
Dari kiri: Umar, Syauqi, Azraai, Aliff
Ketika ini para pencinta muzik bawah tanah khususnya banyak disajikan dengan rilisan genre berkonsep alternative rock/ pop rock ibarat cendawan tumbuh selepas hujan di mana ia mudah diterima khalayak umum secara tuntasnya. Akan tetapi , ada satu naskhah lagu menarik perhatian penulis baru-baru ini saat pertama kali mendengar intro siulan yang gemersik serta irama gitar yang menyentuh hati seperti berada di awang awangan berjudul Kiri, dilancarkan pada 20 Ogos 2021 di laman YouTube sekumpulan anak muda berbakat besar kelahiran Kuantan, Pahang yang menggelarkan diri mereka Gat Dem.
Ayuh kita menelusuri sesi taaruf sedikit bersama-sama 😀. Gat Dem dianggotai oleh empat anak muda iaitu Syauqi selaku vokalis, Umar di posisi gitar, Azraai menyandang tugas sebagai bassist dan tentunya Aliff sebagai drummer kumpulan. Keempat-empat mereka ini telahpun membina legasi Gat Dem sejak di bangku persekolahan lagi sehingga kini tanpa melalui sebarang pertukaran ahli. Satu usaha murni yang patut dicontohi oleh semua band pada masa kini bagi mengekalkan bonding sesama ahli.

Walaupun mereka sudah berkomitmen, namun semangat bermuzik tetap utuh sehingga hari ini.
Seterusnya, kita sentuh berkenaan aspek kualiti audio lagu ini pula. Menurut Syauqi, Kiri sebenarnya telahpun dirilis pada tahun 2012 di laman YouTube mereka. Sembilan tahun ke hadapan, ia menjalani proses rakaman semula atas dasar kualiti dan menyuntik nafas baharu yang lebih segar, ujarnya. Keseluruhan bunyian lagu ini dibuat sepenuhnya melalui konsep DIY (Home Recording) di mana bagi pendapat penulis secara peribadi dari aspek adunan mencapai piawaian sebuah karya yang kemas, bermutu tinggi dan cukup baik sekali walaupun pembikinan langsung dari rumah sahaja. Kredit ditujukan kepada Umar (gitaris) selaku Recording Engineer lagu ini serta Aliff (drummer) sebagai pencetus asal idea Kiri. Bila ditanya asal usul nama Gat Dem, ini jawapan Syauqi:
Nama Gat Dem itu sendiri sebenarnya diilhamkan secara tidak sengaja dalam perbualan kami bergurau dengan nada “We Got Them.” Lama kelamaan jadi satu ajukan yang berulang maka tercetuslah nama Gat Dem itu sendiri, ujar Syauqi kepada penulis sambil tertawa sinis mengenang kembali akan peristiwa itu.

“All Different, Each Unique” slogan Gat Dem yang memberi erti walaupun berlainan pendapat hakikatnya hala tuju tetap sama .
Perjalanan lirik dan komposisi lagu ini mengisahkan tentang nilai kasih sayang sesama teman hidup yang saling melengkapi di antara satu sama lain. Penulis menasihatkan semua pendengar untuk cuba menghayati bait-bait lirik sambil memejamkan mata, pastinya akan ketangisan percayalah. Lagi-lagi bagi mereka yang sudah bergelar suami isteri. Hehehe. Aspek vokal pula dilontarkan dengan dinamik sekali melengkapi alunan gitar yang cukup clean pada pengamatan penulis. Antara Wow factor pada lagu ini lagi ialah solo gitar pada penghujung lagu yang begitu feel mencengkam nurani sekaligus melengkapkan lagu ini. Haa jadi kalau nak tahu haruslah mendengar. Keseluruhannya lagu Kiri telah diterjemahkan dengan cukup baik sekali. Syabas Gat Dem!
Akhir kalam, Kiri merupakan sebuah naskhah yang amat baik dan penulis yakin lagu ini mampu berdaya saing di carta lagu indie masa kini dan mungkin juga boleh dijadikan lagu tema OST drama mahupun playlist lagu-lagu yang wajib didengari sebelum 2021 melabuhkan tirainya (Kiri kini boleh distrim dilaman spotify). Penulis mendoakan agar urusan Gat Dem dipermudahkan dan selamat maju jaya pada masa akan datang dan mampu mengeluarkan lagi material yang jitu selaras dengan slogan rasmi mereka “All Different, Each Unique.” Sehingga bertemu lagi, terima kasih dan selamat mendengar! Jyeah! 🤙
Ikuti perkembangan mereka di media sosial: