yang akan datang!